Sunday, June 21, 2009

Tekanan ibu bekerja



Susunan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Petikan: Utusan Malaysia
Foto:http://www.storesonline.com

CUTI bersalin memberi peluang kepada golongan ibu untuk merasai pengalaman tinggal di rumah dan melihat anak-anak membesar.

Meskipun untuk tempoh masa yang agak singkat tetapi ia memberi sedikit ruang kepada kaum wanita untuk menikmati keselesaan dan kemudahan itu.

Namun lama-kelamaan tempoh 'percutian' itu tamat dan anda terpaksa kembali ke tempat kerja walaupun perasaan terlalu berat untuk meninggalkan bayi yang baru dilahirkan.

Ia membuatkan anda berfikir, alangkah baiknya jika lebih ramai ibu dan bapa bekerja di rumah serta meluangkan masa berkualiti setiap masa untuk anak-anak mereka.

Bagaimanapun realitinya, salah seorang ibu bapa perlu mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara keluarga dan menjamin masa depan lebih cerah untuk anak-anak.

Kembali bekerja

Berbalik kepada ibu yang terpaksa bersusah payah kembali ke pejabat setelah berbulan-bulan berehat dan melayani kerenah suami dan anak-anak di rumah.

Kembali bekerja dan memulakan tugas yang ditinggalkan lama dahulu selepas puas bercuti panjang cukup menimbulkan tekanan buat kaum ibu.

Ini kerana, fikiran akan sentiasa terfikir bayi di rumah, tidak dapat melihat dan memegangnya sepanjang masa, bimbang mengenai penjagaan anak serta banyak lagi.

Berikut adalah contoh beberapa isu yang memberi tekanan kepada kaum ibu apabila kembali bekerja dari cuti bersalin;

Isu I

Ibu akan rasa bersalah apabila meninggalkan anak yang masih kecil bersama orang lain. Ini kerana, ramai ibu atau bapa tunggal juga pasangan suami isteri sibuk menggunakan khidmat penjaga.

Beberapa cara untuk mengurangkan tekanan akibat perkara ini adalah dengan meminta bantuan ahli keluarga atau kenalan rapat untuk menjaga anak apabila anda keluar bekerja.

Ia membolehkan anda membiasakan diri tanpa anak ketika waktu bekerja dan membantu anak agar berani serta selesa di bawah jagaan orang lain.

Isu II

Kurangnya penghasilan susu badan juga boleh menyebabkan seorang wanita berasa tidak lengkap sebagai seorang ibu.

Kembali ke tempat kerja pastinya menyumbang kepada kurangnya bekalan susu ibu kerana anda tidak lagi boleh menyusukan bayi pada bila-bila masa seperti di rumah. Ia juga boleh mengakibatkan lebihan penghasilan susu sehingga anda mengalami 'kebocoran' disebabkan perubahan jadual menyusu.

Apa yang penting pada ketika ini ibu perlu bertenang kerana tekanan boleh menghalang pengeluaran susu secara normal. Antara cadangan adalah membeli pam dwi elektrik yang berkualiti bagi membantu menguruskan bekalan susu badan untuk bayi.

Isu III

Kebanyakan wanita bekerja mengalami masalah yang sama apabila mendapati mereka hanya mempunyai kira-kira empat hingga lima jam untuk menguruskan semua kerja-kerja rumah seperti membasuh pakaian, memasak dan mengemas.

Antara kaedah untuk mengatasi situasi ini adalah mengagihkan tugas kepada semua ahli keluarga termasuk suami dan anak-anak. Sebahagian wanita mewujudkan jadual malam atau rutin dengan anak agar mereka tahu masa yang sesuai untuk mengendalikan kerja rumah.

Juga, hidangan yang boleh disediakan dalam 30 minit dapat mengurangkan masa dan tenaga terbuang. Dengan merancang hidangan sepanjang minggu, anda tahu barangan yang diperlukan apabila membeli-belah.

Satu lagi cara adalah memasak hidangan pelbagai dan banyak (mencukupi untuk seminggu). Ini membolehkan makanan tersebut dipanaskan apabila pulang dari kerja untuk dinikmati bersama keluarga.

Isu IV

Sesetengah wanita kadang kala terlupa menjaga diri sendiri dalam kesibukan mengimbangkan kerjaya dan rumah tangga.

Ada jalan untuk memastikan anda meluangkan masa untuk diri sendiri tanpa mengabaikan keperluan ahli keluarga lain.

Selain mengagihkan tugas kepada suami dan anak-anak, wanita juga boleh menggunakan kesempatan setiap waktu bersendirian sama ada ketika memandu atau menaiki pengangkutan awam.

Juga, cuba 'lari' dari orang di sekeliling anda dengan membaca buku atau mendengar muzik sambil mandi air pancuran atau tab sebagai spa persendirian di rumah untuk mendapatkan rehat diperlukan. Ada golongan ibu yang bangkit lebih awal untuk bersenam, melayari internet, menulis blog atau sengaja menikmati secawan kopi panas tanpa gangguan.

Isu V

Mempunyai bayi yang baru lahir lazimnya membuatkan ibu terbawa-bawa sehingga melupakan tanggung jawab terhadap pasangan.

Justeru ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa kualiti bersama untuk mengeratkan lagi kasih sayang suami isteri serta tiada pasangan yang merasa diabaikan dalam kesibukan itu.

Terdapat sesetengah ibu bapa menyuruh anak-anak tidur seawal 8.30 malam agar mereka mendapat rehat yang cukup dan juga membolehkan ibu dan bapa meluangkan masa romantik bersama-sama.

Anda dan pasangan boleh menonton filem atau sekadar berbual-bual kosong serta menghiburkan satu sama lain dengan usikan dan gelak tawa. Cuba aturkan 'malam temu janji' bersama suami sekurangkurangnya dua kali sebulan untuk mengekalkan kehangatan hubungan intim.

Satu lagi cara ialah dengan memberi kejutan istimewa kepada pasangan dengan mencuri ciuman ketika si dia sedang memasak atau membasuh baju juga mencubit punggungnya apabila berselisih.

Selain itu, tinggalkan nota cinta menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel mengatakan anda cinta dan rindu pada pasangan itu.

ARKIB : 06/02/2009

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin