Sunday, August 9, 2009

Meningkatkan motivasi bekerja di rumah

Teks: Masayu Ahmad


Foto: http://www.ineedmotivation.com

Belajar dari pakar

Apabila memilih bidang yang ingin dijadikan fokus utama menjana wang di rumah anda perlu mempelajari daripada sumber yang sudah berjaya dan sukses dalam bidang tersebut. Contohnya anda ingin menjadi perunding insuran atau takaful secara serius, mula mempelajari selok belok pengurusan takaful dan mengambil sijil-sijil kelayakan yang diiktiraf.

Dalami dan laburkan sedikit modal menghadiri mana-mana bengkel atau kursus. Jadikan mereka yang sudah berjaya sebagai rujukan utama. Mereka yang sudah sukses selalunya sudah mempunyai pengalaman melalui jalan yang dirintis. Jadi laluan anda tidak sesukar mana, namun anda perlu kreatif dan bijak untuk mendapatkan pengalaman perintis terdahulu untuk dijadikan sebagai garis panduan kepada anda yang baru memilih bidang tersebut.

Rujuk individu/kumpulan yang mahir

Seperti bayi yang baru yang lahir, memerlukan masa untuk merangkak, berjalan dan berlari. Begitu juga anda sebelum benar-benar mahir dalam sesuatu bidang. Ini perlu dilakukan secara bertahap dan konsisten. Anda perlu mengandaikan diris sendiri seperti bayi yang perlu dipimpin dan sentiasa memerlukan bimbingan.

Walaupun anda sudah tahu, tidak perlu menyatakan dengan yakin anda sudah tahu dan menguasai sesuatu perkara. Berlapang dada dalam menerima kritikan dan pandangan memudahkan anda menerima perkara baru. Lebih-lebih lagi anda merujuk dengan mereka yang sudah mahir.

Selalunya seorang guru tidak suka orang-orang di bawahnya menunjuk pandai, perbincangan perlu menjurus kepada seorang yang baru ingin menimba ilmu. Mengormati mereka yang mahir dan merendah diri, membuatkan sesiapa pun akan berlapang dada untuk membimbing anda.

Buang sikap ego, sudah tahu dan berlebih-lebih apabila anda dalam fasa berguru dari mereka yang mahir. Sepatutnya letak diri dalam situasi murid yang mahukan ilmu, menghormati dan menghargai guru.

Menambah pengetahuan

Membaca, membuat kajian dan mengenali orang-orang yang sudah berjaya adalah salah satu cara untuk meningkatkan ilmu. Jangan lokek masa dan malas untuk membaca buku-buku motivasi, kisah kejayaan orang lain dan dekat dengan mereka yang sukakan kejayaan.

Suasana begini mendorong anda terus bermotivasi dan membantu untuk mengambil nilai-nilai positif untuk momentum diri agar lebih tekun dan berusaha.

Bermula semula
Bisnes bangkrup, tidak ada pelanggan, anda muflis, hutang keliling pinggang. Fokus dan bina strategi semula. Kadangkala apabila pelbagai musibah datang membuatkan anda rasa tersungkur dan mahu mencari semula kekuatan diri.

Muhasabah diri adalah cara terbaik untuk memulakan semula usaha anda. Percaya dengan qada dan qadar, tetapi anda perlu terus bersangka baik dengan rezeki Maha Kuasa.

Tidak dijadikan cabaran dan ujian melainkan hikmah yang tersembunyi yang kadangkala kita tidak tahu dan nampak.

Sebagaimana yang seringkali kita dengar ujian kekayaan dan kemiskinan adalah dua perkara yang berbeza namun tujuannya adalah sama. Setiap ujian dialami perlu kita ambil hikmahnya. Jika kita sudah berada dalam situasi senang, perlu beringat pada masa hari susah. Jika berada pada tahap kemiskinan perlu mengambil daya usaha untuk keluar dari kepompong tersebut. Kaya atau miskin situasi, jangan kufur dengan nikmat yang diberikan.

Kekalkan momentum

Bukan mudah untuk mengekalkan motivasi diri. Ianya akan sentiasa turun naik. Semasa pencapaian dalam usaha memberangsangkan anda perlu terus bergerak. Kerana ketika anda gembira, biasanya anda sunguh teruja untuk terus berusaha. Manakala sekiranya anda berasa kesedihan,bimbang dan putus asa, teruskan juga berusaha. Tetapi beri masa kepada diri sendiri untuk bertenang dan berusaha semula.

Cukup sekadar bersedih untuk beberapa tempoh, untuk memberi ruang dan masa kepada diri sendiri. Tetapi jangan terlalu lama bersedih dan berputus asa sehingga hilang terus hala tuju. Ambil sedikit masa dan kemudiannya teruskan semula usaha yang tergendala.

2 comments:

Afizart said...

salam kak
boleh idah minta izin copy artikel akk i dlaam blog idah?

Masayu Ahmad said...

salam idah

ya, silakan

sertakan bersama link juga,

semoga bermanfaat

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin