Thursday, June 18, 2009
Mahalnya harga kesihatan
Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.theclinicard.com
Minggu ini ada tiga tugasan penting yang perlu saya selesaikan sebelum menjengah hari Isnin berikutnya. Memandangkan suami akan berkursus di hujung minggu, maka saya seperti biasa akan bersama anak-anak tanpa ayah di sisi.
Insya-Allah pada minggu hadapan akan tiba pula giliran saya untuk hadir di majlis ilmu yang akan berlangsung selama dua hari satu malam. Lokasinya hanyalah si salah sebuah hotel sekitar Ampang sahaja. Saya akan berkongsi maklumat dan informasi dari masa ke semasa di dalam blog ini dan di dalam penulisan yang lain.
Peluang ini dapatlah saya melepaskan lelah seketika. Namun naluri ibu akan tetap ada di mana-mana. Saya mungkin akan kerinduan dengan keletah kanak-kanak riang tiga beradik ini.
Arif sudah pulih daripada demam dan kini beralih pula kepada Aiman. Selama dua hari Arif muntah. Apa sahaja yang ditelan dan diminum lima minit kemudian akan keluar semula. Kasihan sungguh melihat Arif.
Hari ini saya menyediakan menu nasi kerabu untuk sarapan pagi dan karipap. Arif sudah sihat sepenuhnya, sudah ralit bersama Hakim menonton rancangan kegemaran.
Aiman pula demam tak demam. Sekejap panas sekejap tidak. Merengek hanya mahu berdukung sahaja. Sekarang ini sedang lena tidur. Mudah-mudahan demam Aiman akan kebah menjelang petang.
Nasib baik saya dan suami masih keadaan segar bugar. Jadinya rutin berjalan seperti biasa, cumanya saya agak kalut sedikit semalam memandangkan dua beradik yang kurang sihat ini mahu berada dipangkuan sepanjang masa. Jadinya masa mereka tidur sahajalah saya perlu menyegerakan urusan lain. Apabila semua sudah celik mata, sesi rengekan akan bermula lagi.
Selepas Arif sihat saya memberikan madu untuk memulihkan tenaga. Bagi kanak-kanak satu sudu kecil madu sudah cukup untuk keperluannya. Semalam juga saya memberikan makanan untuk memberikan tenaga dan mengembalikan kehilangan zat dalam badannya. Nasi goreng yang dimasukkan, ikan bilis untuk sumber zat besi, telur untuk protein dan nasi sebagi sumber tenaga dan karbohidrat.
Hari ini, Arif bangun dengan keadaan teruja untuk bermain. Selera makan yang sudah mula pulih sepenuhnya. Alhamdulillah. Saya lebih kerap memeluk Arif dan membelai-belai badannya dengan lembut. Supaya dapat meransang dirinya agar segera pulih. Pelukan kasih sayang dan masakan adalah salah satu elemen penting dalam tumbesaran kanak-kanak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment