Friday, November 27, 2009

Jual produk melalui Internet

ARKIB : 27/11/2009
http://www.utusan.com.my

Oleh MERAN ABU BAKAR

BAGI menambah pengetahuan ahli dan usahawan industri kecil dan sederhana bumiputera dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan jualan produk melalui penggunaan media baru seperti web, blog, Facebook, Twitter dan Youtube,

Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) telah menganjurkan Bengkel Strategi Pemasaran Online Melalui Media Baru bertempat di Wisma F.M Holdings.

Menurut Setiausaha Agung PPIPBM, Nurammar Abu Bakar, bengkel ini merupakan sebahagian usaha PPIPBM bagi menggalakkan ahli-ahlinya untuk celik ICT. Selain itu, ahli dapat merebut peluang menggunakan kaedah pemasaran secara online bagi meluaskan skop pelanggan syarikat masing-masing.

"Para peserta turut diperkenalkan kepada dan penggunaan perisian perniagaan di dalam pengurusan syarikat bagi meningkatkan kadar kecekapan perniagaan, iaitu sumber manusia, pembayaran gaji, akaun dan pengurusan hubungan pelanggan,'' katanya yang temui di Wisma F.M Holdings di Pekeliling Business Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak lima siri bengkel telah berjaya diadakan dan siri keenam akan diadakan pada 9 dan 10 Disember depan.

"Sehingga kini, seramai 60 peserta telah menghadiri bengkel dan memberikan maklum balas positif semasa bengkel kerana banyak perkara yang boleh diperjelaskan oleh tenaga pengajar.

"Tenaga pengajar bengkel merupakan pakar-pakar IT dan mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan bengkel dan seminar,'' ujarnya lagi.

Nurammar menambah, PPIPBM yang ditubuhkan pada tahun 1987 bertujuan menyatukan dan menggabung semua usahawan industri pembuatan dan sektor perkhidmatan bumiputera.

Selama lebih dua dekad beroperasi, PPIPBM terlibat aktif dalam pembangunan IKS bumiputera selaras dengan program-program yang dijalankan oleh kerajaan seperti pembangunan pasaran, pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kewangan, rangkaian niaga dan sebagainya.

PPIPBM mendapat pengiktirafan kerajaan seperti menghadiri jemputan dialog tahunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), bajet Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Bank Negara dan lain-lain.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin