Sering kita baca atau dengar, wanita nafsunya sembilan akalnya satu dan sebaliknya lelaki. Tetapi bagaimana kita memahami dan menerokai maksudnya terpulang pada pandangan dan persepsi masing-masing.
Sukarnya mengawal nafsu, kerana kita mudah terpedaya dengan keadaan dunia material. Contoh terdekat diri saya sendiri, betapa rapuhnya iman kerana mudah tergoda dengan kebendaan. Pun begitu, masih melatih dan berusaha untuk mengawal nafsu. Nafsu yang tidak pernah puas.
Saya melihatkan persekitaran dan perhubungan secara maya, kini membolehkan wanita membeli belah tanpa batas. Semakin tebal isi dompet, maka makin galak tangan untuk membeli.
Kadangkala kita boleh menggunakan kembali garis panduan Islam bagaiman mengawal nafsu.
Apa yang paling digemari wanita, kepelbagaian corak pakaian, fesyen yang mengikut edaran masa, koleksi kasut yang melimpah ruah, tudung satu almari sebagai simpanan. Juga koleksi permainan berjenama, pakaian mahal-mahal. Kadangkala ianya dijadikan perbandingan, mudah terdorong untuk menunjuk-nunjuk.
Ketika bekerja dahulu, saya juga tergolong dalam wanita yang boros, namun sejak bekerja sendiri proses menghargai wang semakin meningkat. Melalui pembacaan pengurusan buku-buku kewangan, menjadikan saya lebih sedar diri.
Mengapa ya, jadi sedemikian?
Tambahan pula pelbagai program cepat kaya sudah menjadi perkara yang utama dalam kehidupan. Semua buru-buru dan celik mata apabila ada iklan wang sejuta dalam masa sebulan.
Bacalah mana-mana kisah kejayaan mereka yang berjaya, tiada istilah mudah, cepat dan jutawan sekelip mata.
Saya masih memegang prinsip bekerja dengan tekun, betul haluan, berkat caranya dan pastinya majikan kita tidak akan kedekut memberi rezeki buat hambanya. Mohon, usaha, ikhtiar, ikhtiar, ikhtiar, doa dan tawakal.
Bertawakal apabila sudahs sehabisnya berusaha. Bertawakal apabila sudah semua jalan diusahakan tetapi tidak nampak lagi kejayaan.
Mungkin ada sebaba mengapa majikan belum memakbulkan permintaan. Kembali memantau apa juga yang telah diperintahkan, tetapi kita masih lalai.
Saya masih teringat perbualan dengan kanak-kanak seusia saya. Apabila mahu dekat akhir zaman, semua orang kaya, semua orang mampu pakai kereta, semua orang mampu memiliki rumah besar.
Betapa pemikiran kanak-kanak kampung pada ketika itu masih naif, berfikir indahnya kehidupan dengan wang melimpah ruah.
Tetapi nilai menjadi budak kampung yang serba sederhana adalah lebih berharga. Saya kurang gemar apabila ada perbandingan dengan niat atau bukan niat seperti berikut.
“Si A masuk rumah baru, besar rumahnya.”
“Si B, bekerja sebagai Pengurus Besar, bekerja di luar negara.”
“Si C, anak-anaknya pintar dan cerdas.”
Kadangkala nada yang berkata-kata boleh memberi maksud menunjuk-nunjuk. Tetapi kita boleh menilai gaya percakapan sama ada jujur atau sebaliknya.
Benar, di alam maya mahupu perantaraan blog dan laman sosial (Facebook), kita secara langsung menemui banyak gaya begini. Masing-masing mahu menunjukkan status diri yang tidak boleh kalah.
Mengapa ya?
Saya berbincang-bincang dengan en.suami, mengapa ramai yang berkeadaan begitu, terikut-ikut mahu menunjuk-nunjuk.
Apabila digambarkan semula, ramai yang berasal dari kampung. Jika dulu hanya orang kampung, tidak kaya, tidak ada harta.
Selepas semuanya, dan kebanyakan kita berjaya belajar tinggi, perubahan dan status diri mula berubah.
Jika gaji isteri 3K, suami 3K. Maksudnya paling minima sudah 6K, pendapatan kasar bagi satu isi rumah. Gaya hidup mula berubah, pemikiran berubah, status berubah. Kadangkala teman-teman lama yang dianggap belum berjaya dipandang sepi, tidak mengenal kawan.
Sedihnya saya melihat situasi ini. Pun begitu, saya masih sedar diri dan hidup di dunia ini juga tersangatlah singkat. Pandanglah dengan mata hati, nescaya kehidupan yang hakiki adalah selepas kematian.
Salam penuh kasih sayang
http://www.masayuahmad.com/
No comments:
Post a Comment