Teks: Masayu Ahmad
Alhamdulillah minggu pertama Mei 2010 sudah pun menjengah. Kesihatan saya semakin baik, tiada lagi penat dan letih berpanjangan. Semoga ini menjadi pembuka tirai Mei yang lebih bertenaga. Sangat perlu untuk saya kekal bertenaga agar semua urusan kerja mampu dilaksana dan diselesaikan.
Saya cuma kurang berselera, banyak minum air suam dan hampir setiap hari bersarapan nasi kerabu dan daging goreng kunyit. Tengahari dan malam langsung tiada selera. Semalam saya berkesempatan menghadiri satu majlis perkahwinan, nasib baik selera saya boleh menjamah hidangan.
Hari ini saya mahu mencari stok kurma dan susu kambing, sebagai alas untuk makan malam. Sangat perlu untuk bulan-bulan pertama, perkembangan otak dan juga keperluan kalsium.
Tiga kandungan sebelum ini alhamdulillah saya tidak mengalami banyak masalah, kalsium masih mencukupi hanya sekali sahaja pada peringkat akhir kehamilan Aiman saya mengalami kekejangan otot, istilah biasa ialah 'kejut mengkarung'.
Badan saya sekarng terasa ringan, mungkin juga sebab sebulan tiada selera makan dan sudah lama tidak menjamah makan malam. Hanya semalam saya memecah rekod, makan kiew tiau ladna, itu pun hanya separuh sahaja.
Untuk memastikan tenaga kekal konsisten, saya kini tidur lebih awal dan bangun awal, agar tidak menganggu perjadualan semula 'aktiviti penulisan'.
Saya membiarkan diri dalam keadaan tenang dan relaks. Menjauhi perasaan kelam kabut atau apa sahaja. Sangat membantu kelancaran idea untuk menyediakan diri menyiapkan tugasan. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment