Sunday, June 21, 2009

Terapi minda



Foto:http://www.homedesignsense.com



Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
ARKIB : 30/04/2009, Utusan Malaysia

Membudayakan amalan membaca

MINGGU lalu berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Alhamdulillah penulis berpeluang mengunjunginya dan mendapati bahawa sambutan orang ramai terhadap pesta buku tersebut menggalakkan.

Kelihatan ramai ibu bapa membawa bersama anak-anak mereka untuk sama-sama meneroka lautan buku yang masih segar di pasaran, lalu menyuburkan minat membaca seisi keluarga.

Buku sebagai hadiah

Ketika berucap pada majlis pelancaran pesta buku tersebut, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom menyarankan agar amalan pemberian hadiah mahal sempena hari jadi anak diubah kepada pemberian hadiah buku sebagai pendorong untuk mereka menggemari buku sejak kecil.

Sememangnya saranan tersebut merupakan satu idea yang bernas dalam usaha membajai minat membaca di kalangan masyarakat.

Amalan pemberian hadiah buku boleh terus diperluas untuk tujuan hadiah pertandingan, perkahwinan atau bersempena mana-mana peristiwa.

Malahan amalan sedemikian mampu menyemarakkan lagi industri buku di negara kita kerana ia dapat membantu meningkatkan penjualan buku-buku di pasaran. Hal ini seterusnya menggalakkan lagi penghasilan karya-karya bermutu dan kreatif daripada segenap lapisan penulis tempatan.

Pemilihan buku sebagai hadiah mungkin boleh disesuaikan dengan situasi semasa si penerima hadiah. Sebagai contoh, kita boleh menghadiahkan buku berkenaan panduan kebahagiaan rumah tangga kepada pengantin baru untuk kegunaan pasangan mempelai tersebut.

Begitu juga bersempena hari anugerah pelajar cemerlang akhir tahun, buku bertemakan motivasi berpotensi menjana motivasi untuk pelajar menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang. Atau tajuk buku yang dipilih mungkin boleh disesuaikan dengan minat atau hobi si penerima umpamanya berkenaan masakan, sukan atau sebagainya.

Persoalan sama ada si penerima bakal menelaah buku yang dihadiahkan itu adalah perkara kedua. Yang penting ialah usaha kita untuk menyebarkan ilmu pengetahuan bermanfaat kepada insan lain.

Jika buku yang dihadiahkan itu bersesuaian dan mampu menarik minat si penerima untuk menatapnya, insya-Allah buku tersebut akan dibacanya dan sedikit sebanyak manfaat pembacaan dapat diperoleh.

Kelazatan membaca buku


Bagi mereka yang minat membaca, pengalaman membaca buku itu sendiri adalah satu nikmat. Apatah lagi apabila hadir di pesta buku, kedai buku atau perpustakaan, perasaan keseronokan dikelilingi oleh buku-buku itu sendiri tidak tergambar oleh kata-kata.

Kadang kala terasa ralat apabila tidak dapat menatap secara menyeluruh pelbagai santapan minda yang terhidang di depan mata. Begitu juga terasa ralatnya apabila melihat buku-buku dimiliki hanya tersusun rapi di rumah tanpa sempat dihabiskan pembacaannya.

Pesta buku pula diharapkan dapat berlangsung sepanjang tahun, dan masa lapang untuk mengunjungi pesta buku, kedai buku, perpustakaan pula harapnya tiada sempadan. Begitulah fantasi seorang peminat buku yang penuh obsesi.

Kemudian apabila buku yang dibelek sepintas lalu mewujudkan rasa ingin tahu lebih lanjut, maka akan wujud rasa cinta kepada buku tersebut serta keinginan untuk memilikinya dan membacanya.

Jika si pembaca terus dengan pembacaannya, ia akan terus hanyut dalam keasyikan membaca lalu seolah-olah berada di alam lain, iaitu seperti mana yang digambarkan dalam buku tersebut.

Pada permulaan pengembaraan tersebut, pelbagai persoalan timbul pada kotak fikiran pembaca mengharapkan untuk dirungkaikan.

Apabila menemui penamatnya, segala persoalan mungkin telah terungkai, atau mungkin tidak. Apa yang jelas si pembaca berhasil menemui kepuasan kerana berjaya menghabiskan pembacaan keseluruhan buku.

Manfaat pembacaan berkualiti

Dalam memastikan kita memperoleh manfaat hasil aktiviti pembacaan, amalan membaca itu perlu mempunyai kualiti. Pembacaan berkualiti merujuk kepada proses pembacaan bahan yang bernilai keilmuan yang disertai pemikiran selektif dan kritis.

Bahan bacaan yang bernilai keilmuan itu membantu memberi makna kehidupan dan nilai-nilai murni untuk dicontohi. Beserta pemikiran kritis, bahan tersebut ditelaah bersama proses perbandingan terhadap kefahaman yang sedia ada untuk membuahkan kesimpulan yang lebih jitu dan hakiki.

Bersikap selektif menuntut pembaca menyaring bahan bacaan yang tersedia sama ada relevan untuk dibaca atau tidak, bermanfaat atau tidak.

Sebagai contoh, adakah sesebuah buku itu berkepentingan untuk mula dibaca, dan jika pembacaan sedang berlaku adakah semua atau sekadar beberapa bab sahaja yang bernilai untuk dibaca?

Salah satu isu yang sering timbul ialah berkenaan nilai pembacaan bahan hiburan. Sememangnya tidak salah memilih bahan bacaan berunsur hiburan, kerana membaca itu merupakan satu kaedah untuk berhibur, untuk menggembirakan diri dan untuk melepaskan tekanan.

Tetapi pada masa yang sama harus difikirkan adakah bahan hiburan tersebut selari dengan nilai dan pegangan hidup kita sebagai Muslim?

Juga sejauh mana bahan hiburan tersebut membantu dalam membentuk minda yang cemerlang? Pembacaan yang selektif dan kritis mengupayakan kita dalam memilih bahan bacaan terbaik untuk dinikmati.

Membaca itu sendiri dapat memenuhi masa lapang yang dimiliki, justeru mampu menjadi anekdot buat menghadapi isu kecairan sahsiah remaja hari ini.

Remaja dengan tabiat membaca bahan berpengisian mampu untuk menilai pengaruh positif dan negatif dalam persekitarannya lalu memilih jalan terbaik untuk kecemerlangan masa depannya.

Membaca itu merupakan satu kaedah pendidikan seumur hidup yang termudah untuk dilaksanakan dengan hanya berlandaskan komitmen diri yang bersifat dinamik. Tidak kira peringkat usia, kita berkeupayaan menikmati makanan minda yang bersesuaian dengan tahap kefahaman kita dengan membaca.

Kini bahan bacaan bukan sekadar wujud secara jasadi tetapi juga dalam bentuk elektronik, umpamanya e-book dan juga sumber maklumat dari Internet.

Keterbukaan maklumat dalam Internet memerlukan daya saring yang teguh dengan dukungan iman dan ilmu agar tidak terjebak dengan pelbagai perangkap fitnah dan maksiat yang wujud.

Al-Quran kitab teragung

Sebagai Muslim, kita seharusnya amat bersyukur kerana dikurniakan mukjizat al-Quran yang sentiasa terpelihara keasliannya sepanjang zaman. Al-Quran dan sunah merupakan sumber utama dalam memandu kita menjalani kehidupan di dunia ini dengan cara yang diredai dan berkat.

Justeru kita perlu sentiasa berusaha untuk mendalami serta menghayati isi kandungan al-Quran untuk diterapkan ke dalam kehidupan seharian. Dengan membaca dan menghayati al-Quran insya-Allah kita mendapat ketenangan, motivasi dan petunjuk untuk kita mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Akhir Kata

Buku-buku merupakan jendela pengetahuan yang menanti untuk dibuka. Apabila jendela pengetahuan dibuka, maka akan terpancar sinaran keilmuan yang mampu menerangi kediaman minda kita. Minda yang diterangi ilmu yang bermanfaat bakal menyerlahkan pemikiran yang pintar dan manifestasi amal yang baik lagi murni.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin