Sumber: Utusan Malaysia
Link: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm
Arkib : 05/01/2010
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
SOAL kewangan memang menjadi topik hangat setiap kali menjelang tahun baru. Boleh dikatakan setiap individu yang bekerja mempunyai azam baru dan semangat untuk memastikan perjalanan kewangan mereka berjalan dengan lancar sepanjang tahun itu.
Tiada istilah terlambat bagi setiap individu untuk memulakan sesuatu perancangan kewangan yang baik.
Pengerusi Eksekutif dan juga Ketua Perunding Kewangan Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., Rohani Datuk Mohd. Shahir mempunyai panduan untuk resolusi kewangan 2010.
Menurut Rohani, sebelum memulakan resolusi setiap individu perlu terlebih dahulu mengetahui kedudukan kewangan sekarang.
Caranya ialah dengan menyenaraikan semua hutang dan harta serta kemaskini semua perbelanjaan bulanan.
"Untuk berjimat apa yang penting kita perlu simpan wang sebelum dibelanja. Pastikan tabungan sekitar enam hingga lapan bulan kos saraan hidup.
"Prinsip asasnya ialah belanja apa yang perlu bukan apa yang kita mahu. Selain itu kita perlu tetapkan matlamat untuk kurangkan hutang dan jangan tambah hutang baru pada tahun 2010 ini," ujar Rohani yang mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan kewangan.
Rohani tidak menafikan ramai antara rakyat Malaysia yang terikat dengan komitmen pembiayaan bulanan, hutang peribadi, kad kredit dan sebagainya.
Antara persoalan yang harus ditanya pada diri si penghutang ialah adakah mereka mempunyai tabung kecemasan dan adakah pekerjaan mereka kukuh? Dan jika jawapannya 'ya' maka perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menjelaskan hutang-hutan peribadi terutama kad kredit.
"Caranya ialah dengan menyenaraikan baki yang paling rendah hingga yang tinggi, cuba bayar lebih setiap bulan bagi melangsaikan hutan yang baki terendah secepat mungkin baki terendah dan ulang tindakan ini kepada hutang kad kredit seterusnya dengan efek snow ball.
"Kemudian boleh mulakan pelan perbelanjaan dengan cara menyediakan bajet perbelanjaan. Pastikan sentiasa fokus terhadap apa yang 'diperlukan' dan bukan apa yang 'dimahukan'.
"Mulakan pelan tabungan dan sasarkan untuk capai cukup untuk lapan bulan kos saraan hidup (perbelanjaan bulanan). Periksa berapa yang mampu disimpan dan tambah 20 peratus daripada jumlah simpanan tersebut," jelas beliau.
Rohani juga berpesan, untuk mengelakkan perbelanjaan di luar dugaan seperti perubatan dan sebagainya, sebaiknya individu mempunyai pelan perlindungan, bukan sahaja untuk diri sendiri malah ahli keluarga juga.
"Ini penting dan jika memilih polisi pastikan anda ambil polisi hospital dan pembedahan untuk menampung kos hospital supaya tidak timbul masalah kewangan kelak," tambahnya.
Penuhi kehendak
Kereta dan rumah memang merupakan impian bagi semua yang bekerja.
"Ansuran kereta dan rumah merupakan 50-60 peratus daripada gaji individu, jadi seeloknya jangan membuat hutang atau membeli kereta yang mana ansurannya melebihi 30 peratus daripada gaji anda.
" Sebaiknya, letakkan deposit di antara 10-20 peratus dan berhutang jangan melebihi lima tahun. Jangan terpedaya dengan skim bayaran pendahuluan '0' dan berhutang sehingga sembilan tahun.
"Beli kereta atas dasar keperluan bukan kerana ingin bergaya, jika perlu kereta sedan jangan pula pilih kenderaan pelbagai guna (MPV)," kata Rohani lagi.
Lazimnya keperluan untuk menyediakan tabung kecemasan adalah antara tiga hingga enam perbelanjaan bulanan. Jadi jika terjadi perbelanjaan di luar jangkaan, ini boleh digunakan dan sediakan ini dulu sebelum melabur.
"Sistem sampul surat sesuai bagi mengenal pasti ke mana wang pergi setiap bulan. Amalkan ini supaya perbelanjaan terkawal walaupun mempunyai anak ramai kerana ia sudah terbukti berkesan.
"Ada pasangan suami isteri yang mengamalkan sistem ini selama 20 tahun dan mereka telah berjaya mengumpul tabungan mencecah RM400,000.
"Bayar untuk perbelanjaan diri dulu. Kemudian asingkan wang pada awal bulan mungkin dalam lingkungan 10 hingga 20 peratus daripada gaji dan letakkan dalam akaun yang tidak ada kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
" Bila mencukupi mulalah melabur dan teruskan setiap bulan. Jika disimpan RM100 sebulan dengan pulangan 10 peratus setahun dalam tempoh 30 tahun akan menghasilkan RM226,048 pada akhir tempoh," ujarnya.
Jangan Terpedaya
Rohani turut berpesan agar berhati-hati dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan segera.
Jika seseorang itu dijanjikan pulangan setiap bulan dengan kadar yang tidak munasabah, sebagai contoh melebihi dua peratus sebulan, dikatakan tiada risiko, tiada barangan dan hanya perlu 'cari orang', besar kemungkinan ia skim cepat kaya.
Jika berlaku keadaan itu langkah paling bijak ialah buat semakan di Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) tentang kesahihan skim tersebut kerana setiap syarikat penerima wang mestilah berlesen dari dua agensi tersebut.
Bagi individu yang memasang niat untuk membuat pinjaman peribadi, janganlah ambil hanya kerana ia mudah nak dapat. Pastikan anda benar-benar perlu baru ambil. Sebagai contoh untuk perubatan, tetapi sebaiknya sediakan polisi perubatan untuk ini.
"Jangan juga melabur dengan menggunakan pinjaman peribadi sebab anda kena tolak kos pinjaman sebelum mendapat keuntungan bersih di atas pelaburan," pesan Rohani.
2 comments:
ohww saya suke entry ni sbb itulaa yg saya azamkan thn 2010 ni.. thanks for sharing dear:)
Maya
setiap tahun juga saya berazam utk urus wang lebih berhemah
Post a Comment