Friday, November 27, 2009

Mendalami ilmu memborong

ARKIB : 26/11/2009,http://www.utusan.com.my

Oleh SITI ZALEHA JORIMAI

MEMBORONG barangan dari negara luar sememangnya mampu menjimatkan kos peniaga kerana mereka tidak lagi perlu bergantung kepada orang tengah.

Maka perniagaan memborong dari China, Vietnam dan India semakin mendapat sambutan masyarakat peniaga masa kini tetapi berapa ramaikah daripadanya yang benar-benar berjaya?

Menurut seorang pengusaha kedai aksesori, mengimport barangan daripada China sememangnya mampu menjimatkan kos tetapi kebarangkalian untuk ditipu sangat tinggi jika ia dilakukan tanpa ilmu dan mempunyai rakan perniagaan di negara itu.

"Saya tahu ramai daripada rakan-rakan saya yang telah gulung tikar apabila penghantaran barangan asli hanya berlaku untuk kali pertama dan kedua berurusan.

"Kemudian, satu kontena barangan palsu terpaksa mereka terima yang menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit," katanya yang enggan dikenali sambil menasihatkan agar semua peniaga berhati-hati dalam berurusan dengan peniaga dari negara luar.

Jika dilihat kepada senario itu, bagaimana pula kita, terutama usahawan kecil mampu menceburi perniagaan import ini?

Menurut Shahabudden Jalil Kamarul Jaman, Pengurus Anzac Consultancy yang merupakan syarikat penganjur kursus memborong dari China, perkara tersebut sememangnya sering terjadi kepada peniaga yang baru.

"Mereka seharusnya mempunyai ilmu dan paling penting mempunyai rakan perniagaan atau kakitangan warga tempatan untuk membantu dalam urusan mengimport barangan ini," katanya yang mempunyai tujuh tahun pengalaman mengendalikan urusan memborong dari China.

Beliau berkata, itulah sebab utama syarikatnya menganjurkan kursus memborong daripada China kepada orang ramai agar segala maklumat diperoleh oleh para peniaga sebelum mereka pergi sendiri ke negara itu.

"Melalui kursus ini, peserta akan didedahkan dengan perkara-perkara yang perlu diambil perhatian untuk mengurangkan kos perbelanjaan seperti urusan penginapan, penggunaan pengangkutan awam, caj panggilan telefon serta beberapa perkara lain.

mengelak ditipu

"Mereka juga akan diajar bagaimana mendapatkan harga yang murah dan mengelakkan daripada ditipu ketika berurusan terutamanya bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sana," katanya.

"Selepas mengikuti kursus, peniaga boleh pergi sendiri atau mengikuti trip kami buat pertama kali untuk membiasakan diri," katanya.

Beliau berkata, selain daripada risiko ditipu, peniaga yang tidak mempunyai maklumat lengkap kerana tidak menyertai mana-mana kursus juga akan membuang masa yang banyak ketika berada di negara itu dalam usaha mencari tempat memborong terbaik.

Katanya, ada usahawan yang membuang masa mereka kerana pergi ke bandar-bandar yang tidak mempunyai pusat memborong perniagaan seperti pergi ke bandar raya Beijing.

"Dengan pergi melalui rombongan kami juga, usahawan-usahawan juga dapat meluaskan rangkaian atau rakan perniagaan," katanya sambil menambah kursus seharinya mengenakan bayaran sebanyak RM325.

Di dalam kursus ini, pelbagai maklumat diberikan mengenai perniagaan borong di China termasuk diadakan satu sesi bagaimana pengusaha boleh menceburi perniagaan Internet secara mudah.

Usahawan juga dimaklumkan bagaimana untuk membawa balik barangan dibeli di China dengan kos lebih murah, termasuk menggunakan pengangkutan laut.

Kursus memborong di China itu merupakan anjuran bersama syarikatnya dengan sisipan Mega akhbar Utusan Malaysia.

Shahabudeen Jalil memberitahu, tujuan kursus itu diadakan bukanlah untuk mencari keuntungan semata-mata tetapi lebih membantu orang Melayu melibatkan diri dalam perniagaan terutamanya dalam aktiviti borong.

Ujarnya, bilangan pemborong Melayu masih kecil dan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum lain yang sudah jauh ke depan menguasai ekonomi negara.

No comments:

There was an error in this gadget

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin