Saturday, August 29, 2009

Sudah menghampiri pertengahan Ramadhan

Teks: Masayu Ahmad



Foto:http://www.freewebs.com

Pagi petang siang malam. Bersahur, berpuasa, berbuka. Begitulah seterusnya, tup tap tup tap kita sudah menghampiri satu pertiga Ramadhan. Cukup cepat masa berlalu. Jika masa kecil-kecil dahulu, mahu menunggu satu jam, ya Allah lambatnya jarum jam bergerak.

Tidur dan sambung tidur. Buka mata lihat jam lagi. Jika sudah petang sudah ada bau haruman di dapur yang menusuk kalbu. Menguji kesabaran. Puasa anak-anak kecil hanyalah puasa semata-mata. Puasa menahan lapar dan dahaga.

Menjengah dewasa, bukanlah lapar sebagai cabaran. Tetapi menahan segala nafsu zahir dan batin. Meningkatkan lagi kualiti ibadah. Jika dahulu suka berlengah-lengah menunaikan solat. Solat awal waktu lebih didisplinkan.

Jika dahulu mengaji hanya hari Jumaat atau sehelai sahaja sehari, membanyakkan waktu mengaji al-quran dengan masa yang tetap setiap hari adalah usaha yang perlu dipertingkatkan.

Jika bangun awal kerana mahu sembahyang subuh sahaja, usahakan untuk bangun ebih awal untuk qiamullail. Banyak cara dan pilihan untuk meningkatkan kualiti ibadah bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi diteruskan untuk bulan-bulan yang lain.

Nafsu lain yang selalunya kita sebagai wanita sukar untuk dibendung, ingatan juga untuk diri sendiri ialah berbelanja dan membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya. Kadangkala kita berusaha untuk menjadi lebih baik, tetapi tidak perasan perkara yang sama dilakukan hampir setiap tahun menjelang Ramadhan dan Hari Raya.

Pengaruh tv kadangkala meransang nafsu untuk berbelanja. Pakaian berpasang-pasang, kuih-muih kadangkala melebihi daripada apa yang sepatutnya. Mungkin sukar untuk mengawal nafsu berbelanja tetapi membuat senarai terlebih dahulu banyak membantu untuk kita lebih berhemah.

Program jejak rasul menziarah Makam Nabi Harun Alaihisalam

Sepanjang Ramadhan ini selain banyak iklan dan program untuk menyambut lebaran ada juga program-program yang berunsur tazkirah dan program membantu kita meningkatkan ilmu.

Sambil memasak biasanya, sempat juga melihat siri jejak rasul kisah para anbiya. Kisah jejak rasul kali ini para krew penerbitan menziarah dan menjejak makam para nabi dan Rasul.

Saya sempat melihat satu siri, iaitu mereka menziarah ke Makam Nabi Harun. Perjalanannya agak jauh, dan perlu melakukan pendakian kerana Makam tersebut berada di atas sebuah bukit.

Bukit tersebut sangatlah tinggi (saya terlupa mencatat ketinggian), untuk ke puncak perlu melakukan pendakian. Apa yang menjadi persoalan bagaimana makam tersebut berada di puncak. Allahhu alam, memandangkan sesiapa pun tidak tahu bagaimana ia berada di puncak.

Makam tersebut dijaga oleh seorang penjaga, seorang badwi Arab, yang mana kerjanya menjaga makam tersebut.

Hati saya semasa perasaan haru dan sedih, setiap langkah krew penerbitan adalah hanya satu usaha yang kecil sebagai gambaran bagaimana Nabi Harun semasa hidupnya memperjuangkan agama Allah. Dalam keadaan suasana padang pasir yang kering kontan dan berbukit-bukit.

Lahir perasaan sebak dan mengalir air mata selepas mereka berjaya menjejaki ke puncak. Pengalaman yang tidak akan berulang-ulang banyak kali, mungkin hanya sekali dalam hidup. Subhanallah.

Saya kongsikan artikel nabi Harun dari

http://risalahrasul.wordpress.com/

Nabi Harun AS (هارون)

Nabi Harun AS telah diminta oleh Nabi Musa AS pada Allah SWT dalam membantu mengembangkan agama Allah.

Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim. Baginda ialah adik-beradik seibu Nabi Musa, diutuskan untuk membantu Musa memimpin Bani Israel ke jalan yang benar.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi.”

Harun dilahirkan tiga tahun sebelum Musa. Beliau yang fasih berbicara dan mempunyai pendirian tetap sering mengikuti Musa dalam menyampaikan dakwah kepada Firaun, Hamman dan Qarun. Nabi Musa sendiri mengakui saudaranya fasih berbicara dan berdebat, seperti diceritakan al-Quran

: “Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan) ku, sesungguhnya aku khawaatir mereka akan berdusta.”

Sepanjang peninggalan Nabi Musa untuk bermunajat di Thur Sina, Harun juga diberikan amanah untuk mengawasi dan memimpin penduduk Bani Israel daripada melakukan kemungkaran, apa lagi menyekutukan Allah dengan benda lain. Musa berkata kepada Harun:

“Gantikanlah aku dalam (memimpin) kaumku dan perbaikilah, jangan kamu mengikuti jalan orang yang melakukan kerusakan.”
Bagaimanapun, sepanjang kepergian Musa ke Thur Sina, berlaku ujian terhadap Bani Israel. Sebilangan mereka menyekutukan Allah dengan menyembah anak lembu yang diperbuat dari emas oleh Samiri.

Mereka menyembah patung lembu itu yang terpedaya dengan tipuan Samiri yang menjadikannya sehingga bisa berbicara. Harun sudah mengingatkan mereka kelakuan itu adalah dosa besar, namun segala nasihat dan amaran berkenaan tidak dipedulikan.

Selepas bermunajat selama 40 hari, Musa kembali kepada kaumnya dan sungguh terkejut dengan perbuatan menyembah patung sapi itu. Musa bukan saja marah kepada kaumnya, malah Harun sendiri turut ditarik kepala dan janggutnya.

Musa bertanya kepada Harun: “Wahai Harun, apa yang menghalangi engkau daripada mencegah mereka ketika engkau melihat mereka sesat? Apakah engkau tidak mengikut aku atau engkau mendurhakai perintahku?”.

Harun berkata: “Wahai anak ibuku, janganlah engkau renggut janggutku dan janganlah engkau tarik kepalaku, sesungguhnya aku takut engkau akan berkata, “engkau adakan perpecahan dalam Bani Israel dan engkau tidak pelihara perkataanku.”
Kemudian Musa mendapatkan Samiri, lalu berkata:

“Pergilah kamu dari sini bersama pengikutmu. Patung sapi itu yang menjadi tuhanmu akan aku bakar, kemudian aku akan hanyutkan ke dalam laut. Kamu dan pengikutmu pasti mendapat siksa.”

Nabi Harun hidup selama 122 tahun. Baginda wafat 11 bulan sebelum kematian Musa, di daerah al Tiih, iaitu sebelum Bani Israil memasuki Palestin.

Mengenai Bani Israel, mereka memang pembangkang, banyak bicara dan sukar dipimpin, namun dengan kesabaran Musa dan Harun, mereka dapat dipimpin supaya mengikuti syariat Allah, seperti terkandung dalam Taurat ketika itu.

Selepas Harun dan Musa meninggal dunia, Bani Israel dipimpin oleh Yusya’ bin Nun. Namun, selepas Yusya’ mati, lama-kelamaan sebagian besar mereka meninggalkan syariat yang terkandung dalam Taurat.

Malah, ada kalangan mereka yang mengubah hukum di dalam kitab Taurat, sehingga menimbulkan perselisihan dan perbezaan pendapat, akhirnya menyebabkan perpecahan Bani Israel.

Untuk lebih jelasnya tentang kisah Nabi Harun, silahkan membaca kisah Nabi Musa AS.

2 comments:

Anonymous said...

tima kasih sbb perkenalkan blog yg byk info tuh.....

Masayu Ahmad said...

sama2 kasih

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin