Friday, July 3, 2009

Hujung minggu datang lagi


Foto:http://web.utk.edu

Teks: Masayu Ahmad

Pejam celik, pejam celik, hari ini Jumaat, esok sudah hujung minggu. Begitu pantas masa berlalu. Sekejap sahaja sudah hujung tahun, lepas habis Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal. Kemudiannya beralih hujung tahun dan tahun baru.

Semalam rasanya kontraksi menahan sakit melahirkan Aiman. Aiman sudah pun kini berusia 1 tahun setengah. Catatan bongsu paling lama setakat ini. Saya tidak mengambil apa-apa pil perancang, hanya merancang cara tradisional sahaja.

Bulan puasa insya-Allah lebih banyak masa berada di rumah. Tahun lepas ada juga buat jamuan berbuka, hanya teman-teman rapat sahaja. Tahun ini tidak tahu lagi macam mana. Persediaan raya, biasanya saya lebih gemar membeli lebih awal.

Saya mudah capek (letih) jika terburu-buru dalam kesesakan lalu-lintas mahupun tempat membeli belah. Sekejap sahaja, tuju barang yang mahu dibeli, bayar dan terus pulang. Ringkas sahaja cara saya. Mungkin pelik, bagi orang lain, tetapi itulah saya yang lebih sukakan ringkas dan mudah. Tidak mahu penat-penat, bersesak. Duduk di rumah lebih aman dan damai rasanya.

Jika mahu membeli belah, sewaktu bekerja dulu, saya dan suami ambil cuti pada hari bekerja. Lebih santai dan tanpa membawa anak-anak. Iyalah kalau mahu membeli belah pada hari hujung minggu, hanya ada empat kali hujung minggu sahaja sebelum pulang ke kampung. Pilihan yang selalu kami buat, membeli semasa hari bekerja, atau sebulan lebih awal. Jadi kalau dah bulan puasa tak ada masa sibuk-sibuk berebut dengan orang lain. Itu sahaja cara saya, tetapi setiap orang berbeza cara. Itu terpulanglah.


Foto: http://www.fit2paddle.com

Pernah sekali masa kecil, ketika darjah satu, baju raya saya tidak sempat siap. Dari pagi sampai tengahari masih ada di rumah tukang jahit, menunggu baju raya yang tak siap. Habis separuh hari raya membazir masa. Sedihnya bukan kepalang.

Apabila sudah siap, terus pakai. Tak payah basuh-basuh lagi. Pulanglah saya membonceng basikal bersama kakak. Sampai sahaja di masjid, semua kanak-kanak sudah dapat duit raya. Kami kira sampai lewat, sebab solat raya sudah habis. Nasib baik ada juga rezeki. Bagi saya itulah raya paling malang dan sedih sekali. Tahun berikutnya saya tidak lagi tempah pakaian dengan tukang jahit tadi.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin