Sunday, July 22, 2012

Wanita yang diceritakan dalam Al-Quran



Memaparkan kisah kaum wanita pilihan yang keyakinan, sikap, dan tindak tanduk mereka menjadi tarikan dan perhatian pada zamannya. Sejak terciptanya kaum wanita pertama iaitu Hawa, muncul satu persatu dalam kalangan mereka watak-watak yang menterjemahkan identity seorang wanita. Allah SWT rakam kisah mereka dalam Al-Quran untuk tatapan umat kerana sarat dengan teladan dan iktibar.

Antara mereka ialah isteri para nabi dan rasul yang taat dan tabah di sisi suami menghadapi segala ujian dan dugaan. Keimanan dan ketakwaan mereka terserlah walau terpaksa menempuh derita dan sengsara kerana menjadi topang kepada perjuangan suami. Menyusul jejak langkah mereka, wanita-wanita pilihan yang beriman kepada Allah SWT dan berpegang teguh dengan keyakinan tersebut walaupun ada yang terpaksa berhadapan dengan ancaman bunuh. Seterusnya para sahabiyah, wanita Mukminah pada zaman Rasulullah SAW yang ada antara mereka menjadi sebab turunnya beberapa peraturan syariat. Mereka layak dinobatkan sebagai idola atau ikutan bagi generasi yang ingin menggapai rahmat dan kemuliaan di sisi Allah.

Turut dipaparkan isteri-isteri nabi yang menjadi ‘duri dalam daging’. Bukan sekadar tidak beriman malah menjadi pengkhianat perjuangan suami. Tidak ketinggalan wanita yang menjadi penentang tegar Rasulullah SAW. Mereka menjadi wanita yang dilaknat dan menerima azab di dunia ini lagi sebelum azab yang kekal di akhirat nanti.Hayatilah kisah-kisah ini dan jadikanlah ia sebagai panduan, baik bagi kaum lelaki yang diamanahkan memimpin kaum wanita, lebih-lebih lagi kaum wanita sendiri supaya lebih memahami tentang diri mereka sendiri.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin