Teks: Masayu Ahmad
Jika dilihat kembali liku-liku dan pengalaman dalam bidang dan karier sebagai penulis, banyak membuatkan saya sangat sayang segala pengalaman yang saya kecapi. Apa kan tidak saya sebenarnya sudah di kelilingi ramai yang sudah berjaya. Ya, nama besar seperti Dr. Tuah Iskandar, Syarifah Abu Salem adalah antara nama penulis yang sudah berjaya.
Ketika saya masih bekerja di Karangkraf, pada masa tersebut pejabat masih di Lorong Rahim Kajai, saya menimba pengalaman sebagai wartawan muda. Saya masih ingat ketika setiap kali disuruh Kak Nuri mengutip artikel dengan Dr. Tuah, ya beliau juga pada masa tersebut masih bekerja di Karangkraf. Suka bergurau dan juga mudah diajak bersembang. Ketika saya mengalami konflik kehidupan saya suka merujuk beliau, dan banyak mendapat khidmat nasihat secara percuma sahaja. Apabila terserempak selalunya, beliau akan bertanya, sudah selesai atau belum. Ada juga hampir 100 peratus saya mengikut pandangannya, dan memang jadi.
Ketika saya menjaga ruangan cerpen dan karya kreatif di Mingguan Wanita, selalu berborak dengan Kak Wan (kini editor Maskulin), kami bersebelahan meja. Antara intipati kami ialah, nama sahaja penulis, menulis novel pun tidak pernah ada dalam matlamat.
Begitulah, setiap kali saya menerima cerpen dan membuat tapisan, saya ada beberapa senarai penulis, apabila membaca karya mereka saya sudah mengangak berkualiti atau sebaliknya. Selalunya ada yang saya terbangkan dalam bakul sampah sahaja. Sungguh kejam.
Editor buku Alaf, sering menyuruh kami menulis novel. Tetapi kebanyakan penulis (wartawan majalah) memang ada impian, tetapi menjadikan kenyataan hanya mereka yang bersungguh-sungguh sahaja. Tetapi memang kebanyakan sudah tahu antara yang menerima royalty berpuluh ribu setiap tahun adalah Kak Pah ( Syarifah Abu Salem) dan beberapa orang lagi. Mereka sememangnya prolific atau kata lain konsisten dalam menulis novel.
Juga ketika saya hadir ke perasmian Ramlee Awang Murshid, ketika itu perasmian lima novel serentak. Saya masih menyimpan kelima-lima novel tersebut. Beliau juga antara penulis tersohor dalam genre penyiasatan, dan royaltinya sangat lumayan mencecah 500 ribu sepanjang karier beliau dalam penulisan. Situasi ini semua berlaku di depan mata saya dan sebenarnya bermula satu semangat mahu menulis juga. Mungkin pada mulanya adalah kerana RM, tetapi menulis juga memerlukan anda sanggup berjuang dan menjiwai perjalanan sebagai penulis.
Manuskrip pertama saya, masih lagi saya simpan. Ia sudah berusia lapan tahun. Ya bukan masa yang singkat lapan tahun. Ketika menyiapkan dan menghantar manuskrip tersebut mata saya bersinar terang. Mahu lihat novel sendiri di rak-rak buku sebaris karya popular lain. Saya menyimpan angan-angan, satu tahun satu novel, lima tahun lima novel.
Walaupun saya sudah berada di bidang ini, ia bukan satu loncatan. Selepas manuskrip pertama ditolak, saya simpan sebentar dan membuat pekasam. Saya kembali baca, saya tergelak seorang diri. Betapa banyak kurangnya novel tersebut. Saya masih memeramnya sehingga satu masa nanti saya mahu mengemas kini semula novel tersebut. Ia adalah hasil pertama dan langkah pertama.
Sekitar 2006 saya kembali mencari ruang dan mahu bermula semula, jadi atau tidak saya mahu menulis buku atau novel. Saya perlu pastikan ia benar-benar menjadi kenyataan. 2007 saya mula menghadiri bengkel dan mana-mana kursus dalam penulisan buku. Ternyata ilmu saya tentang buku memang masih cetek. Antara buku yang saya suka baca berulang kali ialah Wang Besar Dengan Menulis, karya……(lupa, nanti saya ingat semula)
Saya hadir seminar penulisan yang tepat dan saya membeli buku tersebut selepas selesai sesi seminar dengan penulis tersebut. Setiap kali ke pasaraya tempat utama saya tuju hanyalah kedai buku, MPH, Popular Book Store. Setiap kali singgah, setiap kali itulah angan-angan panjang saya bermula. Hampir setiap hari saya berada dalam aura mahu pastikan buku saya akan berada di pasaran juga.
Bersambung….
No comments:
Post a Comment