Wednesday, May 5, 2010

Sesi bergambar akan bermula

Teks: Masayu Ahmad

Semalam semasa ke pejabat untuk mengambil stok buku, saya berjumpa Puan Sri Diah, sebab dia bekas bos saya, biasa hanya dengan memanggil Kak Sri sahaja.

Arahan terbaru, memerlukan saya 'posing maut' juga di depan kamera. Sebenarnya pada awal saya sudah maklumkan mahu diam-diam sahaja belakang tabir. Memandangkan saya suka berada di rumah, bergaya pun jauh sekali sebab saya ini biasa-biasa sahaja. Apabila sudah dimaklumkan demikian maksudnya saya perlu akur, memandangkan promosi akan dibuat di majalah-majalah Karangkraf dan juga dalam banyak bentuk promosi dan pemasaran yang lain.

Oleh kerana juga ini akan membantu jualan buku secara berterusan, saya akur perlu bergambar. Sebelum perut memboyot dan buncit ke depan, nampaknya saya perlu mencari waktu terdekat untuk sesi pergambaran dengan Natrah atau dengan Abang Mie (Jasmin Baba).

Jika dulu saya banyak berada belakang tabir, nampaknya mahu atau tidak perlu juga ke depan. Dua juru gambar ini sudah biasa dan sebenarnya sudah lama tidak ketemu. Dulu masa-masa muda remaja saya selalu ke hulu hilir bersama Abang Mie apabila ada tugasan luar. Temasuklah out station, Abang Mie boleh diibarat macam abang atau bapa sendiri. Mudah bekerja dengan dia.Nantikanlah sahaja, saya juga tengah berfikir-fikir juga lagi.

Sesi untuk satu buku saya juga dalam proses, akan dilakukan di Serenity Spa Shah Alam, usahasama dengan Leesa Formula. Ini ada kaitan dengan perkembangan dua buku dengan PTS Millenia, buku rawatan berpantang dan juga koleksi resipi berpantang.

Mabuk-mabuk begini, harus saya kuatkan semangat menyiapkan buku ini. Patutnya buku rawatan berpantang jangkaan terbit pada Hari Ibu, tetapi masih ada lagi yang belum sempurna, jadi tunggu sahajalah nanti ya. Dalam buku rawatan berpantang, ada pakar yang memberi pandangan tentang pemakanan untuk ibu hamil. Kebetulan pula dalam situasi saya sekarang, maklumat itu adalah untuk diri sendiri juga.

Terdapat lebih kurang 40 resipi untuk berpantang yang mana menggunakan kaedah kukus, bakar, rebus dan sup. Juga 10 sarapan yang sesuai yang boleh dijadikan setiap minggu selama 44 hari. Apa yang menarik sebenarnya ada ulaman yang boleh diambil semasa pantang seperti pegaga, lobak merah, epal dan beberapa lagi. Cumanya untuk dua minggu pertama perlu berhati-hati dengan pemilihan menu kerana setiap orang adalah tidak sama penerimaan. Antara lauk pauk menarik ialah ayam organik, ikan merah, ikan tenggiri, ikan haruan dan juga daging.

Maklumat yang cukup bagus untuk dikongsi ialah amalan minum susu kambing dan mengambil buah kurma semasa berpantang. Ini diamalkan oleh Siti Hawa, isteri Nabi Adam alaihissalam. Banyak lagi info yang ingin saya kongsikan, nantikan sahaja buku ini siap kelak ya. Saya sendiri sanga teruja kerana hanya wanita sahaja yang tahu apa yang diinginkan wanita.

Juga sedang bertungkus lumus melangsaikan tugasan untuk beberapa buku, jika dikira tak cukup masa saya 24 jam. Tetapi doakan agar saya kekal bermotivasi untuk memberikan yang terbaik dalam setiap buku yang akan diterbitkan kelak.

Juga saya sedang menanti giliran beberapa buah buku yang sudah lama siap dan juga ebook yang akan disiarkan juga di http://www.klikjer.com/. Semoga semuanya berjalan lancar sebagaimana perancangan.

2 comments:

Wan Anie said...

jgn lupa masukkan dlam ni ye gambo... nak tengok!

Masayu Ahmad said...

wan

oh mahu juga menengok ya, insya-allah

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin