ARKIB : Utusan Malaysia, 05/11/2009
Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1105&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm&arc=hive
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan memanjangkan program amalan bekerja dari rumah untuk penjawat awam bagi bidang-bidang kerja tertentu, sekiranya program yang dirintis Kementerian Kerja Raya itu didapati berjaya menampilkan hasil yang positif.
Presidennya, Omar Osman berkata, program seumpama itu dilihat dapat mengurangkan tekanan dan boleh menghasilkan produktiviti lebih baik.
Katanya, selain itu, ia dapat mengurangkan masalah ruang tempat meletak kenderaan yang sering berlaku di pejabat-pejabat jabatan dan agensi kerajaan.
"Ia merupakan cara paling selamat bagi mereka untuk menghilangkan tekanan yang mungkin berlaku di tempat kerja, dan yang pasti mereka boleh dihubungi pada bila-bila masa di rumah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah Kementerian Kerja Raya menjadikan 35 pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai perintis program amalan bekerja dari rumah mula 1 Januari ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor hari ini.
"Ini adalah satu langkah yang bijak dan bagi CUEPACS, ini merupakan satu percubaan di peringkat agensi. Jika hasilnya positif, CUEPACS akan meminta supaya ia dipanjangkan ke kementerian lain terutama di kalangan penjawat awam wanita," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment