Saturday, August 15, 2009

Ramadhan kembali lagi



Teks: Masayu Ahmad

Pejam celik pejam celik Ramadhan kembali, ianya mengembalikan nostalgia bersama arwah. Tahun lepas saya berkesempatan membuat sedikit majlis makan-makan semasa bulan syawal. Pada masa itulah kali terakhir arwah berkunjung sebelum balik seminggu kemudian meninggalkan kami. Kunjungan itu adalah terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Betapa sekejap sahaja masa berlalu. Al-Fatihah. Ramadhan kali ini pasti akan terasa. Saya akan sentiasa ingatkan arwah dan hujung doa setiap kali memohon keampunan Nya untuk arwah dan agar rohnya dicucuri rahmat.

Setiap kenangan melekat kukuh dalam memori. Saya rindukan akan zaman kanak-kanak dan remaja, seringkali mengikut arwah ke masjid untuk solat tarawih. Rindunya suasana tersebut. Kadangkala perbincangan juga menghala soal rumahtangga dan hal-hal lain.

Teringat saya ketika melalui satu sesi ujian menulis dan membaca tulisan jawi. Saya mendapat markah penuh. Ketika ustaz bertanya siapa yang mengajar. Saya dengan penuh bangga menyatakan,

“Saya belajar dari emak.”

Betapa ianya melekat dalam hati apabila saya suka membelek tulisan jawi dan mendapat tunjuk ajar arwah.

Ingatan juga melekat apabila lama tidak bertemu, kami akan berborak panjang ketika tidur dan sama-sama melagukan zikir munajat.

Sampai ke hari ini setiap kali menyanyikannya bersama kanal-kanak riang ini, kadang-kadang saya merasakan saya melagukan bersamanya. Kadang-kadang rasa panas di hujung anak mata. Air mata saya mengalir tanpa saya sedar.

Jika pulang ke rumah di kampung akan kedengaran suara arwah mengajar anak-anak kecil mengaji al-quran. Suara-suara kecil yang mengalun ayat-ayat suci.

Kini ianya kosong, sunyi tiada lagi lontaran suara melagukan ayat-ayat dan surah-surah. Sepi dan sunyi. Itulah barangkali saya melihatkan kelainan ayah yang nampak berbeza. Lebih diam daripada biasa. Saya dapat merasakan kesunyiannya dan mestinya merindui arwah melebihi saya.

Saat memandikannya, mengafankan arwah, saya cuba menahan agar air mata tidak gugur. Mengiringi jenazah dan menunggu hingga timbusan tanah terakhir.

Masakannya, nasihatnya, leterannya adalah masih ranum di ingatan saya. Saya akan sentiasa bermohon kepada-Nya, agar arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga saya dipanjangkan usia untuk terus berbakti kepada kedua orang tua.

Syahdunya. Oh…air mata saya mengalir lagi.

2 comments:

Ely Hasrul said...

semoga rohye dicucuri rahmat.. sob sob sedihnye..

Masayu Ahmad said...

Ely

TQ....tentu masih ada mak kan,,,berbaktilah selagi masih ada..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin