Wednesday, July 22, 2009

Bisnes Hamper, milik usahawan kreatif Norhasikin Ali



Hamper kembalikan nostalgia lama

Oleh MERAN ABU BAKAR
Petikan: Utusan Malaysia

JIKA hendak melihat hamper yang cantik, tunggu sahaja bila hampir dengan kedatangan musim perayaan terutama hari raya apabila ramai yang mula berlumba-lumba mengusahakannya bagi menambah pendapatan.

Bermacam-macam bentuk dan rupa dapat dilihat kerana bagi pembuat hamper setiap tahun mereka akan membuat hamper yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

Masing-masing mempunyai idea dan kreativiti tersendiri bagi memikat pelanggan yang semakin pandai menilai hamper bagaimana yang mereka inginkan untuk dihadiahkan kepada keluarga, teman-teman, rakan perniagaan dan sebagainya.

Bagi pembuat hamper sendiri, mereka sudah mula merancang dan mencipta konsep hamper bagi mencerminkan identiti tersendiri. Ada yang sudah mula menghantar risalah hamper ke rumah-rumah atau pejabat dan terdapat juga yang mengiklankan melalui Internet.

Norhasikin Ali yang telah enam tahun membuat hamper hari raya, kali ini melangkah ke tahun ketujuh dengan koleksi hamper yang berkonsep 'nostalgia.'

Katanya, jika tahun lepas beliau memilih konsep moden kontemporari, tahun ini 'hamper nostalgia' menjadi pilihan bagi mengembalikan kenangan hari raya pada masa-masa lalu.

"Setiap orang pasti mempunyai nostalgia dan kenangan hari raya lebih-lebih lagi mereka yang berasal dari kampung. Apabila melihat hamper nostalgia ini pasti mereka akan terkenang dengan kenangan raya lalu,'' kata Norhasikin semasa ditemui di rumahnya di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Dalam rekaan kali ini, beliau banyak menggunakan bakul-bakul mengkuang, rotan dan mengetengahkan anyaman orang Melayu.

"Walaupun terdapat banyak bakul, kotak dan bekas dengan rekaan moden, barangan lama kebanggaan orang Melayu jangan dilupakan.

''Untuk hamper raya tahun ini, saya mempopularkan semula anyaman Melayu dari Terengganu. Selain mahu terus mempopularkan kraf tradisional saya juga ingin memberi peluang kepada masyarakat tempatan memasarkan produk mereka.

''Selain itu, ada juga saya buat hamper menggunakan kotak atau peti yang nampak moden dan klasik bagi mereka yang mahukan hamper seperti ini,'' tambahnya.

Bercerita lanjut mengenai produknya, kata Norhasikin, ia sesuai bagi dihadiahkan kepada golongan korporat, mereka yang baru hendak membuka perniagaan, tanda terima kasih, tanda ingatan, untuk ibu dan ayah, kawan-kawan, saudara-mara, adik beradik dan sebagainya.

''Tahun lepas banyak juga menerima tempahan daripada pelajar Malaysia dan mereka yang bekerja atau bermastautin di luar negara. Mereka meminta untuk dikirimkan hamper kepada ibu bapa mereka di sini. Selain itu saya juga menerima tempahan dari Sabah, Sarawak.

''Hamper saya bukan hanya berisi biskut atau kek malah saya turut memasukkan kain batik, alas meja, sejadah, buah-buahan kering, coklat dan dodol durian. Ini kerana jika makanan ini habis, masih ada sesuatu yang boleh disimpan sebagai kenangan,'' jelasnya.

Menurut Norhasikin lagi, beliau menggalakkan agar pelanggan membuat tempahan awal supaya hamper dapat disiapkan mengikut jadual.

Untuk itu, bagi yang membuat tempahan awal daripada sekarang hingga 21 Ogos depan, beliau mengadakan promosi, iaitu dengan pembelian 10 buah hamper, pelanggan mendapat satu hadiah misteri bernilai RM100.

ARKIB : 20/07/2009, Utusan Ma

1 comment:

myn said...

Assalamu'alikum,
Jika cik/puan berminat dengan product Dodol Asli Melaka saya utk dibuat hamper.
http://kuihdodolmelaka.blogspot.com/
Wasallam.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin