Arkib: Berita Harian Online,
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
Pembantu rumah suka timbulkan 1,001 masalah dan konflik suami isteri
MENGIKUT statistik Jabatan Imigresen, sehingga Jun 2008 seramai 256,097 warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. Ini bermakna 300,00 keluarga mempunyai pembantu rumah kerana mengikut syarat satu keluarga boleh mengambil seorang pembantu rumah saja.
Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman, berkata sukar untuk menentukan peratusan sebenar keluarga di negara ini yang menggunakan perkhidmatan pembantu rumah kerana tiada perangkaan yang tepat mengenai keluarga yang memilikinya.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, mendapati hanya enam hingga 13.9 peratus keluarga menggunakan perkhidmatan pembantu rumah, manakala 42 hingga 58 peratus masih menggunakan khidmat ahli keluarga.
Walaupun peratusan pembantu rumah di negara ini masih kecil, ia kini menjadi pilihan keluarga yang suami atau isteri keluar bekerja, terutama di bandar besar.
Siti Fatimah berkata, pada asasnya pembantu rumah dilihat jalan penyelesaian bagi penjagaan kanak-kanak ketika ibu bapa keluarga bekerja.
Namun, katanya seperti bentuk jagaan lain, penjagaan anak oleh pembantu rumah sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri.
“Sebenarnya lebih banyak kebaikan dan faedah diperoleh sesebuah keluarga jika mendapat perkhidmatan pembantu rumah berbanding keburukan. Namun, semua itu bergantung kepada individu yang menjadi pembantu rumah itu sendiri.
“Dalam keadaan normal, iaitu pembantu rumah tidak memberikan masalah atau seperti yang dikehendaki majikan, amah membantu kerja di rumah 24 jam sehari. Ini berlaku kepada amah yang tinggal bersama majikan. Namun tidak bermakna majikan boleh memerah tenaga pembantu rumahnya tanpa henti,” katanya.
Beliau menjelaskan banyak faedah diperoleh jika sesebuah keluarga menggajikan pembantu rumah, termasuk pergerakan suami isteri ke tempat kerja pada waktu pagi akan lebih mudah, malah rumah lebih terurus, kemas dan bersih yang dapat memberi ketenangan minda kepada keluarga.
Pembantu rumah juga membantu menguruskan kain dan pakaian keluarga dengan baik, memudahkan kerja memasak dan majikan ada masa berbaki kerana banyak bebanan kerja rumah sudah diringankan dengan bantuan pembantu rumah yang mana masa berkenaan boleh diluangkan dengan ahli keluarga, malah perhatian lebih dapat diberikan kepada anak-anak.
Lebih penting lagi, dengan ada pembantu rumah, bayi akan diberikan perhatian khusus ketika ibu keluar bekerja dan anak tidak terdedah kepada penyakit berjangkit yang selalu diperoleh di pusat jagaan harian seperti demam, selesema dan batuk.
“Dengan kata lain, pembantu rumah ini menjadi penyelamat kepada keluarga yang suami atau isteri bekerja dan mengurangkan tekanan kepada keluarga,” katanya.
Apabila ada kebaikan, akan ada keburukan apabila mengambil perkhidmatan pembantu rumah bagi membantu menjaga dan menyelesaikan kerja rumah.
Paling jelas, kata Siti Fatimah, pengambilan amah memerlukan kos permulaan yang tinggi dan terkini dilaporkan kosnya semakin meningkat, termasuk kos perkhidmatan dan levi pekerja.
“Apabila sesebuah keluarga mempunyai pembantu rumah, perbelanjaan harian juga bertambah kerana pembantu rumah menjadi ahli dalam isi rumah. Bebanan juga wujud apabila tamat tempoh kontrak biasanya dua tahun, pembantu rumah tidak mahu menyambung kontrak mereka dan majikan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lagi mencecah hingga RM7,000 untuk mengambil amah baru. Ini tidak termasuk kos kenaikan gaji amah yang diambil bekerja,” katanya.
Pengambilan amah juga menimbulkan persoalan di kalangan majikan sama ada mereka mampu melaksanakan tugas, baik atau sebaliknya.
“Setelah membayar sejumlah wang yang besar serta mengambil masa mengikut prosedur ditetapkan, tiada jaminan bahawa pembantu rumah yang dipilih memenuhi jangkaan majikan. Ia banyak bergantung kepada nasib.
“Jika bernasib baik, dapat pembantu rumah yang baik dan pelaburan itu berbaloi. Jika sebaliknya berlaku, majikan yang terseksa kerana terpaksa mengeluarkan belanja untuk mengambil amah baru,” katanya.
Pembantu rumah juga dikatakan menyebabkan ruang peribadi tiada di rumah dan suami isteri tidak bebas kerana kehadiran orang luar dalam rumah mereka. Mungkin ada suami berasa kurang selesa kerana tidak lagi tanpa berbaju ketika di rumah dan membataskan suami isteri untuk bermesra apabila ada pembantu rumah.
Keluarga yang mempunyai pembantu rumah mungkin mendedahkan anak kecil kepada salah laku dan penderaan oleh amah yang tidak bertanggungjawab.
Perkara ini sering didengari dan banyak dilaporkan di media, terutama jika anak yang dijaga masih belum boleh bercakap. Anak yang sudah pandai bercakap akan mengadu dengan ibu bapa jika mereka disakiti atau keperluan mereka tidak dipenuhi pembantu rumah.
Perkara ini sebenarnya, kata Siti Fatimah, masih boleh ditangani jika majikan melakukan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa, melihat bahasa badan anak apabila bersama pembantu rumah, meminta bantuan jiran melihat anak dan pembantu rumah ketika keluar bekerja atau meletakkan kamera litar tertutup (CCTV).
Selain itu, pembantu rumah asing kurang berpengetahuan mengenai perkembangan anak-anak dan mungkin boleh memberikan pengaruh buruk kepada golongan itu dari segi pertuturan dan tingkah laku.
Dari sudut lain, dengan bantuan pembantu rumah, anak-anak mempunyai peluang terhad untuk berinteraksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa, selain terlalu bergantung kepada amah dan mungkin kanak-kanak kehilangan peluang diajar kemahiran hidup seperti membasuh kasut sekolah dan mengemas bilik sendiri.
Malah, dalam keadaan lain, kebergantungan kepada pembantu rumah menyebabkan kanak-kanak lebih rapat dengan amah berbanding ibu bapa sendiri.
“Dengan kata lain, kita lihat pembantu rumah ini seakan ‘penyengat’ bukannya menyelamatkan keadaan ketika ibu bapa keluar bekerja. Justeru, majikan yang mengambil pembantu rumah perlu bijak mencari jalan mengatasi konflik yang wujud supaya amah tidak menjadi ‘penyengat’ dan memberi 1,001 masalah kepada keluarga,” katanya.
INFO: Kebaikan ada pembantu rumah
Bantuan domestik 24 jam
Pergerakan ke pejabat pada waktu pagi lebih mudah.
Rumah yang kemas dan bersih akan memberi ketenangan minda kepada keluarga.
Kain dan pakaian keluarga diuruskan dengan baik.
Memudahkan kerja memasak.
Masa dan tenaga berbaki kerana banyak bebanan kerja rumah sudah diringankan pembantu rumah dan masa yang ada boleh diluangkan dengan ahli keluarga.
Anak dan bayi dapat perhatian khusus daripada penjaga.
Anak tidak terdedah kepada penyakit berjangkit yang selalu diperoleh di pusat jagaan harian seperti demam, selesema dan batuk.
Keburukan
Kos permulaan yang tinggi
Tiada jaminan mendapat pembantu rumah yang baik dan benar-benar cepat membuat kerja. Ini satu perjudian.
Ada pasangan berasa tidak selesa atau hilang privasi dengan kehadiran orang luar dalam rumah mereka.
Jika anak belum boleh bercakap mereka mungkin terdedah kepada salah laku atau penderaan oleh pembantu rumah yang tidak bertanggungjawab.
Pembantu rumah asing kurang berpengetahuan mengenai perkembangan kanak-kanak.
Pembantu rumah asing boleh memberi pengaruh yang buruk kepada anak-anak dari segi pertuturan dan tingkah laku.
Anak-anak dijaga pembantu rumah mempunyai peluang terhad berinteraksi dengan rakan sebaya dan orang dewasa.
Kebergantungan keterlaluan kepada pembantu rumah menghilangkan peluang anak berdikari dan belajar kemahiran hidup.
Kebergantungan yang tinggi menyebabkan anak-anak rapat dengan pembantu rumah berbanding ibu bapa masing-masing.
No comments:
Post a Comment