Monday, December 15, 2008

Sayur masak lemak, pengat ubi

Saya kini bersiaran dari bumi Kelantan. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Belum pun sempat kain di jemuran kering, hujan rintik-rintik mula turun. Hujan-hujan begini acara paling menarik adalah makan, makan, makan.

Kalau balik ke kampung ada- ada sahaja menu yang menarik perhatian. Tengahari masak lemak sayur, ikan gelama kering dan daging goreng kunyit. Ditambah pula sambal belacan dan budu. Ish, macam mana badan tak naik.

Hujan rintik-rintik hingga ke petang, masih ada banyak ubi yang tergolek-golek dalam besen. Daun pandan dipetik sahaja dari belakang rumah. Haruman pengat berbau daun pandan sungguh mengasyikan. Teringat pula arwah emak, memang ada sahaja menu petang-petang begini. Jika tidak cekodok pisang, pengat pisang atau apa sahaja kuih untuk anak-anak mengalas perut. Paling saya gemarkan lepat pisang, saya sudah mencuba membuat sendiri. Masih belum setanding lepat pisang arwah. Saya perlu mencuba lagi.Semasa belajar di universiti dahulu, apabila pulang sahaja bercuti pasti arwah membuatnya untuk saya.

Pagi tadi sambil menjemur kain, sekilas terpandang taman sayuran dan herba di belakang dapur. Itulah orang kampung suka berbudi pada tanah. Serai hidup subur, banyak rumpun juga, daun pandan begitu tersusun-susun daunnya, percikan air hujan masih kelihatan pada daun. Nampak begitu segar bugar. Halia, lengkuas, serai wangi dan macam-macam. Semua ada di belakang dapur. Masa saya berpantang serai wangi dicampur daun pandan direbus hingga mendidih, disediakan untuk mandi. Setiap pagi mandi sunguh segar dan harum.

Hakim dan Arif rutin setiap pagi dan petang bersama Tok Ayah keliling kampung naik motor. Kelakarnya Arif, dia takut memijak pasir pantai. Apabila dipijak seolah-olah kakinya jerlus dalam pasir putih pantai. Lalu Arif berdingkit-dingkit. Takut kakinya tenggelam.

Wednesday, November 19, 2008

Bonda Tersayang Kembali Ke Rahmatullah

Al-Fatihah.

Jam 3.00 pagi bersamaan 12/11/2008 bonda kesayangan menghembuskan nafas terakhir. Hanya iringan doa dan ayat-ayat suci buat pengubat rindu untuk bonda tersayang.
Terasa masa begitu singkat, rupanya syawal lalu, adalah yang terakhir kami sekeluarga beraya bersama arwah. Moga-moga arwah aman bersemadi di sana. Rasanya belum puas lagi memberi khidmat bakti kepada arwah.

Tiada lagi tempat mengadu, tiada lagi tempat bermanja, tempat mencurah segala masalah.
Saya akan rindukan pelukan dan kasih sayang arwah. Saya masih terkenangkan arwah apatah lagi apabila melihat setiap sudut rumah dan tempat arwah berehat. Saya redha atas pemergiannya. Moga-moga roh arwah dicucuri rahmat.

Al-Fatihah

Tuesday, November 4, 2008

Mak Cik Nasi Kerabu

Jika mood malas memasak untuk sarapan, saya biasanya gemar ke gerai Mak Cik nasi kerabu. Itulah pengubat rindu bagi masakan Pantai Timur. Bukan sahaj nasi kerabu, masakan lain seperti nasi dagang, nasi berlauk dan nasi lemak pun ada.

Sambil menunggu Mak Cik membungkus, kami berborak. Katanya, setiap hari dia akan membuat persediaan seawal jam 2 pagi hinggalah jam 12 malam. Hanya dua jam sahaja masa tidurnya untuk berehat. Kagum saya dengan kerajinannya. Bukan hanya 4 jenis nasi sahaja, lauk-pauk lain seperti daging goreng, ayam masak merah, paru goreng dan macam-macam lagi, semuanya dibuat seorang diri. Alahai Mak Cik. Kagum saya dibuatnya.

Monday, October 27, 2008

Terima Kasih Sudi Bertandang

Alhamdulillah, saat-saat akhir penghujung syawal, sempat juga saya mengadakan rumah terbuka, tidaklah ramai hanya kenalan terdekat dan jiran-jiran di sekitar taman sahaja. Hanya lebih kurang 100 jemputan sahaja yang berkunjung.

