Teks: Masayu Ahmad
Ingatkan saya tidak boleh berceloteh lagi di sini, blog ini sudah beberapa kali disekat. Jika blog ini sudah tidak ada, sila kalian terus ke web rasmi saya ya.
Hari yang penuh sarat dan padat dengan urusan anak-anak bermula si kecil Arissa, Aiman yang suka mengamuk, Arif yang semakin pulih, Hakim yang suka mengusik adik-adik, jadual menulis, jadual suri rumah sepenuh masa, jadual sebagai menantu. Penuh jadual.
Berdenyut-denyut kepala. Tetapi. Semakin padat ruang dan masa, semakin mengalir lancar pula kerja-kerja penulisan. Ilham datang tidak pernah putus, peluang datang bertali arus, itu dan ini setiap hari. Pagi, tengahari, malam. Siang dan malam, bersilih ganti. Kejar mengejar dengan masa. Alhamdulillah timbal balik atas kesabaran, hiruk pikuk anak-anak, saya perlu berjuang. Berjuang dengan masa untuk melunaskan manuskrip seberapa banyak yang mungkin. Menjaga kualiti dan menjaga tarikh akhir, walau banyak kali kandas, tetapi sentiasa berusaha untuk menghasilkan yang terbaik buat pembaca.
Ini sebenarnya saya mahu katakan, jika kalian masih punya seorang anak, usahalah semaksima mungkin, gunakan masa yang ada sebaik mungkin, jika punya anak dua orang, berusaha lagi dengan gigih untuk merancang jangka pendek dan jangka kalian dengan sebaik mungkin. Jika sudah tiga anak dan seterusnya, kepadatan jadual dan masa semakin berganda-ganda.
Namun saya percaya setiap kelahiran anak membuatkan kita semakin gigih berusaha melakukan yang terbaik. Jika kalian masih bujang, gunakan masa yang ada untuk merancang sebaiknya. Jangan dibazirkan masa. Mari pinjamkan saya masa. Saya mahu berlari selaju mungkin.
No comments:
Post a Comment