Teks: Masayu Ahmad
Lama sungguh saya tidak berceloteh di sini, alhamdulillah sudah menjejaki hari-hari terakhir bulan Januari, saya merasakan tersangatlah laju masa bergerak. Saya masih dalam mood, kerja, kerja, kerja. Kesibukan saya turut dirasai anak-anak. Jadual tidur semua berubah, manakan tidak saya berjaga, kanak-kanak riang turut berjaga. Sangat tidak bagus.
Masak pun jenis masakan yang cepat dan mudah. Hampir setiap hari menu cekodok, nasi goreng, hari ini baru ada variasi sedikit. Roti dicelup telur dan dibakar untuk kanak-kanak riang dan sandwich telur untuk saya.
Insya-Allah bulan Mac, keadaan akan kembali normal. Hari ini sudah berlangsung karnival karangkraf, hasrat di hati mahu ke sana berjumpa teman-teman lama, apakan daya hajat tak sampai. Esok juga saya ada sesi perbincangan bermula jam 10 pagi hingga 1 tengahari.
Aktiviti aerobik taman sejak habis bulan raya tahun lepas belum bermula lagi, pengajarnya sangat sibuk dengan bisnes. Rancangan mahu berlari-lari dengan roha sekitar taman juga tergendala.
Petang semalam, kami berjaya juga mengeluarkan peluh. Dua mak dara terkedek-kedek memukul bulu tangkis depan rumah. Mulanya mahu main dalam pagar sahaja memandangkan rumah kami sebelah-menyebelah.
Kami ke laman depan, sebab anak-anak mahu mengiringi ;D. Seronok juga mengeluarkan peluh, barulah badan terasa lega. Treadmill saya, sekarang jadi perhiasan sahaja, selalu mengingatkan diri mahu berlari awal pagi, ingatan hanya tinggal ingatan.
Cepat bosan
Saya ini boleh dikategorikan individu yang cepat bosan dengan keadaan statik, jadi perlu pelbagaikan aktiviti barulah meriah. Saya melihatkan ciri ini pada Hakim (anak yang sulung), dia cepat bosan jika melakukan aktiviti yang sama, jadi saya faham sangat sebabnya hampir sama dengan karektor saya.
Berlainan Arif (nombor 2), sangat tekun dan boleh kusyuk sesuatu perkara dalam tempoh yang lama. Arif boleh sahaja melayan http://www.starfall.com/ dalam tempoh yang lama tanpa jemu. Dia tidak kisah apa yang berlaku sekeliling, hanya asyik dengan monitor sahaja.
No comments:
Post a Comment