Monday, June 21, 2010

Noraini’s Cookies ke pasaran antarabangsa

Sumber: Utusan Mega



SIAPA sangka keputusan nekad berhenti kerja selepas kelahiran anak ketiga ada hikmah di sebaliknya. Wanita kelahiran Sungai Manggis, Banting, Selangor ini pada awalnya juga tidak berkeyakinan tetapi kerana dirinya tidak betah duduk diam, akhirnya kerja keras tanpa mengenal putus asa berbayar semula.


Kini, Pengarah Urusan Noraini’s Group of Companies, Noraini Ahmad, 52 tahun, sudah boleh menarik nafas lega serta tersenyum puas kerana selepas melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis, beliau berjaya membina jenama Noraini’s sebagai sebuah empayar produk makanan ke arena global.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, MOHD. SHAHARANI SAIBI berkesempatan menemubual wanita gigih ini di pejabatnya yang terletak di Taman Pinggiran Subang, Shah Alam, Selangor berkongsi kisah perjuangannya sehingga sampai ke tahap sekarang.

MEGA: Bagaimanakah penglibatan puan dalam dunia perniagaan bermula?

NORAINI: Saya sebenarnya bermula secara kecil-kecil. Semasa bekerja lagi saya sudah berniaga kain ela dan pinggan mangkuk. Selepas berhenti kerana ketiadaan pembantu rumah, saya tercari-cari kerja apa yang boleh dilakukan untuk mencari sumber pendapatan.

Saya mula dengan membuat nasi lemak, bihun goreng dan kuih-muih untuk dibawa ke pejabat suami. Pada masa itu tidak terlintas langsung untuk berkembang pesat.

Semuanya bermula selepas seorang teman suami memberi rasa kuih tradisional saya kepada seorang chef di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. Selang beberapa hari, chef tersebut mahu saya bawa beberapa contoh kuih.

Pada 1984, Noraini’s Enterprise ditubuhkan dan syarikat kami membekalkan kuih-muih kepada 14 hotel sekitar Lembah Klang. Semua proses pada masa itu dilakukan di belakang rumah dengan bantuan 14 pekerja.

Apabila masuk tahun ke 10, timbul rasa penat ditambah pula dengan pelbagai kerenah pekerja baik yang tempatan mahupun pekerja asing. Saya cuba mencari penyelesaian dengan mencari alternatif lain. Pada masa itu penjualan kain masih diteruskan.

Saya ubah cara perniagaan dengan menjual kuih raya pada 1992. Tahun pertama, saya sudah nampak pendapatan yang diperoleh tetapi apabila masuk tahun kedua, saya sudah nampak ketidakmampuan teman menyiapkan tempahan yang diterima.

Bila saya nampak suasana semakin serius, saya ajak empat pekerja untuk cuba membuatnya sendiri. Alhamdulillah, rupa-rupanya biskut yang kami buat lebih mendapat sambutan. Bermula dengan dua biskut, lama-kelamaan berjenis-jenis biskut yang dihasilkan.

Dari situlah terfikir biskut menjadi pilihan. Apatah lagi, risikonya tidaklah sehebat kalau kita berniaga kuih basah ataupun dikenali dengan nama kuih nyonya atau kuih Melayu. Walaupun ia bermusim tetapi kepuasan dan penatnya berbaloi.
Kuantiti yang dibuat pula bergantung kepada tempahan, berbeza dengan kuih basah yang tidak boleh diagak pengeluarannya serta tidak tahan lama.

Mulai saat itulah saya berhijrah kepada bisnes biskut. Jadi untuk masuk ke pasar-pasar raya serta membina keyakinan pelanggan saya daftarkan Noraini’s Enterprise Sdn. Bhd. Syarikat kami mula bekalkan biskut-biskut kepada pasar raya, pasar malam dan pasar Ramadan.

Beralih

Bila gawat melanda negara, saya beralih jual kuih baulu, kek dan tapak pertama kami ialah di Angsana, Johor Bahru pada akhir 1998 dengan menubuhkan Noraini’s Fresh Bake. Tapak kedua dibuka di Plaza Masalam pada akhir 2000. Di sini saya menambah menu seperti roti jala, aneka laksa, mee, nasi lemak dan akhirnya ia bertukar menjadi kafe kecil.

Bermula dari situ saya diilhamkan pula Noraini’s Laksa Paradise dengan menghasilkan 11 produk antaranya; asam pedas, kari ikan, sambal tumis, aneka laksa, rendang, mee bandung dan mee kari. Tahun lepas, syarikat kami menghantar produk ke Jepun dan diubahsuai dalam bentuk pes kepada serbuk. Idea ini saya dapat semasa di Mekah kerana mahu menikmati pelbagai juadah secara mudah dan segera serta sedap.
Pada 2004, saya tubuhkan Noraini’s Cookies Worldwide Sdn. Bhd. Semasa menyertai pameran Mihas 2006, saya dipelawa membuka kilang di Kazakhtan kerana niat seorang ahli perniagaan dari negara itu ialah dia mahu memulakan hab halal di sana.

Pada masa itu, saya tidak berapa yakin, tetapi apabila anak kedua, Hezir Effez Norsham, 27, pulang dari negara itu dan memberitahu kesungguhan mereka. Saya terima pelawaan tersebut. Jadi pada September 2006 anak saya yang sanggup melepaskan bidang kejuruteraan komputer berangkat ke sana sehinggalah sekarang. Alhamdulillah, kini terdapat enam kilang di sana yang menyediakan antaranya; sosej, spagetti, mee segera dan piza.
Apabila anak kedua menguruskan perniagaan di Kazakhtan, saya ‘patah tangan’ kerana tidak ada sesiapa membantu. Namun semasa menunaikan haji, anak pertama memberitahu keputusannya untuk serius dalam dunia perniagaan. Maka sekarang, saya dibantu Dr. Helmee Effendee Norsham, 31, yang sanggup meninggalkan bidang kedoktoran demi memantapkan bisnes keluarga.

Pada Mei 2007, saya tubuhkan pula Noraini’s Farm House Sdn. Bhd. yang memfokus kepada produk rempah campuran. Penghasilan produk ini bertambah rancak dengan adanya ladang seluas tiga ekar di Ijok yang ditanam dengan serai, lengkuas dan beberapa lagi.

Menerusi cerita puan di atas sudah pastinya bukan calang-calang orang berani mengusahakannya. Di manakah puan rasa kekuatan serta kelebihan puan untuk terus bertahan?

NORAINI: Kejayaan ini semuanya dengan kehendak Allah dan berkat kerja keras yang tidak kenal putus asa. Saya bersyukur, walaupun dengan pelbagai cabaran yang melanda alhamdulillah kami berjaya mengharunginya sebaik mungkin.

Ini semuanya tidak diduga, mungkin ilham-ilham yang diperoleh itu datangnya daripada Yang Maha Esa. Anugerah itu telah membawa saya sehingga ke tahap ini. Maklumlah pada masa itu kekuatan hanya bersandarkan minat dan kemahiran memasak.

Selain itu, mungkin sikap ibu yang tegas dalam mendidik saya dengan kerja-kerja di dapur serta menguasai bidang masakan yang diterapkan seawal usia lapan tahun, sedikit sebanyak membina keyakinan diri.

Lebih-lebih lagi, sebagai anak perempuan tunggal, menjadikan saya terbiasa dengan tugasan sebegini. Sungguhpun ayah seorang pendidik dan emak suri rumah sepenuh masa tetapi mereka berdua adalah pakar dalam bidang masakan. Bila mana ada kenduri kendara, merekalah yang dipanggil untuk memasak. Berkemungkinan juga dari situ saya mendapat tunjuk ajar berguna berkaitan ilmu memasak.

Hakikatnya tanggungjawab menguruskan rumah tangga yang dipikul sejak kecil dan yang paling mencabar, sewaktu kedua-dua ibu bapa menunaikan haji walaupun pada masa itu kami adik-beradik ditemani nenek. Kalau difikir-fikirkan, pendedahan dan kepercayaan inilah yang banyak membentuk saya seperti sekarang.

Puan mengatakan di atas banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi, apakah antaranya dan bagaimana puan menghadapinya?

NORAINI: Kalau dibandingkan dari mula-mula menapak sehinggalah sekarang, cabarannya memang kami tidak dapat lari. Namun bagi saya, cabaran itu perlu kerana tanpanya kita sukar untuk maju.

Cabaran berhadapan dengan kegawatan ekonomi apatah pula, dengan suami yang sudah berhenti kerja serta tidak ada pengaliran wang tunai di tangan yang pernah saya alami, itu memang cukup mencabar.

Bayangkan bagaimana perasaan pada masa itu apabila kita sudah biasa dengan pendapatan mencecah ribuan ringgit ditambah pula dengan kontena biskut yang tidak terjual, hanya Allah tempat kami menyerah.

Pun begitu, saya tidak berputus asa. Selagi ada kudrat dan ilmu memasak serta sentiasa dikurniakan ilham dan idea, saya bentuk perniagaan baru.

Semua ini tidak akan berjaya tanpa kekuatan mental dan fizikal dan kerjasama serta persefahaman suami isteri. Tanpanya, saya rasa boleh goyah pendirian dan keteguhan seseorang ahli perniagaan itu.

Namun, saya percaya setiap yang berlaku itu ada sebabnya dan setiap ujian itu ada hikmah di sebaliknya. Kita sahaja yang tidak berkeyakinan dengan-Nya.

Adakah puan sudah puas dengan pencapaian sekarang dan apakah perancangan puan pada masa hadapan?

NORAINI: Alhamdulillah, saya gembira dengan pencapaian sekarang, Walau bagaimanapun, selagi ada peluang atau idea untuk mengembangkan lagi perniagaan apatah lagi, ini adalah bisnes keluarga, jadi saya mahu sama-sama mengusahakannya.

Buat masa ini, dengan sokongan dan bantuan daripada anak pertama dan kedua yang sanggup meninggalkan bidang profesional masing-masing, menjadi pemangkin semangat untuk terus berjuang bersama mereka membina empayar perniagaan kami.

Kalau sebelum ini menerusi Noraini’s Fresh Bake yang berkonsep kiosk kini sudah boleh difrancaiskan. Terbaru, kami telah membuka Noraini’s Cafe di Seremban Parade, Seremban, Negeri Sembilan.

Malah dari semasa ke semasa kami akan cuba perbaiki mana aspek dari produk yang perlu agar ia terus menepati kehendak pelanggan dan zaman.

Kami juga telah mendapat kepercayaan daripada sebuah syarikat luar negara. Ia adalah petanda positif, jenama Noraini’s terus berkembang kukuh.

Pengalaman melebihi 20 tahun dalam dunia perniagaan merupakan sesuatu yang perlu dibanggakan. Mungkin ada kata nasihat puan kepada mereka yang menceburi bidang ini?

NORAINI: Ramai yang beranggapan bahawa untuk berniaga memerlukan modal yang besar, bagi saya modal bukanlah segala-galanya tetapi kalau ada ia satu bonus.

Pun begitu, dalam bisnes kita kena banyak bersabar, kreatif dan fokus dengan tugasan. Kalau boleh, pilihlah perniagaan yang kurang risiko serta sentiasa mantapkan diri dengan ilmu-ilmu keusahawanan, pengurusan, pemasaran, waima kemahiran berkomunikasi.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin