Wednesday, March 10, 2010

Berubat kaedah dulu-dulu

Saya ingin mengimbas kembali zaman kanak-kanak ketika usia saya masih kecil. Rasanya masih belum bersekolah sekitar usia empat, lima atau enam tahun. Saya memang lupa, tapi masih ingat memang saya belum sekolah. Orang kampung seperti saya mana ada pergi tadika, terus sahaja darjah satu.

Saya masih teringat nenek membelikan saya bagu gaun yang bawah paras lutut sedikit. Memang lah suka. Saya sangat seronok apabila emak membawa kami adik-beradik pulang ke kampung nenek. Kampung Pantai Irama, Bachok.

Situasinya masih jelas, keriuk pintu rumah nenek apabila pintu dibuka. Rumah nenek ibarat klinik, sentiasa ada orang datang. Di laman kadangkala banyak kenderaan, orang beratur untuk merawat.

Nenek mewarisi ilmu perubatan, bukan jampi tetapi menggunakan kaedah ayat-ayat suci al-quran. Setiap pesakit yang datang akan menemui nenek. Salah satu penawar ialah air yang akan dibawa pulang, dibacakan ayat-ayat suci.

Ilmu perawatan yang masih saya ingat ketika emak mengubati saya ketika saya sakit gigi, menggunakan sebatang paku, dimulakan bismillah dan meneruskan ayat-ayat suci tertentu. Bukan jampi atau serapah.

Kini setelah saya dewasa, saya mula menemui dan mengenali kaedah rawatan ini dikenali sebagai Perubatan Jawi atau perawat dinamakan Herbalis. Kaedah ini menggunakan ayat-ayat suci sebagai rawatan utama, dan herbalis menggunakan perawatan menggunakan herba.

Mungkin ada sedikit perkaitan, tetapi suasana di rumah nenek masih kuat pada gambaran fikiran saya.

Kisah beruk

Saya masih teringat juga, nenek datang menziarah kami sekeluarga. Ada satu kejadian di kampung, seekor beruk besar terlepas. Jadi seluruh kampung digegarkan supaya setiap rumah menutup pintu agar beruk besar itu tidak naik atas rumah.

Beruk terlepas itu naik ke rumah saya. Ya rumah saya. Saya pada ketika itu sedang lena dengan nyenyaknya di depan tv. Pada masa tersebut sepupu-sepupu sebelah rumah memang datang melihat tv di rumah, jadi rumah saya memang meriah.

Beruk naik ke rumah tamu, saya memang sedang nyenyak tidur (cerita semula oleh emak), beruk tersebut sempat mengigit Fatimah (timoh gelaran Kelantan) yang usia lingkungan 10 bulan. Keadaan hingar-bingar, kemudian beruk tersebut ke dapur dan makan garam, kemudiannya terlepas lagi.

Esoknya, suasanan kampung pada waktu pagi memang sunyi sahaja. Kemudiannya sekumpulan ketua keluarga dan anak-anak muda mula membuat pencarian beruk besar yang terlepas itu.
Beruk berjaya ditangkap dengan helah memberi telur, tetapi hanya pakar beruk sahaja yang berjaya menangkap.

Setiap kali ada beruk terlepas, akan kedengaranlah orang-orang kampung.

"Beruk putus, beruk putus," membawa maksud beruk sudah terlepas daripada tali.

Ini semua kenangan terindah diari anak kampung. Saya gembira dilahirkan dalam suasana ini. Fatimah juga sudah berumahtangga, baru sahaja melahirkan anak sulung. Betapa kenangan lalu, sedar atau tidak, kita sudahpun semakin dewasa.

2 comments:

mohad said...

entry yang menarik

Hida Naza said...

Fatimah ni adik kak mas lah? Kesian dia mesti sakit kena gigit.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin