Saturday, February 20, 2010
Memori bubur kacang lompat tikam siri 2
Caption: Bangsal tempat mengaji saya dahulu lebih segak dari yang ini.
Teks: Masayu Ahmad
Foto:www.anjungsenama-warisan.blogspot.com
Loceng menandakan tamat sesi persekolahan untuk hari ini berdering. Bertebaran kanak-kanak kecil mengendong beg keluar dari bilik darjah.
Saya seperti biasa sebelum menapak pulang akan singgah dahulu untuk mengambil wang jualan karipap di kanten sekolah. Saya sangat puas hati apabila semuanya laris dijual. Kadangkala ada juga yang tidak habis barang seketul dua. Biasanya rakan-rakan yang pulang bersama saya akan mendapat habuan makan kuih karipapa. Saya bagi percuma sahaja. Rakan sekolah saya di kampung Hasni dan Sayani, kadangkala kami pulang berdua kadangkala bertiga. Sudah lama tidak berjumpa mereka.
Saya sangat teringin mengayuh basikal milik sendiri. Hanya melihat dengan perasaan membuak-buak sahaja rakan-rakan yang memiliki basikal BMX.
Tengahari selepas mandi dan makan tengahari saya perlu mengaji Quran dengan Pak Long Amat (Pok Long Amat panggilan loghat Kelantan). Kami mengaji dalam sebuah pondok yang dibina khas.
Di sebelah tempat mengaji itu, ada sebuah tempat yang besar juga ruangnya. Tempat tersebut mempunyai tapak yang kukuh dengan berlantaikan papan. Ruang tempat mengaji terdahulu.
Di situlah arwah emak berjualan bubur kacang. Kadang-kadang sebelum sesi mengaji bermula, budak-budak lepak di situ makan bubur kacang emak. Sedap kalau tambah pulut atau ais. Ada juga minuman sirap. Kadang-kadang emakl buat juga bubur kacang yang ditambah durian. Sangat enak dan sedap
Apabila semua makan habis semangkuk. Budak-budak akan naik semula ke pondok untuk mengaji. Kedengaran suara yang bersatu membaca bacaan Al- Fatihah dan beralih ke ayat-ayat seterusnya.
Siapa yang datang lambat kena libas dengan rotan. Perlu juga mengangkut air sebaldi dua jika tempayan kosong. Indahnya zaman kanak-kanak.
Emak meningkatkan pembuatan kuihnya karipap, donut, roti goring, roti kukus dan bingka (kuih beke). Setiap hari diselang seli dengan jenis kuih yang berlainan.
Biasanya pada sebelah malam emak akan uli tepung untuk buat doh roti. Saya bersama kakak membantu juga meletakkan isi karipan dan mengetipnya dengan menggunakan bekas acuan.
Dinihari sebelum subuh emak sudah bangun mengoreng kuih muihnya. Selalunya beberapa bungkusan sudah siap diletakkan berasingan. Saya seperti biasa meletak dalam bakul dan mula mengayuh basikal ke sekeliling kampung untuk meletak kuih di beberapa kedai makan. Kedai Mok Doh Tok Mok Nik, Mok Doh Bulat dan kedai Mok Cik Mek.
Sebelah petang dalam jam lima atau enam saya akan mengutip wang jualan dari kedai-kedai tersebut. Mengingatkan kembali nostalgia itu, membuatkan saya terkenang-kenang keseronokan di usia kanak-kanak. Rasanya emak sudah melatih saya berjualan sejak kecil.
Menginjak ke sekolah menengah Ayah membina kedai makan di sebelah rumah, daripada itu bermula episod baru berjualan kedai makan. Sangat memenatkan, kami adik beradik ada tugasan masing-masing.
Lepas pulang ke sekolah dan selepas mengaji Quran gilaran saya pula menjaga kedai sehingga jam 5 petang. Kakak yang tengah urusannya mengemas rumah dan mengopek bawang, adik lelaki saya turun membantu mengopek kelapa untuk mendapatkan santan. Selepas jaga kedai saya perlu ke kedai runcit untuk membeli barang mentah. Kakak yang sulung adalah teraju utama dalam masak-memasak membantu emak.
Kadangkala saya memberontak juga, kerana mahu belajar di rumah tidak mahu jaga kedai.
Ketika zaman inilah, badan saya gebu segebunya, dek kerana kelazatan masakan arwah emak. Haha, emak juga yang disalahkan.
Ketika di Tingkatan Enam di Sekolah Bachok, saya menyertai juga Persatuan Usahawan Muda (PUM). Geng saya berjualan juga di asrama dan sekolah.
Lima biji gula-gula dimasukkan dalam bungkusan plastik kecil, berharga dua puluh sen. Sebelum cikgu masuk ke kelas, urusniaga akan berlangsung. Bersimpang siur duit syiling di lambung ke arah saya, kemudiannya sebungkus gula-gula akan melayang ke arah pelanggan yang meminta. Urusniaga akan berehat seketika, kemudiannya apabila cikgu keluar dari kelas, akan bermula sekali lagi jualan dan permintaan.
Labels:
Memori nasi berlauk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment