Teks: Masayu Ahmad
Semakin umur menginjak usia, semakin kematangan mula meresap dalam diri. Pengalaman, dugaan, pahit manis kehidupan silih berganti. Cuba lihat dengan mata hati, semuanya itu kita perlu lalui dengan tenang sahaja.
Selalunya apabila bekerja atau dengan kata lain kita mempunyai majikan, sangat banyak kerenah yang perlu ditangani. Mahu atau tidak ramai yang mengambil peduli atau pandai-pandai mengawal diri agar tidak terjebak sama.
Ada yang mengambil peluang untuk mencari pengalaman di tempat lain dan ada pula mahu kekal di suasana yang sama. Masih boleh menghadapi pelbagai rencah harian. Sangat seronok jika kita mempunyai pasukan kerja yang banyak mendorong dan sentiasa bermotivasi.
Setiap pagi selesai melayan ribut di rumah, kita mula pula siap sedia dengan rutin sibuk di pejabat. Face book sekarang sudah menjadi salah satu kegilaan, atau pun ramai menjadikan blog sebagai tempah meluah perasaan. Salah ke?
Terpulang kepada pandangan, kefahaman dan prinsip seseorang. Salah sekiranya menggunakan masa bekerja dengan pengisian yang tidak sepatutnya. Boleh, jika digunakan untuk manfaat semasa bekerja. Ya, salah atau tidak terpulang kepada individu. Kerana setiap orang mempunyai kematangan dalam membuat pilihan sendiri.
Saya sudah melalut, kembali tajuk utama iaitu panduan kekal motivasi sepanjang masa. Selalunya apabila berdepan dengan keadaan yang mendorong suasana panas, tidak sihat, malas, kecewa, jiwa lara dan sebagainya saya sebaik mungkin cuba kekal bermotivasi.
Saya melihatkan ini dalam diri individu yang sukses, kebanyakan mereka yang berjaya tidak suka mengeluh, bertangguh, berungut. Tetapi berusaha, bersyukur, sedar diri, tiada ego dan mudah pula menerima pandangan orang lain.
Beberapa ketika apabila perasaan motivasi merudum, saya cuba bersangka baik. Jika melibatkan individu cuba pula mencari kelemahan diri saya sendiri. Walaupun sudah sedaya upaya saya cuba untuk mengembalikan mood yang sudah tidak stabil.
Kembali membaca buku-buku motovasi, mendengar al-quran, berwuduk, bergelak ketawa dengan Aiman, berlari mengeluarkan peluh atau bersauna sahaja di rumah. Banyak cara untuk kita membuang jauh perasaan merudum, sangat bahaya melayan perasaan stress kerana ianya boleh menyebabkan tompokan toksin dalam badan.
Jadi apabila saya berdepan perkara yang menyebabkan saya mula hilang sabar atau kecewa, saya akan menghilangkan ‘perkara’ tersebut dengan mengosongkan minda daripada berfikir hal yang sama. Jangan serabutkan otak atau menyemakkan sistem fikiran dengan perkara yang tidak perlu. Kita hanya mahu fakir perkara yang bermanfaat sahaja, yang serabut lontar jauh-jauh ke laut dalam.
Salam penuh kasih sayang
http://www.masayuahmad.com/
No comments:
Post a Comment