Teks: Masayu Ahmad
Petang-petang begini, saya terasa sayu pula teringatkan akan arwah emak, Al-Fatihah. Ya, kali ini perjalanan dan sesi yang akan ditempuh sehingga sampai masa kelak, sangatlah menuntut saya bersedia mental dan fizikal. Ada entri sebelum ini yang mendapat ucapan dan doa kalian, terima kasih saya ucapkan.
Saya terpaksa 'delete' entri berkenaan, disebabkan teguran orang tersayang. Nampak sangat keterujaan dan bersungguh-sungguh pula. Pun begitu saya meniti hari semakin hari saya teringatka arwah emak Al-Fatihah.
Banyak kenangan sebenarnya selama saya bersama arwah terutama apabila pertama kali hamil anak pertama. Saya tidak bernasib baik kerana bersalin normal, mungkin juga kerana kurang persediaan dan menerima sahaja saranan doktor perlu dibedah. Jika ditunggu sedikit masa sahaja, saya rasa saya boleh bersalin normal.
Semasa anak pertama, menjaga kaedah rawatan berpantang cara bedah amat perit. Apa kan tidak mahu bangun, duduk, ketawa, bergerak memang sukar. Saya bersungguh menjaga sehingga 100 hari. Pada dua minggu pertama mencuba juga untuk bertungku, disebabkan rasa tidak selesa saya berhenti berurut. Hanya selepas 100 hari saya ke salun, berurut dan bersauna. Rasa sangat selesa.
Paling seronok ketika berpantang anak ke dua, disebabkan normal, jadi saya pantang habis-habisan secara tradisional. Emak dan ayah sangat menitik beratkan pantang. Jalan tidak boleh laju, dan melangkah luas, perlu rehat betul-betul dan tidak boleh langsung bergerak bebas.
Setiap hari mandi air rebusan, hampir 40 hari juga mandi. Arwah memberitahu, dia dahulu seminggu sahaja, saya ni hampir setiap hari. Apa paling saya suka ikan haruan bergaram kunyit yang dibakar. Tambahan pula masa berpantangkan Arif, masih musim hujan, jadi kalau di kampung ada sahaja orang yang mendapat ikan haruan, terus hantar ke rumah. Sangat seronok.
Juga jiran tetangga yang tidak putus-putus datang menjengah dan menziarah. Walaupun kadang-kadang saya sangat boring, apabila en.suami pulang. Akan bawa saya ke pantai, hanya duduk-duduk sahaja sambil ambil angin segar. Emak walaupun melarang, membenarkan juga sebab saya sudah keboringan yang amat sangat.
Bertungku, saya bertungku selama 10 hari. Sangat seronok kerana batu panas diasak ke badan, rasa panas dan rasa segar selepas bertungku. Habis semua lemak hancur, dan badan rasa ringan. Begitu juga dengan berurut, saya suka seorang tukang urut yang masih muda, dikenali sebagai Kak Lah. Sehinggakan tertidur-tidur saya dbuatkan. Sentuhannya lembut dan mengena pada urat, tidak sakit tetapi badan terasa ringan. Setiap kali pulang, saya dan kakak yang sulung sangat suka pergi berurut dengan Kak Lah. Apa kan tidak kaedah dan kos rawatan urutan kampung sangat murah dan berkesan.
Menu utama, ikan selar bakar, ikan kembung bakar itu sahaja. Pada penghujung pantang, barulah sudah boleh mempelbagaikan menu. Ada sesekali, saya nakal juga mencuri lauk kerana tidak tahan. Emak tidak ada pandai-pandai saya mencuba gulai ayam kerana terlalu kempunan.
Emak pulang dan tahu akan kenakalan saya itu, kerana ada gulai yang luak. Itulah kan orang tua, segala gerak geri kita sudah dapat dibaca. Kerana apa? Kerana sudah banyak pengalaman, diibaratkan sudah makan garam terlebih dahulu.
Kali ini saya berkira-kira perancangan A, B, C, memandangkan saya akan bersalin dan berpantang sendiri. Nasib baik serai wangi yang ditanam di laman rumah sudah hidup subur. Rumpunnya sudah membesar, tidak perlu tunggu pantang, kadangkala saya mandi juga air serai wangi dicampur pandan. Kalau badan mula rasa letih saya akan rebus dan mandi suam-suam. Sungguh segar.
No comments:
Post a Comment