Friday, June 12, 2009

Tap, tap, tap air hujan jatuh ke bumbung



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://myryani.wordpress.com

Guruh berdentang dentum, menandakan hujan akan turun sekejap lagi. Hakim dan Aiman memeluk erat, ketakutan dan mahu dilindungi. Air hujan mula jatuh ke atas bumbung, mula-mula setitis, kemudian semakin laju. Turun mencurah-curah.

Detik ini juga saya mula mengimbau kembali zaman lampau. Usia kanak-kanak yang dibesarkan dalam suasana kampung yang penuh keindahan.

Kalau di pantai pada waktu ini pastinya ombak besar dan menghempas kuat ke pantai. Biasanya tebing tepi pantai berpasir akan meninggi. Semakin dihempas ombak, pasir pantai akan mula menghakis dan membina tebing yang tinggi.

Saya dan kakak bersama kawan-kawan pernah juga terlepas ke pantai pada waktu begini. Jika tahu dek Ayah, memang nahaslah kami. Kanak-kanak seperti kami tidak tahu erti bahaya, hanya tahu seronok saja.

Jika bawa payung, kami akan kembangkan dan menghala ke laut. Melawan arus udara pantai yang keras. Kami berbondong-bondong melawan angin pantai dengan bertabirkan payung. Memang mengujakan.

Jika hujan sudah surut, tepi pantai sedikit kotor kerana ombak membawa pelbagai sampah. Macam-macam ada.

Mainan, pinggang mangkuk dan serpihan sampan atau boat yang karam juga akan mendarat di kawasan pantai. Biasanya kami akan mengutip pelbagai mainan yang masih elok. Biji congkak biasanya sangat banyak. Bawa balik ke rumah dan mula mengorek lubang pada tanah pasir untuk bermain congkak.

Aktiviti biasa musim hujan adalah menjala ikan dan berakit. Saya masih kecil, jadinya tidak boleh menyertai orang dewasa.

Biasanya saya ke rumah Hasni untuk bermain pondok-pondok yang dibina atas laluan air. Air yang melimpah pada jalan raya membentuk alur sungai kecil yang panjang dan akhirnya ke sungai.

Ianya lebih selamat untuk kanak-kanak seperti kami. Kami menyusun rapat-rapat papan untuk dijadikan rumah rakit. Sangat seronok. Apabila penat dan lapar saya pulang ke rumah.

Menu biasa jika musim hujan emak akan merebus ubi kayu yang akan dicicah kelapa parut yang dicampur sedikit garam. Pergh! Sangat enak sekali.

Saya juga akan bersama kakak ke kawasan baruh di depan rumah, mengutip pucuk niding untuk dibuat sayur lemak.

Nasi panas mengeluarkan kepulan asap kecil, sepiring budu diperah asam limau dan cili padi. Sayur lemak dicampur dengan ubi keledek. Ada juga ikan kering pelata digoreng. Kami adik beradik keliling dengan hidangan emak. Sangat sedap dan menyelerakan.

Waktu petang pula jika lapar lagi dengan berpayung akan mencari gerai kecil tepi jalan raya yang menjual putu ubi kayu. Saiznya lebih besar daripada putung piring, boleh dimakan lima orang. Ditengahnya ada gula nise (gula Melaka). Ditambah pula dengan teh o panas memang terangkat

2 comments:

Cikgu said...

wow! memang meliurkan menu ni. makan nasik panas, sayur lemak, cicah pulak dgn budu! perg! lapar2. - bakpo tak ghoyak mu oghe kelate?

Masayu Ahmad said...

hehe,, hok aloh lah..ore budu jugok rupernya Mak Ngah..penat je kecek kl

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin