Monday, May 10, 2010

Saya suka sibuk, tetapi kebanyakan masa masih di rumah

Teks: Masayu Ahmad

Alhamdulillah kesihatan bertambah baik, walaupun perlahan-lahan memasukkan aura semangat agar lebih kuat lagi. Saya sudah berada di zon sibuk, tetapi masih lagi fleksibel kerana apa, kerana perkara berikut:

Tidak suka kesesakan jalan raya

Saya sangat bercinta apabila mahu ke mana-mana. Tetapi sekarang hanya memilih untuk keluar sekiranya benar-benar perlu sahaja. Contoh apabila berkaitan dengan urusan perbincangan dengan editor, seminar atau urusan hal kerja sahaja. Saya akan meletakkan had masa, saya memang kategori tidak boleh berlama-lamaan di luar mahu sahaja segera pulang ke rumah.

Suka privasi
Memandangkan bidang pilihan adalah menulis, jadi kerja saya sudah tentu berkaitan dengan penyelidikan, perlu banyak membaca dan menemuramah sesiapa sahaja yang berkaitan. Betapa beruntung di zaman internet ini, banyak membantu kadangkala temu ramah hanya berlangsung di rumah sahaja. Hanya melalui kemudahan internet.

Saya sudah berjaya mengurangkan sifat boros
Selama setahun saya mendisplinkan diri fokus kepada kerja sahaja, apabila sudah kembali stabil barulah memberi penghargaan kepada diri sendiri. Selepas memasuki fasa bekerja sendiri, secara tidak langsung saya perlu memastikan pengurusan kewangan adalah lebih baik.

Ya, saya sangat boros dan seperti kebanyakan wanita bekerjaya yang lain, saya tidak keruan jika tidak berborong sakan di pasaraya. Dalam tempoh setahun saya melatih diri agar lebih berhemah soal kewangan. Alhamdulilah, sekarang saya sudah tidak cepat tergoda dengan bahana beli belah. Bekerja sendiri kadangkala membuatkan kita lebih berhati-hati dalam soal perbelanjaan. Bukan kedekut tetapi berhemah.

Suka tempat santai dan menenangkan
Antara keadaan yang menyebabkan saya boleh pusing kepala, suasana yang hiruk pikuk, orang ramai bersesak. Tetapi sekiranya, saya perlu juga ke tempat kejadian, saya akan pastikan tidak berlama-lamaan, cari apa yang dikehendaki dan selesaikan dengan segera.

Tidak semua sesuai jadi suri rumah

Apabila suri bertekad mahu berada di rumah, persediaan mental dan fizikal perlu ada. Tidak semua orang boleh bertahan dan mampu mengurus sendiri rumah tangga. Tetapi jika kalian tahu akan tanggungjawab dan peranan sebenar suri rumah, tiada apa yang boleh menjadi halangan. Fokuslah untuk memegang peranan yang mulia ini.

Sumber pendapatan

Selalunya percaya dan yakin atas rezeki Allah. Tetapo rezeki tidak akan bergolek tanpa usaha. Kesukaran dan susah payah adalah nikmat sebenar selepas anda sedar dan yakin rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Sukar saya mahu gambarkan, rezeki bukan nilai ukuran RM10 ribu sebulan, tetapi kadangkala datang dalam bentuk lain yang tidak dijangka.

Masa lapang bersama anak-anak.

Cuba kalian yakinkan saya berapa jam sehari dan seminggu masa berkualiti bersama anak-anak. Sedangkan anak-anak kita masih kecil, jumpa hanya beberapa jam sahaja dalam sehari. Pulang bersama kepenatan, kalian tidak boleh berbohong kepada saya, kerana saya juga adalah wanita bekerjaya. Pun begitu masih ada wanita super yang masih menguruskan anak-anak dengan baik sekali walau masih bekerja di luar rumah.

Tetapi saya sangat akur, saya tidak mampu untuk meluangkan banyak masa apabila saya bekerja di luar rumah. Hanya sedikit sahaja masa bersama anak-anak, apabila mereka sudah dewasa kita akan merindui masa untuk bersama mereka.

Salam kasih sayang

http://www.masayuahmad.com/

2 comments:

Wan Anie said...

banyak benda yang saya belajar dari Mas, saya sebetulnya bukan jenis yg home-oriented tapi saya sayang utk tinggalkan anak2 dengan org lain...

kadang2 ada benda yg menyebabkan saya dalam dilema...

Masayu Ahmad said...

Wan Anie

ya wan, sama-sama kita belajar, saya juga tahu banyak perkara baru apabila membaca blog wan

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin