Teks & foto: Masayu Ahmad
Si kecik ini sudah banyak patah perkataan bermain di bibir comelnya. Kala dia merajuk akan berbunyilah suara memanggil-manggil ayahnya.
Ayah…ayah,sambil menangis.
Jika ibu sibuk di depan komputer tidak melayan, Aiman akan buat perangai mengada-ngada mahu tarik perhatian.
Jika ibu sibuk juga menaip, Aiman sekoyong-koyong akan menekat punat off pada plug. Habis semua terpadam. Dengan mulut yang masam akan merenung ibu supaya segera mendokongnya.
Jika hatinya gembira kekenyangan dan sudah berbau wangi, Aiman gemar berlari-lari dengan abang Arif. Main basikal di laman depan atau asyik menonton tv.
Kalau ibu cakap, sayang Aiman. Aiman segera cium pipi ibu dengan mulutnya berkata tayam, tayam berulang kali. Kadang-kadang sambil bibirnya mengetap kegeraman.
Pagi-pagi kalau ibu kalut menguruskan Hakim, Aiman akan terkedek-kedek juga mengikut langkah di belakang. Aiman juga sibuk mahu mengikut abang Hakim ke sekolah. Tidak boleh ditinggalkan, jika tidak meraunglah menangis mengeluarkan air mata.
Aiman mahu ikut jugak. Biasanya dia akan bersandar berdiri di belakang, kalau mood ok dia akan duduk di hadapan. Sambil memandu, ibu akan menyanyi-nyanyi dengan Aiman lagu ABC atau alif, ba, ta.
Apabila malam, Aiman suka baring atas lengan ibu, sambil menghulurkan kaki.
“Akit, akit,” (sakit)
Atau
“ata,” (gatal)
Ibu gosok kaki Aiman sehinggalah lena. Walaupun nampak lena, sebenarnya belum nyenyak lagi.
Tak pun, Aiman sudah pandai ikut zikir.
Awah, awah, awah ya, awah (Allah, Allah, Allah Ya Allah)
Mulutnya yang comel dan pipi yang kembang itu, akan terikut dengan gelek kepala kiri dan kanan. Kadang-kadang sambil senyum mungil. Inilah pengubat kepenatan yang paling mujarab.
Aiman sudah lena, tetapi belum betul-betul lena.
Ibu bangun pelan-pelan, matanya akan terbuka semula. Dia akan kembali bersuara agar ibu tidur di sebelah.
No comments:
Post a Comment