Sunday, January 10, 2010

Cinta hati, jiwa dan raga

Foto: Google







Assalamualaikum w.b.t

Salam penuh kasih sayang, sudah banyak hari rupanya saya tidak meninggalkan catatan, oleh kerana kekangan waktu. Putaran 24 jam, 7 hari bagaikan tidak cukup buat saya, mahu atau tidak, cemerlang atau tidak, siap atau tidak, itulah sahaja masa yang perlu saya gunakan semaksima yang mungkin.

Melihatkan ini, rasanya saya tidak berkeseorangan, rata-rata ibu yang bekerja di rumah, seperti Zubaidah Arba'i atau idah, Wan Anie juga menghadapi situasi seperti saya. Mempunyai anak-anak yang masih kecil sememangnya sangat memerlukan kesabaran dan ketekunan dalam melaksanakan kerja di rumah.

Pada saya penat macammana sekalipun, hubungan anak dan ibu, tetap memerlukan perhatian. Walaupun sibuk, anak-anak masih di depan mata. Sudah banyak malam juga, anak-anak tidur menemani saya di bilik bawah, sampaikan mereka terlena, jika tidak di atas katil, saya sudah hamparkan toto di belakang saya. Apabila mereka penat bermain, terus sahaja lena. Kadang-kadang tidak sedarpun, apabila saya berpaling ke belakang, sudah bergelimpang lena. Alahai anak-anak. Maaf kan ibu, mencuri masa kalian.

Sangat berbeza bagi wanita bekerja di rumah walau sibuk anak berada di rumah . Tetapi bagi wanita yang bekerja bukan di rumah jika masih di tempat kerja sehingga lewat malam, atau kerana out station perlua berkorban masa untuk anak-anak. Inilah antara dilema wanita versi moden.


Pun begitu, ketabahan isteri dan wanita yang penuh komitmen bekerja dan berkorban masa bersama anak-anak bukanlah satu pengorbanan yang sedikit. Perlu dihargai. Wanita bergelar surirumah, bekerja di rumah atau bekerja di luar rumah semuanya memainkan peranan yang penting. Untuk membantu ekonomi keluarga, membina kredibiliti diri, memberi khidmat kepada masyarakat juga untuk berkongsi ilmu yang dimiliki.

Ditinggalkan lagi

Malam ini kami ditinggalkan lagi, en.suami juga sangat sibuk bulan ini. Nasib baik saya tidak bekerja seperti dahulu, jika tidak dua-dua sibuk out station. Tinggallah anak-anak dengan pembantu. Harapnya juga en.suami selamat pergi dan balik. Minggu ini saya memasak yang simple dan mudah sahaja. Juga mencuba resepi versi sendiri. Semalam nasi goreng daun kesum, memang wangi, daun kesum ambil dalam segenggam diracik dan dimasukkan. Ianya memang memberi bauan harum dan wangi. Kesum adalah sejenis herba yang bagus untuk kesihatan.

Satu blog lagi tidak sempat membuat entri baru, namun dalam minggu ini saya sedang membuat pembacaan dan penyelidikan tentang aromaterapi. Memandangkan ianya salah satu disiplin untuk editor atau penyunting yang memerlukan yang lebih teliti dan menyeluruh dalam sesuatu perkara. Semakin diteroka semakin tenggelam, inilah antara habit kaki buku macam saya. Tidur buku, minum buku, hari-hari buku.

Malam ini gamaknya berjaga sampai ke pagi lagilah saya. Kena siapkan juga kerja yang berstatus 'segera', itu tidak termasuk senarai kerja yang menunggu tarikh akhir 30 Januari 2010. Saya suka situasi ini, tidak terkongkong atau terbeban, cumanya saya perlu konsisten dengan kelajuan marathon penulisan, penyelidikan dan suntingan. Ketiga-tiganya perlu berjalan seiring. Insya-allah, harapnya juga saya kekal bertenaga.

Walaupun ini dunia dan minat saya, kesibukan ini tidaklah saya anti sosial. Apabila berjumpa kawan lama, saya tidak suka mengatakan saya sibuk, hanya cakap biasa-biasa sahaja. Semua orang pun sibuk, pandai-pandailah mengurus dan mengagihkan masa. Jika pulang ke kampung, saya sama sekali tidak menyentuh kerja, pada masa inilah digunakan untuk bertandang dan bertanya khabar saudara mara. Bukan setiap hari pun balik kampung. Sudah meleret panjang. Saya mahu sambung kerja. Salam penuh kasih sayang.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin