Sunday, July 12, 2009

Ayahanda dah tiba

Alhamdulillah ayahanda tercinta sudah sampai ke rumah lewat petang tadi. Keriangan berganda buat kanak-kanak riang bertiga menyambut kedatangan datuk. Aiman yang sudah mula pelat bercakap, sudah pandai menyebut atuk walau didengar masih pelat. Aiman sudah lena di sisi atuk, sambil atuk mengosok-gosok badannya.

Ayah nampak ceria dan makan bertambah, memandangkan anak-anak dan cucu ada di sisi. Berselera makan, memandangkan dua minggu yang lalu diserang demam. Mungkin juga demam kesunyian. Insya-allah saya akan memasak hidangan kesukaannya.

Banyak juga buah tangan dari kampung, durian, rambutan, ikan kering, sayur terung dan timun. Ikan gelama kering yang kelihatan cukup segar dan enak. Ayah buat sendiri ikan kering tersebut. Biasanya tak masin. Memang banyak boleh buat stok seminggu,tak habis nak makan. Saya akan mengagihkan pada jiran terdekat. Biasalah orang kampung tak sah jika tidak dibawa bersama buah tangan untuk anak cucu.


Foto:http://lobaloba.fotopages.com

Mahu makan gulai ikan kering katanya. Akan dilunaskan niat ayah untuk hidangan berbuka esok hari. Pagi nanti saya perlu bangun menyediakan sahur istimewa untuk ayah. Hanya dia sahaja yang tingal kini. Asyik menyebut kerabu dan gulai mak yang sedap. Jadinya saya perlu menunaikan niatnya yang masih kempunan masakan arwah. Walaupun tidak setanding, sebagai anak saya mahu berbakti yang terbaik ketika dia masih ada.

Saya masih risaukan akan bulan puasa yang akan menjelang tiba. Ayah tidak mahu tinggal di sini, memandangkan lebih mudah dan selesa berpuasa di rumah sendiri dan sudah biasa untuk ke masjid awal waktu. Sudah beberapa kali saya memujuk supaya tinggal di sini. Risau juga akan makan dan keperluannya yang lain.

Alhamdulillah sejak arwah tiada ayah lebih berdikari dalam urusan rumah tangga. Saya agak terkejut ketika pulang bercuti beberapa bulan sudah, rumah bersih dan terurus. Inilah perubahan yang nyata. Cuma mungkin ayah tidak ada lagi sesiapa untuk memasak, hanya lauk tomyam, sup dan gulai yang dibeli di kedai.

Menurut adik bongsu mereka sudah tidak ada selera lagi dengan lauk di kedai. Terharu sungguh rasa hati. Mahu cepat rasanya menetap di Kelantan. Apakan daya tanggungjawab dan komitmen masih di sini. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa saya, supaya dapat pulang ke kampung dan mahu menjaga ayah.

2 comments:

Ely Hasrul said...

beshnye atuk dtg bwk ole ole

Masayu Ahmad said...

Ely,

org kg memang gitu, kalu boleh satu lori mahu bawak,, hehe

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin