Wednesday, January 20, 2010
Bekerja sendiri - Ketahanan diri
Arkib: Utusan Malaysia
Foto:http://www.homeandsmallbusinesscentre.com
DALAM era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini wanita menghadapi cabaran yang lebih hebat dalam meneruskan keupayaan berkarier.
Perjuangan untuk mendapatkan kesamarataan gender di alam pekerjaan atau sebagai salah seorang pembuat keputusan di syarikat gergasi memerlukan komitmen yang cukup kukuh.
Dalam masa yang sama tuntutan sebagai wanita yang tradisinya berperanan sebagai ibu dan isteri memerlukan wanita menggandakan kebijaksanaan dalam urusan pembahagian masa.
Perkembangan sains dan teknologi telah membuka lembaran baru bagi wanita berjaya membina karier di samping menjadi aset keluarga yang hebat.
Wanita hari ini mempunyai pilihan alternatif iaitu `bekerja dari rumah' menggunakan kemudahan komunikasi yang canggih dan terkini untuk memasarkan produk kepada pasaran terbuka.
Konsep bekerja dari rumah telah lama diamalkan oleh wanita di seluruh dunia terutama di negara-negara membangun dan Malaysia tidak terkecuali.
Wartawan Roslah Othman dan Rahana MD berkongsi maklumat berkaitan proses membuat keputusan untuk bekerja sendiri dan memberi contoh antara individu yang berjaya melakukannya.
ISU keluarga merupakan antara perkara yang perlu diambil kira sebelum seseorang itu mengambil keputusan untuk bekerja sendiri.
Ini kerana sokongan keluarga yang padu diperlukan untuk menjadikan anda seorang homemaker berjaya.
Oleh kerana itu anda perlu memastikan rumah tangga benar-benar stabil, termasuk dari aspek kewangan, juga dari segi ketahanan mental dan fizikal.
Turut diambil kira ialah isu penjagaan anak, keupayaan diri dan isu peribadi yang lebih menjurus kepada pengorbanan dalam setiap perkara yang dilakukan.
Inilah antara perkara utama yang disenaraikan oleh Azma Abdul Hamid, wakil persatuan ibu-ibu bekerja dari rumah Mom4Mom, pada seminar Kepentingan Bekerja Sendiri Untuk Wanita Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau yang membincangkan kertas kerja bertajuk Perkara-Perkara Yang Perlu Difikirkan Sebelum Membuat Keputusan Untuk Bekerja Sendiri berkata individu perlu terlebih dahulu memahami konsep homemaker itu sendiri dan sebab hendak menjadi homemaker.
``Memahami mengapa kita memilih untuk menjadi homemaker amat penting. Sama ada semua yang dilakukan kerana ikutan atau ianya satu aliran terkini, ia perlu difikirkan masak-masak.
``Ini kerana keputusan yang diambil hari ini adalah penentu masa depan seseorang.
``Jangan cuba meniru orang lain kerana keupayaan dan kebolehan seseorang adalah berbeza-beza. Keputusan yang dibuat haruslah berdasarkan kepada keinginan serta kemampuan diri masing-masing,'' ujarnya.
Menjelaskan mengenai konsep homemaker, beliau berkata terdapat dua definisi.
Pertama ialah kerja yang tergolong dalam kategori mengurus rumah tangga seperti memasak, membasuh dan menguruskan anak-anak.
Manakala definisi kedua yang digunapakai dalam perbincangan ialah melibatkan kerja yang dibuat di rumah dan mendatangkan pendapatan.
Ini termasuklah menjalankan perniagaan dari rumah.
Merujuk kepada kajian ringkas yang pernah dijalankan oleh E-Homemakers.net, kata Azma, terdapat banyak sebab kenapa seorang wanita itu memilih untuk menjadi homemaker.
Antaranya, keinginan untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, masalah pembantu rumah, tidak terkecuali kurangnya kemampuan mengimbangi keperluan bekerja sepenuh masa dan menguruskan keluarga.
Kajian itu juga mendapati terdapat alasan tertentu yang menjadi penghalang seseorang memilih untuk menjadi homemaker. Ini termasuklah hilang pendapatan tetap, keyakinan diri yang rendah dan terlalu banyak komitmen kewangan.
Azma berkata, apabila seseorang itu memilih untuk bekerja sendiri timbul pula satu persoalan lain.
Apakah keutamaan sebenarnya, kemewahan, keluarga atau kepuasan sendiri semata-mata. Mampukah seseorang itu mengimbanginya?.
``Bagi yang meninggalkan pekerjaan, kestabilan kewangan dan pergaulan akan menjadi isu. Begitu juga bagi yang tidak pernah bekerja, kehilangan kebebasan untuk ke mana-mana dan pada bila-bila masa akan terbatas dan ia menjadi isu penting,'' ujarnya.
Berdasarkan kepada pengalaman sendiri, Azma berkata, memang benar seseorang itu tidak mampu memiliki kesemuanya dalam satu masa.
Bagaimanapun, ia tidak harus dijadikan alasan.
Ibarat kata pepatah hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Individu perlu berpegang bahawa Allah menjadi seseorang itu berlainan supaya kita dapat menyempurnakannya yang lain.
Menurut Azma, oleh kerana menjadi homemaker sinonim dengan menjadi seorang usahawan, keupayaan dan keterampilan yang ada perlu dihalusi supaya tidak menimbulkan kekesalan.
``Pilihan untuk mendapatkan best of both world itu tetap terbuka kepada sesiapa sahaja.
``Cuma pelaksanaan sedikit berbeza dan memerlukan kreativiti dan ketahanan diri masing-masing,'' ujarnya.
Labels:
Working At Home Mama (WAHM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment