Sumber:http://www.blogger.com/goog_1262608593821
Arkib: Utusan Malaysia 22/12/2009
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Kementerian Kerja Raya yakin program perintis bekerja dari rumah yang dilancarkan hari ini akan berjaya dan dapat diteruskan sebagai satu amalan baru dalam sektor perkhidmatan awam.
Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, program perintis bermula Januari hingga Mac tahun depan itu memberi banyak kelebihan kepada kerajaan dan kakitangan awam terutama soal penjimatan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Program ini bukan dibuat untuk suka-suka. Saya amat percaya ia akan dapat diteruskan setelah projek perintis ini selesai," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program tersebut di sini hari ini.
Seramai 39 kakitangan yang berkhidmat di kementerian itu terutama mereka yang bertugas sebagai Penolong Juruukur Bahan, Pelukis Pelan dan Juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) terpilih untuk menjalani program perintis itu selama tiga bulan.
Kesemua mereka yang bertugas di Cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Cawangan Arkitek dan Cawangan Ukur Bahan dipilih berdasarkan skop tugas secara langsung yang hanya melibatkan penggunaan komputer dan Internet.
Mereka yang dipilih juga terdiri daripada kakitangan berprestasi tinggi, bebas tindakan tatatertib, hanya memerlukan pengawasan minimum dan sanggup menerima semua tugasan.
Shaziman berkata, program tersebut akan membolehkan mereka yang terpaksa berbelanja sehingga RM1,300 sebulan untuk ke tempat kerja berjimat, selain dapat menumpukan masa yang lebih berkualiti di rumah dan mengurangkan tekanan di tempat kerja.
Katanya, di pihak kerajaan, ia akan dapat mengurangkan kos operasi seperti sewa pejabat, bangunan, tempat letak kereta, bil utiliti dan penyelenggaraan.
Beliau berkata, program itu akan dapat melatih dan membudayakan kakitangan JKR untuk memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti Internet selaras dasar kerajaan mempertingkatkan penggunaannya pada tahun depan.
Begitupun, katanya, cabaran besar yang perlu dihadapi kementerian dalam melaksanakan program itu adalah memastikan integriti kakitangan yang bertugas dapat dijaga dengan baik.
"Apa yang kita harapkan mereka yang terpilih ini bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Bagaimanapun, kita sentiasa memantau tugas-tugas yang mereka lakukan," katanya.
Jelasnya, antara mekanisme yang dirangka bagi mengukur produktiviti peserta sepanjang program itu termasuk menilai hasil kerja berdasarkan sasaran yang ditetapkan.
"Misalnya jika purata hasil kerja semasa adalah 10 helai lukisan sebulan bagi seorang pelukis pelan, maka sasaran untuk program ini adalah dia perlu menghasilkan 13 lukisan baru dalam sebulan," katanya.
Sementara itu, seorang peserta program itu, Norhayati Zakaria, 49, yang sudah 29 tahun bertugas sebagai Pelukis Pelan di JKR berpendapat, program itu amat fleksibel dan memudahkan urusan hariannya.
Katanya, jadual kerja hariannya sekarang mengambil masa yang banyak terutama apabila terpaksa menghabiskan tiga hingga empat jam di atas jalan raya untuk ke tempat kerja.
Ujarnya, setiap hari dia terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk petrol, tol dan makan selain membayar tempat letak kereta di pejabatnya yang terletak di Mid Valley Megamall.
"Saya lega kerana apabila program ini dilaksana kelak, ia akan dapat meringankan bebanan yang saya hadapi terutama kos sara hidup dan menjaga keluarga setiap hari," katanya.
Menurutnya, program itu amat sesuai diamalkan bagi sesetengah kakitangan kerajaan sepertinya yang tidak memerlukan pengawasan pihak atasan dengan kerap.
Bagi Noorsam Samsuddin yang telah 18 tahun bertugas sebagai Pelukis Pelan di JKR, percubaan melaksanakan program bekerja dari rumah itu amat memberi faedah kepadanya.
Katanya, masalah utama yang dihadapi oleh golongan pekerja sepertinya adalah terpaksa menggunakan masa yang begitu banyak hanya untuk pergi dan pulang dari kerja.
Sementara itu, Mustaffa Kamal Nordin yang telah 31 tahun bertugas di pejabat cawangan arkitek JKR gembira dengan langkah kementerian memulakan program tersebut.
Katanya, ia masa yang sesuai untuk kerajaan mula memikirkan langkah yang lebih fleksibel dan memudahkan golongan pekerja melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.
Selain itu, katanya, program tersebut memberikan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment