Saturday, December 19, 2009

Nasi berlauk pembuka selera

Teks: Masayu Ahmad

Foto:http://media.photobucket.com



Foto:http://jilc-makassar.com

Bismillahirrahmanirrahim,

Salam hari Sabtu 19 Disember 2009 bersamaan 2 Muharam 1431.

Segar udara pagi ini, angin sepoi-sepoi sampai ke bilik saya. Usai solat subuh tadi, saya buka luas-luas pintu utama. Agar masuk segala nikmat Allah bersama rezeki. Sudah fikir semalam hari ini mahu masak nasi berlauk. Bukan ikan tongkol tetapi gulai ikan kembung. En.suami yang minta, sebab saya dah lama tak masak gulai ikan kelantan.

Jadinya semalam segala bahan sudah en.suami beli. Cili padi pun sudah dibuat stok dua minggu, dalam satu bekas besar. Memanglah en.suami kurang seleranya kalau tak ada cili padi atau sambal lada panggilan Kelantannya. Stok kopi radix tidak ada, jadi hanya teh o panas sahaja. Kuih hari ini, saya buat lagi kuih bakar untuk kanak-kanak riang. Memang sangat suka, petang semalam sekejap sahaja habis diangkut Hakim, Arif dan Aiman. Malam tadi minta lagi. Mintalah nak, mudah sahaja nanti ibu buat lagi. Bukan minta emas permata pun, minta kuih bakar sahaja. Alhamdulillah.

Jadual sepanjang tahun

Saya tidak kemana-mana, jadual kerja sangatlah tidak membenarkan saya ke mana-mana. Alhamdulillah saya masih komited dengan keadaan ini. Insya-Allah tahun ini semoga saya tidak dibelengu sifat malas, lebih bersemangat dan bermotivasi. Sekitar Januari ada 2 seminar yang besar dan 1 kursus yang perlu saya sertai. Ianya sangat penting dalam kelansungan karier saya. Salah satu seminar itu, memang saya tangguh dari beberapa bulan yang lepas, memang ada sahaja aral yang datang. Tetapi tidak mengapa, tengok nanti kalau ada kelapangan dan peluang.



Hari Isnin, 21 hb pada sebelah petang, ada satu sesi perbincangan juga dan perlu ke Kota Damansara. Saya akan bawa bersama kanak-kanak riang. Pastinya mereka gembira sebab boleh jalan-jalan. Saya akan tinggalkan mereka sekejap di rumah adik, kemudian akan memecut dengan laju ke destinasi.

Hari Rabu 23, hb saya ada satu lagi mesyuarat/perbincangan. Perbincangan ini berlangsung sekitar 10 pagi, jadi kanak-kanak riang akan transit sekejap di mana-mana pusat jagaan. Sekejap sahaja jam 8 hingga 12 tengahari. Mereka mungkin akan menangis sekejap, selepas itu ok sahaja. Beginila jadual saya sekiranya ada apa-apa urusan yang berlangsung pada hari bekerja, tetapi sekiranya hujung minggu, ayahnya lah yang mengambil giliran.

Apa yang saya sibuk-sibukkan ya? Agak-agak boleh teka tidak? Sampai masanya saya akan terangkan satu persatu kisah di sebalik tabir ini. Selebihnya saya suka agar kalin membuat andaian sendiri. Tetapi itulah jadual bagi wanita yang bekerja di rumah seperti saya. Sibuk juga tetapi sibuk yang boleh diurus. Sibuk juga, tetapi keluarga tetap menjadi perkara yang paling diutamakan. Apa yang pasti saya gembira dengan keadaan ini dan ini adalah pilihan muktamad saya. Keluarga dan karier, kedua-duanya penting tetapi apa yang lebih penting kepuasan.

Perkembangan anak-anak


Saya sudah mula menyimpan sebahagian mainan. Penat saya mengemas dan sudah menjumpai teori saya sendiri berdasarkan permerhatian dan keadaan anak-anak sehari-hari. Saya memutuskan hanya tiga jenis permainan satu hari. Boleh pilih mengikut kesesuaian.

Pagi hari sebelum kanak-kanak riang bangun saya perlu menyiapakan dahulu apa yang patut seperti memasak dan mengemas. Apabila mereka bangun mereka akan segera mengacau saya. Jadi disebabkan waktu pagi adalah waktu terbaik untuk fokus, saya biarkan sahaja monitor dengan siaran http://www.starfall.com./ Ini menjadi satu kelaziman setiap hari. Hakim akan menguasai tetikus (mouse spec), jadinya dia juga akan melakukan dua paparan pada skrin. Satu boleh tengok upin dan ipin dan satu lagi sambil belajar di starfall. Memanglah kanak-kanak di zaman siber sangat cepat penaakulannya. Perhati dan buat. Salah satu aktiviti yang saya sembunyikan dari Hakim, bagaiman simpanan semua bahan-bahan saya, kalau tidak. Habislah ;D.

Apa tidaknya selepas saya bangun dari duduk, dia akan menyambung.
“Ibu pergi, Hakim nak buat kerja.” Sambil tangannya dengan laju mengetik-ngetik keyboard, kononya sedang menulis dan berfikir dengan pantasnya.

Aduhai anakku sememangnya pemerhatian mu sangat tajam dan peka.

Dia sudah tahu mencari starfall melalui internet explorer, tidak perlu tulis, sebab disitu sudah ada tertulis starfall. Kemudiannya hanya perlu ‘klik’ sahaja.

Jika tidak dia buka sahaja pada laman web naufal, memang sudah ada capaian di situ.

Anak-anak suka memerhati dan pastikan pemerhatiannya terarah pada sesuatu yang positif kerana mereka akan mengaplikasinya dengan pantas sekali.

Kini Aiman mula menguasai komputer utama. Sangatlah marah kalau saya cuba-cuba mahu tunjuk.

“Tok leh.” Sambil mulutnya yang muncung dan pipinya yang temban. Marah kalau saya cuba tunjuk macamana mahu gerak-gerak mouse dan klik. Dia sudah pandai klik tetapi gerakan mouse itu masih kurang tetap dan fokus. Ke sana dan ke sini dan tidak terkena pada sasaran. Jika tidak dia akam panggil semula ibu.
“Bu, bu, tok leh, tok leh.” Si pipi tembam ini akan memanggil-manggil saya kerana dia tidak berjaya. Ibu segera berkejaran sebab tahu nanti pipi tembam ini akan bising dan mula menangis.
Arif sepenuhnya sudah berdikari, sudah tahu memilih yang mana dia suka dan tidak. Jika tiada Hakim, maka Arif akan mengemudi komputer utama bersama Aiman setia di sisi.

Selepas boring tengok upin dan ipin dan starfall. Mereka akan bergerak keluar melihat tv dan sambil itu akan sambung membuat sambungan ABC. Petak-petak ABC yang warna-warni yang besar-besar itu memang saya sengaja beli. Selain melatih kreativiti ianya juga memudahkan mereka mengenal ABC.
Petak-petak ABC itu ada yang dibuat bentuk empat segi besar, buat jejantas yang panjang, ada juga bentuk zip zap dan mengikut kreativiti mereka. Petak-petak ABC ini akan berada banyak lokasi, jika saya naik ke atas, semua sekali akan di bawa bersama. Jika solat di bilik utama, juga akan dibawa bersama. Akan disambung-sambung keliling kaki katil. Sesudah siap mereka bertiga akan merosakkan sambungan petak yang sudah siap, dengan kiraan 1,2,3. Dengarlah gelak ketawa kanak-kanak riang.
Alif Ba Ta


Kebetulan juga pc lama saya ketika di univerisiti dulu masih boleh dipakai. Jadi en.suami melatakkan di ruang bersebelahan bilik utama. Pada waktu makgrib memudahkan saya solat, kanak-kanak riang akan menyanyi-nyanyi alif ba ta bersama muzik. Jadi tidak akan mengganggu saya. Sangat mujarab.

Barani tanpa gagal
Waktu petang atau pagi, mereka akan bermain-main basikal di laman, melompat, memanjat jeriji besi. Sudah namanya anak-anak lelaki memang lah lasak. Ada satu hari tu, saya kusyuk di dapur, Sudah siap sepinggan keropok goreng, saya bentangkan tikar di laman depan, mereka akan bersila dan makan seperti berkelah. 10 minit kemudian tidak ada.

Rupanya, sangat cantik. Hakim bersila bersama Arif menjamu selera di atas bumbung kereta. ;D, Mahu marah jadinya saya rasa mahu gelak. Tapi saya tahan-tahan ketawa, nanti Hakim ingat saya tak marah. Siap bekas air semua di bawa naik. Mereka panjat melalui bahagian depan kereta, kerusi dijadikan alas pemijak. Alahai anakku gelagat kalian menduga sabar ibu.
Salam penuh kasih sayang

I am not afraid of storms, for I'am learning to sail my ship -LM Alcott-

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin