Thursday, June 18, 2009

Kerja di rumah, pilihan karier wanita moden



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.cel.sfsu.edu

Masa yang boleh diurus

Mudah untuk anda menguruskan keluarga terutama ketika anak jatuh sakit. Tidak perlu lagi berdepan dengan bos yang kurang gemar apabila ada kakitangan mengambil cuti kecemasan. Anda juga lebih selesa mempunyai ruang waktu untuk mengambil berat perihal kerja sekolah anak-anak.

Rutin yang sudah berubah

Jika dulu anda perlu cepat menyiapkan diri dan ahli keluarga yang lain. Kini tidak perlu tergesa-gesa memanaskan enjin kereta. Berebut dengan masa agar anda tidak kelewatan untuk sampai di tempat kerja.

Pilihan bersama anak-anak

Waktu-waktu penting semasa pembesaran anak-anak berlaku di depan mata. Ketika anak sedih, sakit, gembira, ketawa anda sentiasa ada bersama. Menyediakan sarapan pagi, tengahari dan malam. Menyuapkan sendiri ke mulut anak-anak. Hati terasa puas apabila melihat mereka kekenyangan. Hati cukup senang melihat aksi mereka bermain dan meneroka kehidupan seharian dengan penyeliaan anda sendiri.

Masa yang sibuk akan bermula

Saya perlu bersedia apabila Hakim mula menjejaki alam persekolahan. Maksudnya tahun berikutnya akan menyusul pula Arif dan selang tahun kemudian Aiman. Jika Hakim berada di tahun 3, Arif tahun 2 dan Aiman di tadika. Dimanakah saya pada masa tersebut?

Jika Hakim mula memasuki darjah 6. Tahun selepas itu menyusul Arif dan kemudiannya Aiman. Mereka akan mula sibuk ke kelas agama, tuisyen, kerja-kerja sekolah. Kepada siapakah yang boleh saya harapkan untuk membantu kerja sekolah mereka jika bukan saya sendiri. Bagaiman pula dengan anda, sudahkah anda bersedia sepertimana apa yang sudah saya fikirkan?

Mungkin rasanya masa masih jauh. Tetapi setahun melangkah ke setahun begitu cepat. Minggu ini sudahpun ingin menuju ke penghujungnya, padahal baru sahaja menikmati hujung minggu. Semalam baru sahaja merasai kontraksi kesakitan melahirkan Hakim, hari ini anak bujang saya ini sudah mendekati usia 4 tahun, cukup pantas masa berlalu.

Bermula pada bila-bila masa


Jangan kecewa jika anda masih belum memenuhi impian bekerja di rumah atau dari rumah. Anda sudah sematkan dalam hati suatu masa kelak anda pasti akan bersama anak-anak, memenuhi rutin harian mereka. Masih ada beberapa perkara penting yang anda pertimbangkan sebelum bekerja di rumah. Mulakan membuat senarai perkara yang perlu anda selesai sebelum menghantar notis meletak jawatan. Senaraikan dahulu kepakaran anda yang boleh digunakan untuk memulakan karier sendiri di rumah. Boleh mulakan sedikit demi sedikit usaha tersebut sehingga anda benar-benar sudah nekad mahu berhenti dengan perasaan tidak berbelah bahagi.

Apa kepakaran anda?

Tumpukan kepada minat yang membuatkan anda leka melakukannya. Jika minat menjahit lakukan bersungguh-sungguh sehingga sudah boleh menerima tempahan membuat baju kurung. Sepasang baju kurung sekarang sudah mencecah RM50 sepasang. Satu hari anda sudah dapat menyiapkan satu pasang. Maknanya 30 hari sudah 30 pasang. RM1500 sudah terkumpul dalam sebulan. Itu jika anda buat secara sampingan dan mensasarkan hanya 1 pasang sahaja sehari.

Dengan wang RM1500 anda sudah boleh membeli peralatan menjahit dan juga mesin jahitan. Apa yang penting anda perlu fokus hanya menjahit baju kurung sahaja hingga anda mahir dan sudah tidak ada cacat cela lagi. Sediakan bilik khas, agar tidak diganggu anak-anak. Laci plastik sebagai tempat menyimpan peralatan menjahit. Buku pelanggan, kedai alatan menjahit sudah ada dalam senarai kemas kini. Gudang tempat membeli kain secara borong dan murah. Hanya anda sahaja yang tahu apa minat dan kemahiran yang ingin digilap sehingga memancar-mancar. Lakukan sehingga puas hati dan sebaik mungkin.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin