Teks: Masayu Ahmad
Foto: http://listverse.files.wordpress.com
Salam hujung minggu, ketika catatan ini ditulis, jam baru 8.30 pagi. Menu apa ya hidangan pagi ini. Sesudah memandikan kanak-kanak riang dan semua sudah harum, saya mengadap sekejap komputer. Rasa sangat cergas pagi ini, tidak tahu lagi apa menu untuk sarapan hari ini.
Sekejap lagi mahu menjemur pakaian di ampaian. Mungkin hari ini berada di rumah sahaja. Semalam sepatutnya saya ada tugasan luar, tetapi saya tidak dapat hadir memandangkan ada sedikit aral. Saya perlu memaksa diri menyiapkan beberapa tugasan penting yang masih tertangguh-tangguh. Alahai, mungkin motivasi agak kurang juga minggu ini, tidak selaju minggu lalu.
Itulah kadangkala perlu ada ruang untuk diri sendiri, bagi menaikkan semula semangat dan motivasi. Semalam macam tidak mahu pergi ke aktiviti aerobik taman, tapi sebab rakan mengajak saya gagahkan jugak. Nasib baik pergi, dua jam berlalu tidak terasa.
Foto: http://www.101cookbooks.com/
Semalam juga cikgu aerobik kami, Kak Lin bermurah hati memberikan setiap ahli baju seragam, kiranya ala-ala uniform. Berwarna biru kuning, terus bersemangat semua orang. Jadinya step dimulakan semula untuk direkod dan dijadikan video, jika siap nanti saya akan cuba siarkan di sini. Selepas habis dalam jam 12 lebih rasanya, kami seperti biasa lepak-lepak sekejap sambil makan durian dan buah salak.
Saya semakin sayang dengan taman ini memandangkan hubungan semakin akrab. Aktiviti juga semakin mendapat sambutan. Jika dulu di pejabat ada pelbagai barang yang dijual oleh setiap orang. Keadaannya sama juga nampaknya, setiap orang atau rumah, kebanyakannya ada menjual produk. Ada jual tudung ala ariani, perfume, kain baju, HPA, karipap dan banyak lagi.
Kalau nak makan karipap frozen untuk pagi atau petang saya beli sahaja dengan jiran sebelah rumah. Senang dan mudah. Kalau nak tudung tak payah ke kedai, ambil sahaja dari jiran belakang rumah, Boleh cuba-cuba pakai dulu sebelum membeli. Sebenarnya kalau nak berniaga, macam-macam boleh buat. Kami cuba menyokong antara satu sama lain.
Foto: thedailygreen.com
Hakim sudah seminggu ke sekolah, sudah ada sedikit perubahan, mudah untuk saya mengambil ruang dan melatih diri mengurus masa. Hakim tiada maka tiadalah master mind yang banyak meneroka projek X bersama-sama pengikut setia Arif dan Aiman. Hari pertama Hakim ke sekolah Aiman dan Arif seolah-olah mati kutu, senyap sahaja rumah, alih-alih nampak terbungkam lena kedua-duanya depan tv. Hari seterusnya Projek Y sudah mula diterokai si kecik Aiman, pengikut setia abang Arif. Alahai boleh tahan juga Aiman ini.
Apapun saya cuba membuat aktiviti pagi untuk budak berdua ini, selepas mereka bangun dan sudah kenyang, saya bagi lukisan untuk diwarnakan, sekejap sahaja selepas boring terus saya on kan tv. Tak pun kalau saya menjemur pakaian, saya biarkan mereka di laman bermain-main sekejap di pagi hari. Kadang-kadang jika semua bangun awal, bolehlah ronda-ronda keliling taman dahulu bersama ayah dengan motor.
Arif sudah pandai menggunakan mouse dan sudah mahir mengetik-ngetik game dan ABC di starfall. Jika dulu Hakim yang lakukan, Arif berdiri tegak di belakang Hakim. Sekarang ini Arif yang menguasai komputer Aiman pula berdiri tegak di belakang Arif. Kalau ketiga-tiganya ada, berkongsilah sebuah kerusi. Lupa saya mahu rakamkan aksi mereka bertiga.
Sebenarnya bukan mudah untuk menguruskan tiga perkara serentak, anak-anak, kerjaya dan urusan rumahtangga. Namun saya sudah dapat mendapat rentak dan sudah mula cekap melakukan kerja rumah. Jika dulu agak terhegeh-hegeh juga, tetapi kini cuba meletakkan sasaran untuk membuat pelbagai perkara dalam satu-satu masa. Alhamdulillah, saya sudah dapat menguasainya secara bertahap. Pernah juga terfikir mahu mengambil balik pembantu, tetapi apabila difikirkan balik anak-anak kembali rapat dengan saya. Apabila kemana-mana hanya kami sekeluarga sahaja, tidak ada orang luar. Mungkin tidak diperlukan buat masa sekarang.
Alternatif yang sangat membantu menghantar anak-anak ke pusat pembelajaran untuk setengah hari. Jik Arif ok, saya akan menghantarnya juga tahun hadapan. Lebih cepat dia menyesuaikan diri dengan suasana baru, lebih bagus untuk perkembangannya. Saya cuba mempelbagaikan kaedah agar anak-anak tidak boring.
Betapa bertuahnya anak-anak sekarang kerana mempunyai pelbagai kemudahan. Satu cara yang ingin diterapkan, cukup sekadar bersederhana. Saya tidak akan memberikan perkara yang bukan-bukan seperti permainan yang mahal. Cukup dengan apa yang ada, jika perlu hanya mengikut keutamaan sahaja. Bukan mahu kedekut, tetapi mahu anak-anak lebih menghargai akan nilai setiap barang dan tidak sesuka hati dapat dengan mudah. Mudah dapat, mudah dibuang. Sukar dapat, menghargainya lebih berbaloi.
No comments:
Post a Comment