Najib Tun Razak bersama rakan sejawatannya Susilo Bambang Yudhoyono menyaksikan Hishamuddin Tun Hussein dan Muhaimin Iskandar menandatangani Dokumen Surat Niat Mengenai Pindaan Kepada MoU Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia sempena Lawatan Rundingan Ke-7 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
PUTRAJAYA 18 Mei - Majikan di negara ini diwajibkan memberi cuti rehat sehari seminggu kepada pembantu rumah warga Indonesia selain membenarkan mereka memegang pasport masing-masing.
Perkara itu dicapai melalui Dokumen Surat Niat (Letter of Intent) yang ditandatangani hasil rundingan tahunan dua hala antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Perdana Menteri bagaimanapun berkata, penetapan gaji minimum yang sebelum ini diminta republik itu sekitar RM800 sebulan untuk pembantu rumah warganya masih belum diputuskan.
Serentak itu, Najib berkata, Kuala Lumpur menjangkakan penggantungan sementara penghantaran pembantu rumah Indonesia ke negara ini akan ditarik balik berikutan hasil pertemuan empat mata beliau dengan Susilo yang memberangsangkan dalam beberapa isu.
''Kalau kedua-dua pihak (majikan dan pembantu rumah) tidak mengambil cuti maka pekerja berkenaan boleh dibayar pampasan kepada cuti berkenaan dan dibayar bersesuaian dengan gaji mereka.
''Bagi pasport pula, ia juga boleh dipegang majikan atas persetujuan bersama manakala soal gaji minimum akan terus dibincangkan antara kedua-dua negara.
''Dengan ini saya jangkakan ia (pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah Indonesia ke negara ini) akan ditarik balik tidak lama lagi hasil penyelesaian beberapa isu (hari ini)," kata beliau.
Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka menyusul dalam tempoh dua bulan lagi bagi membolehkan penghantaran pembantu rumah yang dihentikan sejak Jun tahun lepas disambung semula.
Pada masa ini terdapat 320,000 rakyatnya yang bekerja dalam sektor itu di sini.
Dokumen Surat Niat Mengenai Pindaan Kepada Perjanjian Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Warga Indonesia ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar.
Najib dan Susilo menyaksikan majlis tersebut.
Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan hari ini, kedua-dua negara bersetuju Suruhanjaya Bersama (JC) yang ditubuhkan merupakan mekanisme untuk menyelia, memantau dan mengambil tindakan menyelesaikan sebarang isu berbangkit.
Pada masa sama, kata beliau, JC akan mencari bidang baru yang boleh dibincangkan bagi meningkatkan hubungan dua hala.
''JC hendaklah melaporkan kemajuan Kumpulan Kerja. Beberapa Kumpulan Kerja akan ditubuhkan pada setiap tiga bulan untuk melapor kepada kedua-dua pemimpin.
Sehubungan ini, Menteri Luar akan melawat Indonesia pada bulan depan untuk mengenal pasti bidang-bidang dan bentuk Kumpulan Kerja yang ditubuhkan bagi memajukan lagi hubungan dua hala Malaysia-Indonesia," kata beliau.
Menurut Perdana Menteri, Susilo turut memaklumkan kepadanya bahawa perjanjian pengelakan cukai berganda telah diwartakan oleh Indonesia sekali gus akan menggalakkan peningkatan pelaburan kedua-dua negara.
''Dalam soal visa pelajar Malaysia pula, pihak Indonesia bersetuju untuk mengeluarkan visa selama dua tahun sekali gus dan perkara ini sudah lama dibincangkan, maka dengan ini boleh dianggap sudahpun selesai.
''Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju atas permohonan Indonesia supaya penambahan guru-guru (warga Indonesia) yang mengajar di sekolah-sekolah yang dibina di Sabah. Ini supaya anak-anak pekerja Indonesia itu boleh diajar oleh guru-guru dari negaranya dalam kurikulum mereka," katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Kuala Lumpur-Jakarta juga mengambil maklum bahawa dari segi persempadanan maritim, kedua-dua pihak telah berbincang sebanyak 14 kali.
''Kita minta supaya diteruskan dengan pengarahan baru supaya ada kemajuan yang dapat dicapai oleh pegawai-pegawai dan pihak teknikal yang mengadakan perbincangan dalam soal persempadanan maritim.
''Kedua-dua pihak juga bersetuju supaya pertukaran pelatih atau pegawai yang mendapat latihan atau pengajian di Universiti Pertahanan di Malaysia dan Indonesia dapat kita uruskan," katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau juga telah mencadangkan kepada Susilo supaya kepakaran ePerolehan yang dibangunkan Malaysia dengan kejayaan penjimatan kos antara 10 hingga 30 peratus pada pihak kerajaan dipertimbangkan untuk digunapakai oleh kerajaan Indonesia.
''Beliau (Susilo) bersetuju supaya kita perkenalkan sistem ini dan dipertimbangkan oleh mereka jika ia sesuai digunapakai di Indonesia," katanya.
ePerolehan adalah sistem pemerolehan kerajaan Persekutuan yang dibangunkan oleh Commerce Dot Com pada 1999 di bawah kelolaan Unit e-Perolehan, Kementerian Kewangan dan kekal sebagai aplikasi perdana kerajaan elektronik yang berjaya.
Kerajaan memilih pelaksanaan sistem itu untuk menjadi salah satu komponen utama dalam memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang kedua iaitu memerangi rasuah.
Najib seterusnya ketika ditanya kesukaran mencapai persepakatan dalam penetapan gaji minimum pembantu rumah Indonesia berkata:
''Kita mempunyai sistem berbeza di Indonesia dan ia adalah perkara yang sukar yang memerlukan lebih banyak perbincangan," katanya.
Majikan Malaysia kini terpaksa membayar sehingga RM8,000 kepada agensi pekerja asing sebagai kos mendapatkan seorang pembantu rumah Indonesia dan sebahagian daripada kos itu akan dipotong daripada gaji bulanan pekerja berkenaan.
Akta Kerja 1955 tidak menetapkan gaji minimum untuk mana-mana sektor pekerjaan.
Sementara itu, Perdana Menteri ketika ditanya sama ada Ambalat turut disentuh dalam membincangkan mengenai isu persempadanan maritim berkata:
''Ia tidak secara khusus mengenai wilayah itu tetapi keseluruhan persempadanan maritim."
No comments:
Post a Comment