Teks: Masayu Ahmad
Sudah pun 2.31 tengahari 22.2.2013, wah cepat masa berlalu, saya masih lagi melakukan kerja-kerja akhir manuskrip, nantikan ebook super wahm, super mom, 25 hb sudah terbit secara rasmi. Berehat sehari saya akan bersambung pula ebook Mac 2013. Ya, tahun ini adalah kelahiran lebih banyak susunan manuskrip yang beratur beberapa tahun sudah semenjak 2008. 2013 ini sasaran saya adalah 12 bakal terbit dan juga saya mensasarkan 30 buku/ebook akhir 2014. Selepas selesai 30 ini barulah saya akan memulakan bengkel penulisan online dan offline atas permintaan ramai. Ini KPI untuk 2013 dan 2014. Ia adalah bentuk pendapatan aktif dan pasif sebelum saya mencecah usia 35 dan dapat bersara awal. Tetapi menulis adalah diteruskan sehingga saya menutup mata. Selagi mana diberikan kesihatan yang baik dan usia yang perlu disumbangkan kepada masyarakat. Moganya usia ini direstui Ilahi, dan perjalanan ini semenjak 2008 sangat indah sekali.
Menyentuh tajuk di atas, keindahan bekerja di rumah. Sejak akhir, akhir ini saya sangat terkesan dengan kuasa usaha, nikmat dan sabar. Ia adalah gabungan paling hebat jika dicerap dan dipraktik. Saya dengan sandaran status bekerja di rumah, anak-anak kecil dan tinggal bersama mertua.
Tentu sekali ada yang berkata, eee.....tinggal denngan mertua?
Alhamdulillah, banyak nikmat yang saya perolehi tanpa sedar dan tidak. Rezeki tidak pernah putus, kecil atau besar, banyak atau sedikit itu adalah ukuran yang sangat subjektif. Apabila berpagi-pagi menyelesaikan memasak dan siapkan Arissa. Atuk dan mok begitu ceria melayan Arissa yang semakin petah bercakap. Arissa lah pencetu suasana. Sambil mulutnya muncung menyebut, mok, mok, mok, tuk, tuk, tuk. Aksi manja, bergurau senda, saya merasakan itulah kenikmatan paling dalam, melihat orang tua gembira.
Gembira masanya di isi melayan keletah cucu, gembira dan tiada kesunyian. Kita tidak tahu apa situasi kita apabila tua kelak. Tetapi gambaran yang nyata apabila kita bayangkan dari sekarang, sudikah anak-anak menjaga kita, sudikan anak cucu bersama kita, sudikan menanti memasak dan tinggal bersama kita. Jawapannya ada di tangan dan fikiran kalian sekarang. Situasi kalian kini bagaimana? Adakah ibu bapa berjauhan, lantaran mencari rezeki di bandar. Adakah ada ibu tua kesunyian, adakah ada ayah yang keseorangan. Kerana saya juga ada ayahanda yang tinggal keseorangan, dan saya masih juga lagi mencari keseimbangan untuk di sini dan di sana. Apakah nasib saya hari tua kelak, kerana saya tidak mampu berada di satu tempat untuk menjaga serentak ayah dan kedua mertua. Saya meletakkan ini atas dasar Allah sebaik-baik perancang, namun saya masih berusaha dengan cara terbaik untuk menjaga kebajikan ayah. Tentunya bersyukur kerana adik beradik yang lain juga mengambil berat perihal ayah. Selesai urusa manuskrip ini akan bersegera saya pulang ke rumah ayah. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment