Peserta ke 8-LATHIFAH ULFA BINTI ISMAIL
Saya memilih untuk menceritakan Cabaran menjadi Wanita Bekerjaya dan Cabaran menjadi Isteri Solehah & Ibu Mithali.
Saya mula bekerja sebagai seorang peguam sebelum saya berkahwin lagi. Setelah berkahwin, suami mengizinkan saya untuk terus bekerja malah beliau menggalakkan saya cemerlang di dalam kerjaya saya. Kata beliau saya perlu mempunyai kerjaya yang stabil sebagai jaminan sekiranya terjadi apa-apa kepada dirinya.
Saya mengendalikan pelbagai jenis perjanjian terutamanya yang melibatkan urusan jual beli hartanah. Kerjaya ini memerlukan saya berurusan dengan pelbagai jens lapisan masyarakat kerana hampir semua orang mahu memiliki rumah tidak kira apa taraf kehidupan mereka. Alhamdulillah kebanyakan klien saya tidak mempunyai pelbagai karenah. Mereka memahami kadangkala ada urusan jual beli tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan kerana ia melibatkan banyak pihak dan setiap pihak mempunyai prosedur dan cara kerja mereka yang tersendiri yang perlu dipatuhi.
Namun, ada juga di antara klien saya yang sukar untuk memahami realiti ini. Mereka beranggapan yang urusan jual beli hartanah semudah membeli barangan di pasar atau pun membeli kereta. Mereka inilah yang selalu mendesak kami untuk menyegerakan urusan sedangkan tidak semua urusan dapat disegerakan.
Inilah cabarannya. Biasanya saya akan menerangkan prosedur-prosedur tertentu dengan jelas dan memastikan mereka memahami penjelasan saya. Saya juga memberikan tempoh waktu yang biasanya sesuatu urusan itu dapat diselesaikan dengan memberikan beberapa pengecualian sekiranya timbul masalah-masalah yang tidak diingini.
Saya juga menghadapi cabaran untuk menguruskan staf-staf di pejabat. Sebagai ketua, saya perlu memastikan mereka menjalankan tugas dengan betul dan mengikut jadual supaya apa yang dikehendaki oleh klien dapat dijalankan sebaik mungkin. Setiap seorang staf saya berlainan dengan yang lain dan saya berhadapan dengan mereka menggunakan cara yang bersesuaian denga karektor mereka. Biasanya sekiranya mereka menghadapi masalah untuk melakukan sesuatu kerja, saya akan berbincang dengan mereka dan akhirnya kami akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Menjadi wanita bekerjaya dan di dalam masa yang sama juga seorang ibu dan isteri memberikan cabaran yang tersendiri. Memandangkan anak-anak saya masih kecil, mereka sangat rapat dengan saya dan mahukan segala perkara saya yang lakukan untuk mereka walau pun kami mempunyai pembantu rumah. Contohnya sebaik sahaja saya pulang ke rumah, mereka mahu saya bermain dengan mereka, menyuapkan mereka makan apabila saya makan (walau pun sebenarnya mereka sudah makan bersama pembantu sebelum itu), memandikan mereka dan sebagainya.
Walaupun letih, saya menganggap ini sebagai cabaran. Saya tahu mereka kesunyian dan merindui mama mereka sepanjang ketiadaan saya di rumah. Justeru dengan masa yang terbatas, saya cuba untuk memenuhi permintaan mereka. Saya akan memandikan mereka dan menyiapkan mereka di waktu pagi sebelum saya ke pejabat dan apabila pulang, saya akan mengajar mereka membaca Iqra’ dan mengulangkaji pelajaran sekolah. Kemudian, saya akan menidurkan mereka dimana kadang-kala saya juga turut tertidur bersama. Kini, saya juga mula mengajardan menggalakkan mereka untuk berdikari terutamanya untuk menguruskan diri sendiri.
Di dalam masa yang sama, saya juga turut membantu suami dengan urusan perniagaan beliau. Saya cuba untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 1 jam sehari untuk menjaga kedai supaya beliau dapat berehat sebentar. Sebenarnya apa yang suami saya perlukan adalah sokongan dan kefahaman daripada seorang isteri di dalam cita-cita beliau untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya suatu hari nanti.
Saya bukanlah superwoman yang mampu untuk menjalan kesemua peranan saya sebagai isteri, ibu dan pekerja dengan cemerlang. Saya akui masih terdapat banyak kekurangan di sana sini. Tetapi dari masa ke masa saya cuba untuk sentiasa memperbaiki diri. Di masa-masa terluang, sambil-sambil menidurkan anak atau di awal pagi sebelum Subuh, saya cuba untuk membaca bahan-bahan bermanfaat dan melayari blog-blog yang berkaitan dengan keibubapaan dan panduan wanita bekerjaya. Alhamdulillah saya bertemu blog Diari Naufal yang saya rasa banyak memberi panduan dan tip-tip berguna kepada orang seperti saya.
Mudah-mudahan Allah SWT akan memudahkan urusan saya di rumah dan pejabat juga ketika bersama masyarakat sekeliling kerana matlamat saya adalah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.Amin.
No comments:
Post a Comment