Thursday, January 21, 2010

Momen-momen kelahiran

Teks: Masayu Ahmad

Salam hari Khamis bersamaan 21 Januari 2010, tidak lama lagi saya akan umumkan terma dan syarat untuk Peraduan Pengalaman Bersalin. Sedikit info tentang peraduan ini.

Peraduan pengalaman bersalin, terdapat dua kategori

1. Pengalaman bersalin.
2. Pengalaman berpantang.

Setiap peserta boleh memberikan gambar bayi semasa berpantang atau pilihan gambar-gambar menarik.
Tiga peserta terpilih akan mendapatkan buku-buku tajaan PTS Millenia.

Ini saya sertakan contoh jawapan, jadi anda sudah mula boleh berfikir dan menulis kembali pengalaman semasa bersalin dan berpantang. Terma dan syarat sebenar akan saya umumkan kemudian.








Teks & foto: Masayu Ahmad

Buat kali pertama untuk tahun 2008 saya berjaya untuk mencipta rekod tidak mengandung lagi. Melewati hampir pertengahan tahun 2009 membuatkan saya berasa gembira dikelilingi anak-anak yang semakin membesar dan bertambah ragam. Aiman sangat manja. Aiman bertuah kerana menjadi bongsu dalam jangkamasa yang lama, biasanya apabila anak sudah mencecah setahun, saya sudah menambah lagi ahli baru.

Aiman bongsu paling lama setakat ini. Mengingatkan momen-momen menarik sepanjang mengandungkan tiga anak ini membuatkan saya rindu untuk hamil. Namun biar masa sahaja yang menentukannya.

Melahirkan Hakim, saya berpantang selama 100 hari lamanya. Melahirkan cara pembedahan membuatkan saya banyak mencari info-info berkenaan pantang kaedah tradisional dan moden. Saya gabungkan untuk mendapatkan kesan yang maksima. Nasihat dan panduan arwah emak sangat mujarab dan berkesan. Selepas 4 bulan perut kosong, saya mengandung lagi.

Saya bertanyakan doktor berapa peratusan ibu yang bersalin pembedahan yang mampu bersalin secara normal untuk anak kedua. Menurut doktor Asmah, pakar perbidanan PUSRAWI, hampir 70 peratus berjaya.

Dalam hati, saya mahu antara yang berada dalam 70 peratus tersebut. Dengan keinginan yang tinggi untuk bersalin normal. Saya selalu berdoa bersalin untuk kali kedua adalah secara normal.

Kontraksi setiap 10 minit saya rasakan seawal jam 7 malam. Selepas bersolat magrib saya memberitahu suami sudah bersedia mahu ke hospital. Kontraksi semakin terasa hampir setiap 5 minit. Masya-Allah inlah dikatakan nikmat bersalin.

Untuk membuang rasa sakit, suami memandu tenang dan saya sentiasa membaca ayat-ayat dan doa bersalin sepanjang perjalanan. Sambil itu muka berkerut-kerut menahan kontraksi.

Sebelum sampai ke hospital, kami melencong sebentar ke pasar malam Wakaf Che Yeh, terlupa pula membawa sarung kaki. Sampai di pusat bersalin An-Nisa, saya diletakkan bersama-sama dengan ibu-ibu yang lain untuk proses selanjutnya. Bukaan baru 2 cm. Masih lambat lagi, sudahnya doktor memberikan ubat tidur. Saya terlena sekejap. Kontraksi makin dirasai sekitar jam 5, 6, 7 pagi. Saya sudah tidak boleh tidur. Saya bangun, duduk, berdiri, berjalan ke sana ke mari. Tidak keruan. Setiap kali mencerut, saya pejam mata dan tarik nafas. Jam menunjukkan 8 pagi, doktor datang semula untuk memeriksa bukaan. Masih 2 cm. Masya Allah, kenapa dik susah benar mahu keluar, fakir saya.

Begitulah sehingga jam 6 petang. Saya hanya minum air milo dan roti untuk penambah tenaga. Badan sudah lembik sebenarnya. Kemudiaannya terasa seuatu mengalir dan panas. Ketuban saya sudah pecah, alhamdulilah. Saya menggesa suami memanggil jururawat. Saya disorong ke bilik bersalin. Masanya sudah tiba. Bukaan sudah 4 cm. Doktor bertanyakan saya sama ada mahu bersalin secara pembedahan.


“Tidak mahu doktor, saya mahu secara normal. Kita tunggu lagi,” saya mempertahankan semangat.

Kemudiannya doktor memberikan epidural. Saya terlelap dan mampu berehat. Penangan epidural membuatkan saya tidak lagi merasa sakit. Mata terlelap dan masa ini saya gunakan untuk mengumpul semula tenaga.

Kontraksi masih berlaku dengan hebat namun ianya tidak mampu memberi isyarat kepada otak untuk menyatakan kesakitan yang amat. Saya merasakan bukaan makin besar dan terasa seolah-olah Arif sudah mahu keluar. Saya panggil jururawat, sudah 10 cm dan bayi sudah bersedia untuk keluar.

Setelah doktor, bersedia. Saya belajar meneran. Dengan sekuat tenaga sehinggakan tersembur-sembur air liur. Belum keluar lagi. Cubaan kali kedua. Betis dirapatkan dipaha, tangan memegang besi, segala tenaga saya fokuskan untuk mengeluarkan Arif.

Bersama kalimah “Bismillahirahmannirahi, Allah hu Akbar.”

Suara Arif kedengaran selepas azan maghrib berkumandang. Hampir 24 jam menangung kontraksi. Saya menitiskan air mata kesyukuran. Seolah-olah membayar wang sejuta rasanya.

Info ibu hamil

•Lakukan urutan tradisional sekurang-kurangnya sebulan selepas tarikh bersalin bagi yang melalui proses bersalin secara pembedahan. Pastikan anda benar-benar bersedia untuk urutan. Sekiranya masih terasa sakit-sakit jangan lakukan dahulu.

•Masih boleh mengekalkan resepi yang menyihatkan, ambil halia muda, lada hitam yang ditumbuk sebagai ulam. Dimakan bersama nasi panas.

•Boleh bertungku pada bahagian belakang, bahu dan kaki. Hati-hati dan minta mereka yang mahir seperti bidan kampong.

•Mandi dengan air rebusan serai wangi dan daun pandan untuk menyegarkan badan.

•Terus menyusukan anak, ianya sangat membantu untuk memulihkan luka bersalin dan mengecutkan peranakan.

•Masukkan kelengkapan bersalin dan barangan bayi dalam beg kecil. Letakkan dalam bonet kereta sebagai langkah kecemasan sekurang-kurangnya ketika usia kandungan 8 bulan.

•Ketika kontraksi mula berlaku, banyakkan zikrullah, tenangkan minda fokuskan anda mahu mengalami satu perjalanan yang menarik.

Buku yang menarik untuk dimiliki.

1. Anak kita memang pintar cerdas. Tulisan Hasan Mohd. Ali Phd.


2. Didik anak jadi pintar. Tulisan: Rohani Sheikh Omar.




3. Petua membantu anak berjaya. Tulisan; Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.


2 comments:

Anonymous said...

hmmmppphhh...bestnyer saat bergelar ibu kan.....

tp aku trauma bersalin sorang2 next time around nak betul2 pastikan bapak budak pon ada sama teman...ngee

Masayu said...

kena betul-betul pastikan tuh!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin