Thursday, May 9, 2013

Mulakan dengan minat dan kepakaran untuk bertahan-IK


Sumber: Irfan Khairi (email)

Nak Mula Bisnes? Baca artikel ini!
Oleh: Irfan Khairi
Ketika menjalankan seminar dan kursus perniagaan serata Malaysia, soalan yang sering ditanya adalah, apakah perniagaan yang terbaik boleh dilakukan? 
Jawapan saya pula setiap kali adalah "apakah minat anda?"
Dalam memulakan perniagaan, sebaiknya ia mengikut minat, kebolehan atau kepakaran yang ada pada diri sendiri. Kebanyakan perniagaan yang gagal adalah kerana menjalankan perniagaan yang tidak diminati. 


Selalu saya dengar usahawan mengadu selepas gagal berniaga baru sebulan dua, kerana memulakan perniagaan sebab "ikut kawan", "perlukan wang sangat" atau "saja nak cuba". 

Teringat saya 12 tahun lalu ketika saya mulakan  perniagaan Internet saya yang pertama untuk menjana wang tambahan, iaitu perkhidmatan merekacipta, selama setahun saya cuma berjaya mendapat tiga orang pelanggan sahaja. Tiga pelanggan dalam masa setahun adalah satu kegagalan- modal juga tak pulang!
Tetapi, walaupun gagal, saya tidak putus asa dan meneruskan juga perniagaan. Sebab apa? Sebab saya amat berminat dalam bidang rekacipta. Ketika di sekolah agama dulu, jika ada pertandingan tulisan khat, pastinya saya menang. Ketika di sekolah rendah dan menengah sering jual hasil lukisan saya kepada kawan-kawan. Di ITM dan universiti pula, membuat T Shirt dan kad raya untuk dijual sesama kawan. Minat dan bakat saya sememangnya dalam bidang rekacipta dan sebab itu, walaupun menjalankan perniagaan dengan hanya 3 pelanggan setahun, saya tetap melakukannya oleh kerana minat- bukan kerana wang.

Bila membaca kisah-kisah bilionair berjaya seperti Bill Gates, Steve Jobs, Oprah Winfrey, Richard Branson, kesemuanya menjalankan perniagaan yang menurut minat dan kebolehan masing-masing. Jadi, bukan lagi rahsia bahawa kunci kejayaan perniagaan adalah pada minat.
Sekiranya anda ingin mulakan perniagaan, tidak perlu lihat di tempat lain dahulu, tetapi lihat dalam diri sendiri. Apakah minat anda? Apakah kekuatan anda? Apakah kebolehan anda? Apakah latar belakang anda? Jawapan kepada soalan-soalan ini adalah permulaan untuk menentukan perniagaan jenis apa yang terbaik untuk anda lakukan.
Bila dalam keadaan memerlukan wang tambahan, berbagai-bagai cara difikirkan, antaranya adalah memulakan perniagaan sambilan. Nasihat saya dalam keadaan terdesak wang, seringkali emosi mengawal perasaan kita dalam meneyertai program perniagaan, skim pelaburan dan macam-macam lagi peluang menjana pendapatan di luar sana.
Fikir sebelum melaburkan apa sahaja wang yang kita ada oleh kerana diluar sana terlalu banyak peluang-peluang perniagaan, menjana pendapatan dan melabur yang hanya meleburkan duit kita sahaja. Fikirkan minat yang pertama, dan wang ke dua!

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin