ARKIB : 25/12/2009 Utusan Malaysia
Oleh MERAN ABU BAKAR
KIRA-KIRA lapan tahun lalu beliau hanya berniaga makanan secara kecil-kecilan di gerainya yang terletak di bulatan Selayang Baru, Kuala Lumpur. Antara menu yang istimewa ialah sup tulang, sup daging, sup ayam, mi rebus dan rojak.
Gerainya sering menjadi tumpuan mereka yang baru balik bekerja. Sup panas, mi rebus dan rojak menjadi hidangan lewat petang sebelum pulang ke rumah.
Pada petang Sabtu dan Ahad pula, mereka yang berkeluarga datang menjamu selera bersama-sama anak dan isteri.
Namun hari ini, gerai di bulatan Selayang Baru itu sudah tidak ada lagi. Walaupun demikian, menu popular itu masih lagi dapat dirasai. Cuma lokasinya sahaja yang berbeza. Dari gerai, kini penggemar sup, mi rebus, rojak dan sebagainya boleh menikmatinya di tempat yang lebih terurus dan selesa.
Tu..u..u Dia Pak Tam hari ini berada berhadapan dengan Stadium Selayang. Jika pada tahun 1994 dahulu Pak Tam berniaga di gerai, namun hari ini beliau mampu mencapai peningkatan yang membanggakan kerana membuka restoran di tiga lot kedai tiga tingkat di Bandar Baru Selayang.
Semasa ditemui di Restoran Tu..u..u Dia Pak Tam baru-baru ini, pemiliknya Ruslin Ibrahim atau popular dengan panggilan Pak Tam berkata, restorannya sememangnya terkenal dengan menu seperti mi rebus, rojak pasembor, nasi kandar, mihun sup, nasi beriani, nasi campur pelbagai lauk dan banyak lagi.
"Saya menggabungkan resipi India, Arab, Indonesia dan Thailand bagi mendapatkan resipi yang agak berlainan. Hanya mereka yang pernah makan di sini dapat merasai bahawa hidangan yang disediakan di Restoran Tu..u..u Dia Pak Tam tidak ada di tempat lain.
"Semasa saya berada di Arab Saudi, saya bekerja sebagai ketua tukang masak jemaah haji dan sempat mempelajari masakan Arab,'' katanya yang pernah bekerja dan mempelajari bidang masakan di negara-negara Arab, Thailand, India dan Indonesia.
Menurut Pak Tam lagi, restorannya yang dibuka seawal pukul tujuh pagi sehingga 12 malam menyediakan lebih 100 jenis lauk-pauk dalam sehari.
"Pelanggan boleh menikmati banyak pilihan makanan untuk sarapan pagi seperti nasi lemak, lontong, roti canai, kuih-muih, mi dan sebagainya.
"Sementara tengah hari lebih banyak lagi lauk-pauk dan hidangan yang disediakan seperti nasi beriani, nasi kandar, lauk kampung, ayam kampung goreng berempah, sotong, udang besar goreng, sayur-sayuran dan banyak lagi.
"Untuk minum petang pula, pelanggan dapat mencicip goreng pisang, kuih-muih bergoreng, roti canai manakala hidangan panas Thai boleh dinikmati pada waktu malam. Jika inginkan mi rebus, mihun sup atau rojak, sepanjang masa ada disediakan,'' ujar Pak Tam selaku Pengarah Urusan.
Beliau mengakui keistimewaan menu restorannya terletak pada rasa makanan yang menepati selera masyarakat Malaysia, iaitu tidak terlalu pedas, tidak terlalu manis dan tidak terlalu masin. Bukan hanya masyarakat Melayu malah masyarakat lain turut menggemari makanan di Restoran Tu..u..u Dia Pak Tam.
Tambahnya, sambutan amat menggalakkan terutamanya mi rebus, rojak pasembor, mihun sup, nasi kandar berlauk ayam atau daging.
Ini membuka peluang kepada beliau bagi mengembangkan perniagaan dan kini beliau mempunyai enam buah restoran di seluruh Malaysia.
Bukan itu sahaja malah menurut Pak Tam, beliau kini sedang merancang untuk membuka francais Restoran Tu..u..u Dia Pak Tam di seluruh Malaysia dalam tempoh terdekat.
Selain menguruskan restoran, Pak Tam dilantik oleh Mara sebagai mentor untuk usahawan yang ingin membuka restoran di kawasan rawat dan rehat (R&R) dan beliau amat menggalakkan sesiapa yang ingin menjadi mentee agar menghubunginya.
"Saya turut mengadakan latihan dan mengajar pastri, kek, lauk-pauk dan sebagainya,'' kata Pak Tam yang mempunyai restoran di R&R Rawang, Air Keroh Selatan, Machap, Hulu Bernam dan tidak lama lagi di Gurun dan Tapah.
Beliau yang turut mengembangkan cabang perniagaan kepada katering kini memperkenalkan menu restorannya untuk hidangan di majlis kahwin.
Katanya, pada musim kahwin, semua menghidangkan menu yang sama. Kadang-kadang seseorang itu mendapat hingga tiga jemputan majlis dan pasti jemu makan hidangan yang sama.
Menyedari ini, Pak Tam menyediakan menu istimewa yang berbeza khusus dihidangkan kepada tetamu pada majlis perkahwinan. Menu yang terdiri daripada mi rebus, rojak, teh tarik dan cendul ini mengenakan bayaran sebanyak RM6.50 untuk seorang sudah tentu membuatkan tetamu teringin menikmatinya.
Kata Pak Tam, kepada yang ingin menempah, bolehlah menghubunginya di 03-61388388.
No comments:
Post a Comment