Monday, August 17, 2009

Terus berlari tanpa henti

Teks: Masayu Ahmad


Foto: http://www.headachecare.com

Impian dan matlamat setiap orang tidak sama, saya membayangkan kehidupan dalam suasana kampung yang tenang dengan rumah idaman yang sederhana. Meraikan suami dan anak-anak setiap hari dengan kasih sayang.

Apa pun matlamat anda, ianya perlu digerakkan dan usahanya dari sekarang. Katakanlah kini berusia 30 tahun, apakah matlamat ketika usia 40, 50, 60 dan seterusnya.

Seboleh-bolehnya biarlah seimbang untuk kehidupan di sini dan di sana. Terpulang kepada pilihan sendiri untuk menentukannya. Cintai kehidupan, baja dengan kasih sayang dan tuai dengan ketenangan yang berpanjangan. Usaha dan kerja keras adalah tangga-tangga yang perlu anda jejaki sebelum berada di puncak kejayaan.

Matlamat

Bebas hutang, rumah idaman, percutian, bekerja dari rumah, menjana pendapatan lumayan, bekerja sendiri adalah contoh matlamat yang boleh disasarkan.

Setiap orang mempunyai matlamat dan impian yang berbeza. Pendekatan dan tujuan adalah berdasarkan sasaran yang mahu dicapai dalam tempoh tertentu.

Bukan namanya kehidupan jika tiada matlamat. Senaraikan seberapa banyak mengikut kemahuan. Tulis mengikut keutamaan. Ianya perlu realistik dan mula letakkan sasaran dan strategi mengikut kemampuan.

Fokus

Mula fokus apa yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat utama. Buang senarai matlamat yang kurang penting. Sasarkan apa yang perlu dilakukan untuk mempercepatkan usaha mencapai matlamat utama.

Senaraikan juga halangan dan strategi yang boleh membantu. Tukar halangan kepada cabaran dan peluang. Contohnya jika anda merasakan anda masih belum mahir membuat kuih raya, ianya mungkin gagal untuk beberapa kali percubaan.

Tetapi cubaan seterusnya akan menjadikan anda seorang yang tepu pada sikap putus asa dan terus mencuba sehingga menjadi seorang yang pakar dalam membuat kuih.

Kejayaan tidak akan berlaku dalam sekelip mata, kehebatan tidak akan terjadi dengan hanya beberapa kali cubaan sahaja. Mungkin berjaya dalam cubaan 100 atau 200. Lakukan dan terus lakukan dengan penuh minat dan semangat.

Jika di musim menjelang hari raya anda pastinya melihat jenama biskut Noraini. Ianya seakan sudah menjadi satu trend dan jenama biskut pilihan. Jika ke pasaraya atau tempat membeli belah, saya melihatkan ianya adalah satu usaha individu yan fokus untuk menjadikannya satu produk yang dikenali.Hanya fokus kepada biskut sahaja.

Anda cari potensi mengikut apa bidang yang anda ingin usahakan. Cari pakar dalam bidang tersebut sebegai rujukan dan sumber inspirasi.

Fokus dalam bidang yang dipilih juga perlu diambil perhatian. Hari ini anda bermatlamat mahu menjadi pemilik butik, esok mahu buka kedai runcit dua minggu kemudian mahu buka kedai andaman pengantin. Boleh lakukan banyak bidang, tiada siapa yang menghalang. Tetapi fokus kepada bidang yang berpotensi dengan kepakaran dan minat anda boleh dijadikan keutamaan.

Usaha

Mahu makan sekalipun perlu berusaha. Anda perlu ke pasar, ke dapur untuk memasak dan menggerakkan idea untuk menghasilkan menu yang berselera untuk dimakan.

Anda suka memasak, tetapi acapkali melihat sink yang penuh pinggan mangkuk yang kotor dan dapur yang tidak terurus membuatkan anda malas mahu memasak. Halangan ini membuatkan anda mahu memasak yang mudah dan segera sahaja. Tiadalah air tangan untuk memasak menu hebat untuk suami dan anak-anak. Hanyalah nasi goreng atau telur goreng sahaja. Mudah dan senang.

Begitu juga dalam usaha anda mencapai matlamat. Anda mahu menjadi tukang jahit hebat, tetapi kekemasan jahitan membuatkan anda terbantut usaha dan mati akal untuk meneruskannya. Tukang jahit yang cermat menjadikan pelanggan amat berpuas hati apabila menempah pakaian.

Apapun perlu usaha, seringkali anda dengar dengan ayat, kejayaan tidak akan datang bergolek. Ianya tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Latihan demi latihan, halangan adalah cabaran. Matlamat bukan sekadar tukang jahit biasa, tetapi tukang jahit profesional yang begitu dikenali dengan hasil kerja yang berkualiti.

Motivasi

Semangat akan sentiasa turun naik. Ketika anda hampir rebah keranan kegagalan, perlu mencari ransangan, suntikan dan sokongan untuk bermula semula. Jangan menoleh ke belakang teruskan berjalan. Jika anda sudah kuat teruskan berlari, jika keletihan rehat sebentar dan sambung semula perjalanan. Jangan melakukan separuh jalan.

Ibarat menyiapkan sebuah rumah. Ianya tidak akan siap jika si tukang pembuat seringkali berlengah-lengah dan lambat. Akan siap juga tetapi akan tersasar daripada tempoh yang sepatutnya. Siap juga tetapi kurang sempurna kerana tidak dilakukan sepenuh hati dan dalam keadaan terpaksa.

Mendampingi mereka yang sukakan kejayaan, sentiasa bermotivasi, hadir ke bengkel atau kursus yang boleh menggerakan motivasi serta minta sokongan ahli keluarga dan orang terdekat.

Doa

Mohonlah pada-Nya dengan cara yang betul. Mohon apa sahaja yang anda kehendaki, tetapi perlu terlebih dahulu memohon keampunan dan bersyukur dengan apa yang ada.
Bertawakal dengan setiap apa yang telah diusahakan. Jika anda benar-benar ikhlas dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, habuan akan menanti. Kejayaan akan tetap hadir jika ianya benar-benar berada dalam laluan dan landasan yang betul

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin