Monday, January 11, 2010

Jihad sakit bersalin



Nota:Artikel ini adalah arkib bahan dan kesinambungan daripada bahan-bahan penyelidikan dan juga peraduan yang akan saya siarkan  ini di blog satu lagi.

Mari kita selongkar kehebatan wanita sepanjang kehamilan hinggalah zuriat yang dikandung. Moga kita terpilih sebagai wanita yang memilih cara sepatutnya selama kita hamil dan cara hidup seharian. Insya-Allah.

PEMBANGUNAN negara dan kecanggihan teknologi ada kalanya membataskan pengorbanan manusia untuk menempuh kepayahan dalam meneruskan kehidupan. Baik dalam pekerjaan atau apa sahaja, manusia akan cuba mengelak untuk melakukan pengorbanan dan bersusah payah, yang penting segala impian terlaksana dengan cara mudah.


Ini termasuk juga kaum wanita yang mengambil jalan mudah untuk tidak mahu mengandung dan melalui kesakitan bersalin tetapi lebih suka melahirkan kandungan mereka melalui pembedahan.

Perkara ini walaupun agak sedikit mudah tetapi perlu diberikan perhatian kerana melahirkan anak melalui cara normal merupakan jihad dan pengorbanan yang tidak ada tolok bandingnya dengan pengorbanan lain.

Sesetengah wanita mahu mengandung tetapi berasa susah hati apabila memikirkan bentuk badan mereka selepas melahirkan. Konon kata kawan-kawan, badan akan kembang, susuk badan akan menjadi tidak menentu dan kemungkinan suami pula akan lari.

Sejauh mana kebenaran ini, hanya kita sendiri yang dapat memberikan jawapannya. Mengandung dan melahirkan adalah nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan Yang Esa sementara bentuk badan pula terpulang kepada individu menjaga tahap kesihatan dan pemakanannya.

Ada pula yang tidak mahu mengurus dan menjaga anaknya setelah lahir, ini semua berpunca daripada sikap seseorang itu, bukannya salah orang lain. Ada kalanya wanita yang hidup mewah dan sentiasa terdedah kepada kehidupan sosial takut untuk mengandung dan bersalin kerana tidak mahu ada gangguan dalam hidup mereka.

Kemewahan yang dilalui juga ada masanya membataskan kehidupan mereka dalam melalui detik-detik pahit dan kesakitan ketika mahu melahirkan. Rasa sakit bersalin akan tetap dirasai, betapa pun mudah terjadinya kelahiran itu. Wanita yang mudah bersalin dikira bernasib baik kerana masa kelahiran itu pendek berbanding dengan yang perlu menanggung kesakitan selama berjam-jam. Sesetengahnya sampai berhari-hari.

Bagaimanapun wanita Islam tergolong dalam jumlah mereka yang lebih tinggi daya tahan kesakitan ketika hendak bersalin, oleh itu jarang kita dengar ada wanita Islam yang bersalin sampai terjerit-jerit kerana tidak tahan sakit.

Selain itu mereka mungkin mempunyai kekuatan di dalam hati dan sentiasa

mendoakan, keselamatan mereka dengan memohon perlindungan dari Allah s.w.t. supaya memudahkan mereka bersalin.

Untuk pengetahuan umum, kesakitan ketika bersalin berpunca daripada kuncupan. Kuncupan ini berlaku untuk memaksa bayi keluar daripada rongga punggung ibu untuk dilahirkan.

Apabila kuncupan ini berlaku, rahim akan mendatangkan rangsangan kepada urat saraf dan membawa mesej ini kepada saraf tunjang dan seterusnya ke otak. Di dalam otak segala maklumat dan mesej yang hendak disalurkan tentang kesakitan akan dianalisis dan dirasai.

Tidak dapat dinafikan kesakitan untuk melahirkan ini juga dipengaruhi oleh berbagai-bagai faktor psikologi atau jiwa seseorang. Misalnya tahap ketahanan fizikal dan mental mereka, ketabahan, kesabaran dan perasaan takut dan sebagainya.

Apabila kesakitan berlaku, sesetengah ibu akan berasa takut yang amat sangat disebabkan seluruh urat saraf dan otot-otot akan menjadi tegang dan si ibu tentunya menjadi semakin cemas bimbang dan resah.

Pun begitu teknologi yang ada sekarang membantu wanita melahirkan anak dengan paling mudah tanpa melalui kesakitan yang ketara. Untuk melaksanakan ini pelbagai kaedah dan cara boleh dilakukan. Di antara kaedah yang ditekankan ialah menerangkan ataupun menghilangkan kesakitan di peringkat otak secara psikologi seperti dengan cara meningkatkan ketabahan dan ketahanan seseorang itu dengan menguatkan jiwanya.

Sebagai orang Islam, salah satu cara untuk menahan kesakitan tersebut ialah dengan berbanyak-banyak mengucapkan nama Allah, bertasbih, berzikir.

Apabila kalimat ini terkeluar daripada mulut, maka Allah akan memberikan rahmat-Nya dan meringankan kesakitan kepada wanita berkenaan.

Selain itu rasa sakit bersalin juga boleh diatasi dengan peralatan moden yang terdapat di hospital-hospital pada masa ini. Contohnya melalui suntikan dan juga pembedahan. Bagaimanapun kebanyakan doktor dan bidan menyarankan supaya wanita yang mampu melahirkan bayi secara normal berbuat demikian kecuali mereka menghadapi masalah yang memudaratkan diri mereka sekiranya bersalin cara normal.

Bagi meringankan kesakitan untuk bersalin di bawah ini diturunkan beberapa cara untuk menangani masalah sakit tersebut untuk panduan dan ingatan.

1. Seelok-eloknya wanita yang mengandung dan menunggu saat melahirkan hendaklah menjaga pemakanan dan kesihatan dirinya.

2. Jarak kehamilan antara seorang anak dengan anak juga mesti diambil kira supaya kasih sayang terhadap anak-anak serta penjagaan mereka akan dimanfaatkan sepenuhnya.

3. Kewangan merupakan sumber penting yang harus diberi perhatian memandangkan kebanyakan wanita memilih untuk melahirkan di hospital. Sesetengah wanita bekerja mempunyai keistimewaan kerana kelahiran bayi mereka ditanggung oleh syarikat. Bagi yang tidak ditanggung dan masih berharap untuk bersalin di hospital elok merancang kewangan dengan teliti.

4. Menerima cahaya mata dengan tenang dan gembira tanpa menun-

jukan reaksi negatif. Contohnya, jika teringin anak perempuan tetapi yang lahirnya anak lelaki. Anggaplah sahaja kelahiran yang diberikan itu adalah anugerah Tuhan dan perlu diterima dengan rasa syukur.

5. Banyak membaca buku-buku tentang mengandung dan bersalin bagi meningkatkan pengetahuan. Seelok-eloknya menghadiri kelas untuk ibu mengandung bagi mendapatkan panduan dan bimbingan.

6. Suami isteri hendaklah memikirkan tentang tempat kelahiran dan sebagainya lebih awal daripada tarikh jangkaan supaya tidak kelam kabut. Ini juga untuk mengelak daripada membuat tempahan pada saat akhir yang mungkin memberi masalah kepada anda apabila tiba saat hendak bersalin.

7. Pada minggu akhir kehamilan elok ambil cuti dan berehat di rumah sambil melakukan senaman-senaman ringan supaya urat saraf dan otot-otot tidak kejang. Suami perlu menemani isteri ketika ini atau jika perlu mintalah ibu atau saudara-mara rapat menemani.


Doa-doa ketika hendak bersalin elok juga diamalkan setiap masa. Di antara ayat-ayat yang perlu dibaca ialah surah Albiya ayat 87, membaca ayat Kursi/AI-Baqarah ayat 255, Al-A'raf: ayat 54, membaca surah AI-Falaq dan Surah An-Nas.

Doa ini apabila diamalkan memudahkan wanita yang sakit hendak bersalin melawan kesakitan mereka.

Apabila telah selesai dan selamat bersalin, ibu-ibu dinasihati supaya ja-ngan pula lupa membaca doa kesyukuran yang bermaksud:

"Aku memohon perlindungan dengan kalimat llahi yang sempurna daripada semua syaitan dan binatang-binatang yang berbisa dan daripada pandangan mata yang jahat."

Pada masa yang sama jangan lupa apabila bayi itu selamat menjenguk dunia, jika dia lelaki, hendaklah diazankan di telinga kanannya dan jika yang lahir itu perempuan hendaklah dilaungkan lafaz iqamah di telinga kanannya.

Mudah-mudahan anak yang lahir itu akan menjadi insan mulia dan anak solehah di dunia dan akhirat dengan bimbingan kita sebagai ibu bapa mithali.

Sumber: November 2000 Wanita

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin