Wanita sebagai isteri dan ibu mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menghadapi kehidupan. Pahit manis, buruk baik dan bahagia derita dalam rumah tangga bergantung kepada kebijaksanaan wanita bergelar isteri dan ibu menanganinya.
Namun, bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab yang terpikul di bahu, banyak halangan dan dugaan yang datang terutama apabila mereka yang bernama isteri dan ibu itu bekerja.
Tambah menyulitkan apabila jawatan yang disandang memerlukan komitmen jitu yang pastinya meragut masa dan tenaga yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga di rumah.
Usaha Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membawa cadangan melaksanakan Konsep Bekerja Dari Rumah atau disebut sebagai Small Office House Office (SOHO) kepada kabinet tahun depan memberi isyarat wanita bekerja tidak perlu risau lagi tentang masalah mereka di rumah.
Walaupun tidak ada noktah penamat kepada penyelesaian tersebut sekurang-kurangnya sudah ada laluan penyelamat kepada permasalahan yang telah lama bertapak itu.
Idea yang tercetus pada Sidang Kemuncak Wanita ogos lalu itu mungkin akan menjadi hadiah terbaik buat wanita Malaysia menjelang 2004.
Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) yang dilakukan ke atas 3,000 ibu-ibu bekerja mendapati 13.5 peratus daripada mereka menghadapi masalah penjagaan anak. Daripada jumlah tersebut 68 peratus daripada mereka yang menghadapi masalah berkenaan akan berhenti kerja jika tidak dapat mengatasinya.
Pada masa ini terdapat 3.6 juta ibu-ibu yang bekerja dengan majoriti daripada mereka kalangan golongan sederhana dan rendah.
Naib Yang Dipertua 11, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam, (Puspanita) Prof. Datin Dr. Rohaty Mohd Majzub semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk Bekerja Dari Rumah Satu Alternatif Kreatif pada seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) April lalu menekankan imej wanita berubah bagaikan Super Women yang ingin melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang tetapi dibayangi tekanan.
Bagaimanapun katanya disebalik halangan tersebut wanita masih terus gagah memenuhi tuntutan tanggungjawab mereka di rumah dan di tempat kerja sebagai pekerja, isteri dan ibu. Apa yang menyedihkan katanya, apabila konflik tidak dapat dikawal dan memerlukan mereka membuat pilihan, ibu-ibu ini akan mengorbankan kerjaya mereka.
Lyana Mustafa, Setiausaha Eksekutif Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia (PENIAGAWATI) berharap konsep berkenaan akan memberi manfaat kepada kaum wanita bekerja.
``Tidak salah ibu-ibu bekerja terus mengekalkan khidmat pembantu walaupun mereka beroperasi dari rumah. Pembantu boleh terus menjaga anak dan menguruskan rumah sementara wanita tersebut membuat kerja-kerjanya,'' katanya.
Cara ini kata Lyana dapat merapatkan hubungan anak dan ibu secara lebih berkesan daripada mereka ditinggalkan sehari suntuk bersama pembantu atau pusat penjagaan.
Menurut Lyana lagi, dilihat pada jangka masa panjang banyak kebaikannya yang diperolehi daripada konsep ini jika dilaksanakan kelak.
``Wanita dianugerahkan ciri-ciri ketelusan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Mereka rajin, bekerja keras dan menggunakan akal untuk berfikir. Soal tempat bukan perkara utama yangn penting cara kita bekerja dan menguruskan tanggungjawab yang diamanahkan,'' jelas Lyana.
Sehubungan itu Lyana menyeru wanita bekerja tampil ke depan menyahut cabaran konsep ini jika ia dilaksanakan kelak supaya mereka tidak terus dibebani masalah keluarga dan rumah tangga.
Shamsiah Mohd Yusoff, Perunding Hartanah, SMY Properties turut bersetuju dengan konsep yang dicadangkan itu.
``Dalam perkembangan teknologi yang semakin galak ini, amatlah wajar wanita yang berkemahiran dalam bidang IT menyahut cabaran bekerja dari rumah ini. Kepada golongan profesional, konsep ini amat sesuai sekali. Namun, tidak semua golongan profesional boleh mengamalkan konsep ini kerana ada juga kalangan mereka yang memerlukan alamat komersil untuk beroperasi.'' kata Shamsiah.
Shamsiah bersetuju konsep ini dilaksanakan memandangkan negara memerlukan tenaga wanita untuk terus membangun dan mantap.
``Berbanding tanggungjawab bapa, anak-anak lebih memerlukan ibu-ibu di rumah kerana dalam apa keadaan majoriti anak memerlukan ibu untuk berinteraksi dan merujuk masalah apabila perlu. Sekiranya golongan profesional ini terpaksa berhenti kerana masalah anak, bukan sahaja wanita yang akan rugi tetapi juga negara,'' ujarnya.
Seperkara lagi kata Shamsiah, beroperasi dari rumah memberi kelebihan kepada para ibu melayani anak-anak mereka dengan lebih mudah tanpa perlu meninggalkan mereka untuk jangka masa yang lama,'' tambahnya.
Hazimah Zainuddin, Pengarah Urusan Hyrax Oil, berkata, wanita Malaysia harus bersedia menerima cabaran ini dengan tekad dan kekuatan mental dan fizikal kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam pembangunan negara.
``Konsep ini telah lama dilaksanakan di negara-negara Barat. Di sana bukan wanita saja diberi kelonggaran tetapi juga pekerja lelaki. Sehingga kini konsep tersebut berjaya dan masih diamalkan, kita boleh mengambil contoh kejayaan negara Barat untuk diimplementasikan di negara ini,'' kata Hazimah.
Sehubungan itu Hazimah menyeru wanita bekerja di negara khususnya golongan profesional mempersiapkan diri untuk menerima cabaran ini.Dalam erti kata bersedia untuk melaksanakan konsep ini secara serius, buat dengan sungguh-sungguh,'' tambahnya.
Mengenai kemungkinan wanita yang bekerja dari rumah leka untuk memenuhi tanggungjawab mereka Hazimah berkata, satu jadual tugas perlu diadakan sebagai garis panduan. Disiplin, ketelusan dan pengurusan masa menjadi tonggak utama kejayaan.
``Setiap wanita yang terlibat patut mendisiplinkan diri mereka dengan mengikuti jadual yang disediakan. Seperkara lagi, jangan campurkan hal-hal kerja dengan hal-hal keluarga. Masa bekerja kita mesti bekerja dan masa bersama anak-anak kita mesti melayani mereka. Ertinya mesti ada ruang untuk kedua-duanya supaya ia tidak terbabas daripada nawaitu asal kita bekerja dari rumah,'' nasihatnya lagi.
Hazimah sebagai majikan turut menyimpan cita-cita untuk menyahut cabaran ini. Katanya beliau telah mengenal pasti pasangan suami isteri yang pada pandangannya mampu memenuhi tanggungjawab untuk bekerja dari rumah.
``Pasangan suami isteri ini nampak bersungguh-sungguh dalam usaha mereka tetapi tidak mempunyai pejabat. Saya mencadangkan mereka membuka pejabat dan beroperasi dari rumah. Pada saya kenapa tidak mereka diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka berasaskan konsep bekerja dari rumah.'' katanya.
Ditanya pendapatnya kenapa wanita negara ini diberi pengiktirafan sedemikian rupa, Hazimah berkata, wanita mempunyai peranan cukup besar dalam kehidupan dan juga tanggungjawab terhadap negara. Selain mempunyai keluarga, wanita turut memikul tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka. Pengorbanan mereka terhadap pembangunan keluarga, masyarakat dan negara tidak siapa boleh pertikaikan.
Pada masa yang sama majikan pula disaran memberi ruang kepada wanita terbabit untuk bekerja dengan memberi mereka masa yang mencukupi, tidak terlalu mendesak untuk memberi laporan hasil tugasan yang telah dilaksanakan.
Sekiranya dilaksanakan kelak, konsep ini memerlukan sistem yang selari dengan keadaan masa kini. Selain kelengkapan dan kemudahan canggih mereka juga harus diberi latihan mencukupi serta dibekalkan dengan program jati diri untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti. Juga pengurusan masa yang cukup penting untuk mencapai kejayaan.
Keunikan Malaysia sebagai satu-satunya negara di Asia dan Pasifik yang mempunyai lebih ramai wanita berpendidikan tinggi berbanding lelaki seperti dinyatakan oleh Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Richard Lee perlu diberi perhatian.
Bayangkan jika tenaga wanita berpendidikan tinggi ini terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja kerana masalah yang sepatutnya dapat diselesaikan dengan mudah.
Apa pun kepada Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga kita sandarkan harapan agar Konsep Bekerja Dari Rumah yang disuarakan wanita Malaysia Ogos lalu akan menjadi kenyataan.
Petikan: Arkib Utusan Malaysia, 12/12/2003
No comments:
Post a Comment