Hmm memang puas hati menyajikan hidangan hasil air tangan sendiri. Bermula jam 1 tengahari dan tamu terakhir lewat 12 malam.
Masih ramai rakan-rakan yang tidak sempat saya jemput. Insya-Allah jika dimurahkan rezeki tahun depan berjumpa lagi.

Friday, September 12, 2008

Kak Yan pulang bercuti

Raya kali ini, kali pertama pembantu rumah saya pulang ke kampungnya, nun di Selatan Thai, Narathiwat. Saya juga sudah lama tidak ke sana, terakhir melawat sanak saudara di Thai ketika umur 12 tahun.

Saya bukan orang Thailand, ya! Cuma semasa zaman Jepun dahulu ramai yang sanak saudara sebelah ayah berhijrah ke sana. Apabila ada kenduri mereka akan ke sini atau kami akan ke sana.

Seronoknya, banyak masakan dan murah-murah pula. Teringat ketika saya di sana, bihun supnya hanya 20 sen, macam-macam lauk ada. Aneka kuih pula tidak terkiralah. Amat kreatif. Paling saya suka pulut santan dan buah mangga kuning. Sungguh sedap. Roti canai yang digulung padat dan didalamnya ada susu. Lemak dan sedap juga. Apabila digigit terasa keenakan dan kelembutan padu.

Tidak tahu hendak menjengah ke rumah mana dahulu, begitulah ramahnya jiran tetangga di sana. Sarapan di rumah ini, makan tengahari di rumah sana dan makan malam di ruma sinun pula. Saya sangat suka suasana sebegitu.

Nampakya, Aiman, Arif dan Hakim perlu tinggal di rumah jiran sebelah sementara Kakak pulang ke kampung. Semoga urusan dipermudahkan, mungkin saya agak letih sedikit dari biasa, kerana perlu menguruskan semua sekali.

Monday, September 1, 2008

Selamat Menyambut Ramadhan

Alhamdulillah, ramadhan muncul lagi. Teringat semasa usia masih kecil, takkala selesai berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, saya selalunya mengikut ibu, untuk turut serta menunaikan tarawih di masjid. Suasana di kampung apabila menjelang ramadhan cukup meriah. Bagaikan seluruh kampung meraikan, beramai-ramai berjalan kaki ke masjid, ada juga yang menunggang motosikal. Lelaki, wanita, tua dan muda sama-sama berusaha mengambil keberkatan.

Saya masih rindu dan terbayang suasana tersebut tatkala ramadhan menjelma.
Apatah lagi masakan emak yang begitu enak saat menjamu beramai-ramai berbuka puasa. Kemeriahan paling dirasakan sewaktu mengadakan kenduri berbuka puasa beramai-ramai. Sanak-saudara dan jiran tetangga dijemput bersama. Bertukar-tukar juadah adalah rutin, hinggakan tidak tahu menjamah yang mana satu. Kuih-kuih tradisional khususnya beraneka rupa, buah melaka, sira pisang, pengat, ikan percik, semuanya dimasak sendiri, tanpa perlu bersusah-susah membeli. Air tangan ibu sampai bila-bila pasti dirindu.

Thursday, August 21, 2008

Al-Fatihah untuk jiran saya

Hari ini genap dua minggu pemergian suami jiran saya, arwah Ismail. Sungguh cepat masa berlalu. Rumah beliau selang satu rumah dari kanan. Saya berkesempatan juga menjengok arwah pada saat-saat akhir kematian. Jam 6 petang saya dan suami berkesempatan untuk menziarah di Pusat Perubatan Pantai, Ampang, pada masa itu arwah sudah koma. Badannya tidak bergerak, terlantar di atas katil wad. Saya sebaik mungkin cuba menenangkan isteri arwah, yang kelihatan cukup tenang dalam situasi itu. Jam 9 malam, saya menjengah ke luar tingkap, kelihatan kenderaan jenazah. Saya bersegera ke rumah arwah. Arwah meninggal pada lewat petang, rupa-rupanya semasa ziarah saya itu, adalah saat-saat akhir dia bertarung nyawa. Cukup menginsafkan bahawa kematian akan berlaku pada bila-bila masa dan siapa sahaja.
Alhamdulillah, jiran-jiran semua berkumpul dan selama tiga hari majlis tahlil diadakan, semua jiran tetangga tidak lokek menghulur bantuan. Tidak kiralah kata-kata semangat mahupun sama-sama menyertai bacaan tahlil. Al-Fatihah.

Wednesday, July 23, 2008

Arif yang gebu

Hmm...hari ini, ibu suka sangat Arif sudah kembali akrab dengan ibu. Ibu masakkan moi sup kegemaran Arif. Sarapan pagi, nasi goreng ringkas ditambah perisa telur campur. Macam biasa Arif makan dengan berselera. Itulah ibu suka, kalau bab makan Arif tidak menolak.

Untuk menu tengahari ibu sudah sediakan moi sup, dihidangkan bersama bawang goreng, kismis cincang dan sup ikan. Hari ini ibu lambat pergi kerja, bawa Aiman ke klinik.Sempat juga bersantai melayan Arif.

Sambil memegang sebungkus roti, Arif bawa dan letak dalam bakul basikal.Ibu kata...rotiiii...roti... ajuk iklan roti dalam tv. Arif pun sambung otiii...otiii... sambil gelek basikal. Suara Arif kedengaran lagi otiii...otiii.... Ibu senyum sahaja, layan keletah Arif.

Monday, July 14, 2008

Fokus, fokus, fokus

Deadline sudah makin hampir, ibu perlu segera menyiapkan apa yang sudah dirancang. Kadangkala tika ibu kusyuk, datang dua hero. Sorang menarik tangan kanan, sorang tertenggek atas riba kiri. Hakim sudah sedia atas riba kiri, Arif pun datanglah cemburunya.

Ibu layan sekejap hero-hero yang riang ini. Bila lah depa nak tido ni, kadang-kadang. Ibu tutup lampu sambil temankan Hakim dan Arif tidur. Sambil menyanyi zikir munajat, tidak lupa ulangi A-Z. Sukanya, bila Hakim sudah ingat semua huruf. Arif sudah boleh ikut juga, Hakim mengulang-ulang A,B,C. Apabila semua sudah penat, terlena juga akhirnya.

Sunday, July 13, 2008

Diari Hakim

Hari ini ibu lambat pulang. Kakak Yan lupa ingatkan ibu kunci pintu pagar ada dalam simpanan kakak. Apabila sampai di depan rumah, sebagaimana biasa Pak Cik Dollah bunyikan hon van. Pon…pon..pon.. tiga kali setiap kali. Lepas tiga minit baru kakak bukak pintu. Hakim macam biasa cepat-cepat lari anak agar cepat sampai depan pintu. Hakim tidak lupa lambai-lambai tangan pada kawan-kawan dalam van.

Hakim dahaga sangat. Hari ini panas terik. Macam biasa kakak akan bagi Hakim sebotol susu. Hakim terus meluru sofa, tempat biasa Hakim lepak sambil minum susu. Sambil itu mata melilau cari kelibat ibu. Macam ibu tak ada. Sambil tangan pegang botol susu, Hakim menapak anak tangga. Mungkin ibu ada di tingkat atas. Sedang baca buku atau majalah atau mengadap komputer. Tapi paling best kalau ibu tengah lelap. Hakim lepak sama. Rebah badan di sisi ibu. Seronok sangat dapat peluk ibu. Atau Hakim tarik tangan ibu pelan-pelan. Biar ibu peluk Hakim. Sambil minum susu Hakim usap-usap tangan ibu. Lama-lama Hakim lelap dalam peluk ibu. Tapi itu semalam hari ini ibu tak ada. Hakim turun semula ke bawah. Hakim letih hari ini. Lepak atas sofa terus lelap.

Saturday, July 5, 2008

Eratkan hubungan kejiranan

Malam ini ada ada sedikit kenduri di kawasan kejiranan saya. Untuk tahun ini sudah lama tidak berkumpul sambil ada acara makan-makan. Saya sempat meluangkan masa untuk bertandang dan tumpang makan sekali.

Sambil berkumpul sambil berborak, antara topik yang disentuh malam ini, rumah dimasuki pencuri dan perihal pengasuh dari Indon. Sejak kebelakangan ini setiap rumah perlu berhati-hati memandangkan kejadian kecurian berlaku tidak mengira waktu. Sebelah pagi mahupun dinihari, seboleh mungkin dijauhkan lah rumah sendiri dimasuki pencuri.

Saya cukup tersentuh apabila seorang teman menceritakan perihal seorang teman pejabatnya yang mempunyai pengasuh atau bibik dari Indonesia. Mempunyai bayi kembar perempuan yang berusia hampir setahun. Kedua-duanya ditinggalkan bersendirian apabila bibik lari dari rumah. Sekembalinya si ibu dari kerja mendapati anak-anaknya tiada. Mencarilah ke merata tempat. Sedihnya, seorang tertiarap dan sudah tertidur keletihan di dalam bilik air dan seorang lagi tertonggek bontotnya di bawak kerusi. Sunguh menyayat hati.

Friday, July 4, 2008

kasihnya ibu














Alhamdulillah Naufal Aiman sudah mula tergolek-golek untuk meniarap. Hari ini Aiman sudah menjangkau usia enam bulan. Seronok ibu, melihat perkembangan Aiman. Apabila ibu sampai di rumah Aiman sudah menegur-negur dari jauh. Aiman sudah boleh bau dan hidu agaknya kelibat ibu.

Naufal Arif seperti biasa cuba menarik perhatian, untuk berlari-lari dan bermain bersamanya. Ibu melayan juga, jika tidak Arif merajuk lagi. Naufal Hakim seperti biasa, datang menarik tangan agar ibu cepat-cepat on kan lap top, mahu dengar lagu alif, ba, ta lagi. Itulah rutinnya seharian, letih tapi bahagia.

Minggu depan ibu perlu out station lagi atas urusan kerja ke Terengganu. Anak-anak comel ibu, akan ditinggalkan lagi. Moga-moga kali ini tiada lagi yang akan demam. Biasanya Hakim seminggu sebelum ibu pergi, Hakim sudah demam. Sudah tahu ibu akan meninggalkan keluarga buat seketika. Moga-moga tidak untuk kali ini.

Wednesday, June 18, 2008

Alhamdulillah, Makin Sihat

Alhamdulillah sebagaimana biasa, selepas keluar wad pada bulan Februari yang lalu, hari ini adalah pertemuan yang kedua dengan doktor pakar. Menurut doktor, Hakim makin sihat, tetapi dos untuk ubatnya masih perlu diteruskan seperti biasa. Kesihatan Hakim semakin konsisten walaupun ketika cuaca tidak menentu, saya perlu lebih waspada agar asmanya tidak kembali melarat. Walaupun nasihat doktor, sudah tidak perlu berpantang makanan lagi, tapi saya rasa Naufal perlu membiasakan diri memilih makanan yang sihat sahaja.
Boleh jika mengambil pandangan doktor, jangan terlalu mengongkong atau menyekat, jika dia sudak bersekolah nanti, dia akan ambil makanan yang sudah tidak diambil. Saya memikirkan secara pro dan kontra. Buat masa sekarang mungkin masih boleh berpantang ais krim, tetapi jika Hakim mahu, dibolehkan dalam kuantiti yang dikawal dan tidak berlebihan.

Thursday, May 22, 2008

Mengamit memori

Sebelum ini bukan tidak pernah berjumpa dengan mereka yang mempunyai anak yang istimewa. Bukan tidak pernah menyelami perasaan ibu yang mempunyai anak yang menghidapi penyakit. Malahan apabila membaca rencana berkenaan anak-anak yang terkena pelbagai kompilasi penyakit, hati mudah tersentuh.

Kali pertama menjejakkan kaki ke wad kecemasan membuatkan hati dipagut rasa tidak keruan, apatah lagi apabila melihat darah daging sendiri. Saya tidak terlalu mengikut perasaan. Tidak seperti mana ketika melalui detik-detik manis semasa ingin bersalin, kali ini lain pula rasanya.
Apabila melihat keletah manja dan riang bertukar dengan keadaan sedikit perubahan. Nafasnya tercungap-cungap menahan seolah-olah sukar untuk bernafas. Suaranya mengerang-ngerang tanda tidak selesa dengan persekitaran. Mendukung salah, meletaknya dalam buaian pun salah. Saya seboleh mungkin ingin membuatnya rasa selesa. Tangisannya sudah berhenti, namun sesak nafasnya belum kunjung reda. Saya cuba menepuk-nepuk memberi sedikit ruang agar dirinya selesa.

Kali pertama menghantarnya ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan, tidak banyak perubahan yang berlaku. Sehingga kali ketiga, doktor menyarankan agar dibawa ke hospital. Namun kami cuba juga memberi rawatan di rumah berpandukan arahan doktor dan ubat yang diberi.

Pada malam hari hingga ke dinihari, keadaannya sudah agak mencemaskan. Kami suami isteri bersegera ke klinik berdekatan, disebabkan hari minggu sukar untuk mencari klinik yang beroperasi 24 jam. Nasib memang menyebelahi kami, syukur alhamdulillah kami berjumpa dengan sebuah klinik yang dibuka 24 jam. Kami perlu menunggu beberapa ketika kerana doktor yang bertugas tiada. Sambil mendukung dan memeluk Naufal, saya cuba memujuknya agar jangan menangis. Itu sahaja yang terdaya. Pembantu klinik yang melihat keadaan Naufal yang begitu memerlukan rawatan segera, menyarankan kami masuk ke bilik doktor untuk mendapatkan bantuan pernafasan. Naufal diberi Nabulizer (sejenis gas untuk pesakit asma sebagai pelega pernafasan).

Seketika kemudian, doktor yang dinanti tiba, dia seperti rutinnya bertanya apa yang berlaku. Saya menerangkan keadaannya dan juga rawatan yang sudah diterima. Penjelasan dari doktor muda itu kami terima dengan hati terbuka. Perlu membuat rawatan susulan di hospital. Kali ini tidak berlengah lagi kami terus ke hospital. Selepas rawatan susulan, Naufal di x-ray dan ditempatkan di wad kanak-kanak.

Bau ubatan, keadaan keliling wad yang diselang seli dengan tangisan bayi yang menangis memberi satu suasana baru kepada saya. Kami ditempatkan di sebuah bilik yang berkongsi dengan tiga pesakit lain. Doktor mendapatkan maklumat apa yang berlaku dan apa rawatan yang sudah diberi. Sehingga hari keempat Naufal beransur pulih, tetapi keadaan yang semakin sihat, mencemaskan pula apabila suhu badannya meningkat sehingga 39 darjah celsius. Demam panas pula. Pakaian ditanggalkan, adakalanya pada satu ketika badannya mengigil-gigil, itu ada situasi yang tidak dapat dilupakan. Memandangkan ini anak pertama, saya tidak tahu apa yang perlu dibuat. Saya bersegera memanggil jururawat, pakaian Naufal ditanggalkan dan badan dilap dengan kain basah. Sehinggalah pada satu ketika dia kelihatan seakan kebiruan. Perasaan saya tidak tenteram, jururawat mencadangkan jangan terlalu banyak meletakkan air, badan terasa sejuk diluar tetapi panas di dalam. Buat beberapa ketika suasana semakin reda. Malam berikutnya kami suami isteri bergilir rehat, takut pula serangan demam panas akan menyerang lagi. Keadaannya sebegitu berulang beberapa kali pada waktu petang dan malam hari untuk dua hari berturut-turut.

Demam panas boleh menyebabkan sawan. Jadi kali ini walau sepenat manapun kami, saya tidak terlepas pandang melihat Naufal. Tidak mahu apa-apa yang mencemaskan berlaku lagi. Alhamdulillah genap seminggu kami dibenarkan pulang.

Kehidupan kami kembali normal, sehingga suatu petang akibat terkena sedikit tempias hujan, Naufal mula menunjukkan reaksi perubahan. Hidungnya berair dan badannya panas. Apabila malam berlabuh, tidurnya diganggu dengan nafas yang tercungap-cungap. Tanpa berlengah kami ke klinik berdekatan. Selepas menerima rawatan dia kembali sediakala. Namun keadaannya tidak habis disitu, apabila detik jam menginjak ke pagi hari pernafasannya kembali sesak, Naufal merengek-rengek tidak selesa.

Kami tidak berlengah lagi terus ke wad ke kecemasan, seperti biasa selepas diberi rawatan nebulizer, Naufal kelihatan selesa seketika. Namun dia perlu ditahan kerana keadaan masih belum berada pada tahap yang sepatutnya. Saya dan suami akur dengan keadaan. Sekali lagi Naufal ditempatkan di wad yang sama. Kali ini keadaanya berlanjutan sehingga tiga minggu. Sehingga untuk kali kelima pada awal Disember yang lalu Naufal ditahan di wad selama seminggu. Selepas seminggu menerima rawatan, Naufal masih lagi memerlukan rawatan susulan. Terima kasih kepada para doktor dan jururawat 8A, Hospital Selayang yang telah merawat Naufal Hakim, jasa kalian tidak akan kami, suami isteri lupakan.
There was an error in this gadget

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin