Showing posts with label Naufal Aiman. Show all posts
Showing posts with label Naufal Aiman. Show all posts

Tuesday, January 7, 2020

Aiman

Ada orang teresak esak menangis. Ingatkan sakit ke apa. Ok, rupanya..
"Sayo rindu Arif." Adu Aiman sambil terhincut hincut badan menangis.
Lelaki mana nak tunjuk dia rindukan. Semalam sahaja ibu pecut sekejap konon hantar barang.
Ok, dapat lihat senyum anak pun sudah ok.
Seronok hari ini baca ibu bapa berkongsi cerita pendaftaran sekolah menengah. Jauh beza kita dahulu, semua urus sendiri.
Zaman kini, hantar anak sekolah suasana seperti daftar Universiti. Tapi itulahkan saat masuk sahaja kita dapat rasa keseronokan suasana ilmu.
Masa paling seronok adalah zaman belajar. Jika diulang inilah momen yang paling kita mahu kenang.
Siang hari Aiman agak keras dengan adik adik. Akan tetapi sejak Team A berkurang dua orang jadi sifat abang long kawasan tu terpaksa dikurangkan. Kalau tidak Ammar ugut tak mahu teman tidur. Jadi Ammar dah naik pangkat 'adik kawasan'. Jangan suka suka sakat lagi ya.
Kalau tak asyik menangis Ammar kena sakat.
"Jange brani brani buli sayo lagi." Tegas Ammar sambil cekak pinggang.
"K, kkkkk... Ammar nok gulo gulo brapo, sepuluh, dua puluh."

Sunday, August 5, 2018

Kembali beraksi

Teks: Masayu Ahmad


Naufal Aiman Tahun 3 2017


6.Ogos 2018


Assalamualaikum w.b.t

Lama tidak bersiaran di sini alhamdulillah saya kembali dengan momentum baru. Alhamdulillah abang Hakim sudah pun berada di tingkatan satu, Arif tahun 5, Aiman di tahun 4, Arissa di tahun 2, Ammar 4 tahun dan Amni sudah pun 2 tahun.

Benarlah ungkapan selepas kesukaran ada kesenangan, selepas berusah payah ada kemenangan. Dalam setiap langkah diatur kita tahu akan ada pengakhiran.

Kita bangkit setiap hari dengan bersemangat. Menulis adalah terapi dalam diri, ia luahan yang membangkitkan pesona dalaman diri.

Dua tahun kebelakangan ini jadual agak recam. Fasa sekarang saya sedang menyusun jadual yang lebih tenang sebelum kembali sibuk beberapa tahun di hadapan. Ini adalah turun naik perasaan seorang ibu insya Allah.

Terima kasih kalian yang masih berada di sini bersama sama saya.

Saturday, January 7, 2017

Malam sebelum hari persekolahan




Hakim: Ibu, bilo nok beli buku log?
Arif: Ibu ustazah nok so lagi buku log.
Aiman: Bilo nok balut buku kafa?
Ammar: Ibu nok Uuu...
Ibu: Pah bakpo baru royak male ni? Esok nok skoloh doh.
Hakim: Marin lagi abe royak.
Arif: Cikgu nok botol besar jugak. Nok buat eksperimen esok ibu.
Aiman: Hari Khamis lagi suruh balut.
Ibu: Tahulah ibu habis bateri bakalih.
Aiman: Jolo tu memori ibu slow...
Aiman gak ayat dia sentap slaluh. Ok,ok ibu caj bateri dulu deh.
:D
Kelip kelip mata skoloh doh eh esok. Cepat sungguh dih maso.
Ibu nok katup mato doh nih nya hulur jugok karangan tajuk 'ibu sayo'.















https://www.facebook.com/masayu.ahmad/posts/10202566682285116?notif_t=like&notif_id=1483790402170547

Wednesday, November 9, 2016

Lensa memori

Teks: Masayu Ahmad

Bunyi deringan telefon, bunyi loceng tamat sesi persekolahan, bunyi siren asrama panggilan sarapan pagi, tengahari, petang dan malam. Masa lalu sangat indah. Indah kerana kita tidak ada tanggungjawab. Merai setiap hari dengan ilmu dan dunia bersama kawan-kawan. Indah bercerita, berkongsi suka duka ketika usia masih mendaki alam persekeolahan.

"Saya suko jadi dewaso, nanti ada duit banyok."

"Tak payah jadi dewasa cepat sangat, nanti Aiman rindu mahu jadi kanak-kanak semula."

Aiman sekarang menikmati hari-hari gembira. Apabila pulang bercerita tentang Ikhwan. Tengahari berkongsi makan bersama teman rapat.

"Saya jimat ibu, tengahari Ikhwan bagi saya nasi. Kami makan sama-sama. Lepas tu dapat air susu percuma."

Itulah cerita Aiman setiap kali pulang dari sekolah.

"Ibu, nanti Ikhwan ajak pergi memancing tepi parit."

"Bahaya, sekarang ini musim air bah. Ajak Ikhwan datang ke rumah main bola sama-sama."

"Tak boleh ibu, sebab dia perlu melintas jalan besar.

Saya tahu seronoknya Aiman mempunyai teman bernama rakan karib.

"Ibu tadi Aiman lambat, saya perlu cari dia merata. Ada dalam kelas bersembang dengan Ikhwan." Lapor Arif.

Begitu hari-hari Aiman, setiap kali masa pulang hilang berdesup usai solat berjemaah zuhur. Menghilang bersama Ikhwan sekitar sekolah. Selalunya menemani Ikhwan bersalin pakaian untuk sesi taekwondo.

Ibu menjelajah jauh cerita tentang hari sekolah. Usai pulang sekolah berbondong dengan rakan rakan. Balik berjalan kaki. Singgah kedai pertama beli keropok lekor dan air sirap. Sirap merah dalam jabir plastik. Cukup wang dua puluh sen.

Sesekali masuk semak atau hutan kecil kutip buah cenerai. Memang hitam hujung poke baju. Kami cari berjemaah bersama kawan-kawan ibu Hasni, Sayani. Inilah kawan sekolah ibu.

Kadangkala usai mengambil wang jualan di kanten sekolah, ada berbaki karipap. Kami makan sama-sama dalam perjalanan pulang.

Kadangkala usai sampai waktu kami berpecah, kami duduk-duduk dahulu sambil menghabiskan keropok lekor dan sirap. Kadangkala sebungkus 'sekut kapal terbang' bewarna merah, 20 sen sahaja penuh kelongsong pembalut surat khabar.

Itulah lensa kenangan. Ia menyapa tatkala melihat Aiman membesar. Jangan cepat sangat besar rai setiap keriangan bersama teman-teman seperjuangan.

Tuesday, September 1, 2015

Doa diangkat


Teks dan foto: Masayu Ahmad

Sepanjang dua tahun ini memang tegar juga kesabaran seorang ibu. Tetapi sejak beberapa bulan ini abe Hakim sudah jauh berubah. Tidak perlu lagi disuruh, dikejut terus bangkit. Minta tolong sangat ringan tulang. Malah mengasuh adik dan juga mandikan.
Suruhlah apa sahaja. Juga peningkatan dalam pembelajaran.
Barangkali doa ibu sudah diangkat. Gugur juga air mata melihat perubahan. Cabaran tidak mudah mendidik anak.

Saturday, November 8, 2014

Aiman sayang



Duhai anak perjalanan tegar merentang di hadapan. 
Kekalkan akidah dan tauhid agar dirimu sentiasa pada landasan. 
Jangan raih puja manusia. 
Usah tegar kemewahan dunia. 
Bersederhanalah dalam segala. 
Ibu di sini sentiasa mendoakan terbaik, agar kita berada pada pengakhiran yang baik.


Teks: Masayu Ahmad


Banyak hari Aiman berlatih hafazan, katanya dia mengetuai persembahan untuk mewakili 2 tadika untuk hafazan. Oh lah anak, waima persembahan tadika ibu tetap teruja, nama pun ibu kan. Setiap hari Aiman mengingati ibu bahawa suruh bangunkan Aiman jam 5 pagi untuk hafaz quran. Itu ketukan pada ibu yang leka dan leka.

Aiman ini sangat unik. Setiap pagi sebelum ke sekolah/tadika dia sendiri akan mengangtungkan pakaian, beg sudah diisi kemas buku dan pakaian persalinan. Aiman sangat jarang menyusahkan ibu. Ya, tahun depan semua sudah bertukar ke kelas hafazan. Ia bermula dari ibu. Ibu leka dan leka. Ibu bersedia dan perlu tegar dari awal dalam asuhan anak-anak. Terima kasih Aiman, kerana sering menjentik rasa ibu. Ibu gembira dengan peralihan Aiman dan ibu sedar Aiman sudah menganjak usia.


Sunday, March 6, 2011

Abang Aiman memang suka 'bekerja'

Teks: Masayu Ahmad

Aiman yang semakin montel sesekali banyak mengundang cemas ibu. Dia pernah mengangkat Arissa dari buaian dan letak di atas tilam.

Aduh Aiman. Mengucap banyak ibu dibuatnya. Alhamdulillah tidak ada apa-apa.

Nasib si kecil sentiasa dilindungi malaikat. Pun begitu ibu perlu lebih berhati-hati.

Jika ibu sibuk bekerja di dapur, di bilik dan di depan komputer. Aiman pun tak menang tangan juga bekerja. Habis segala kota-kotak dibuka dan diselongkar. Satu persatu barang-barang dikeluarkan.

Semalam Aiman sambung lagi 'bekerja'. Dia memanjat naik ke atas almari. Jatuh frame gambar abang Hakim. Bunyi 'krak' kaca terhempas. Sah! Sudah pecah. Aduhai, sayang anak ibu, Aiman.

Pipinya semakin gebu sekarang. Beratnya juga semakin bertambah. Jika Arissa tidur, ibu ambil Aiman dukung dan peluk. Sedap badan dia buat peluk.

Aiman memang geram. Geram pada Arissa. Sejak Arissa lahir, terbahagi sudah banyak masa ibu untuk Arissa.

Memang Aiman geram. Kadang-kadang Aiman ambil kesempatan cubit pipi adik. Geram, geram.

Masa Arissa mahu menyusu. Masa itu lah Aiman sibuk.

"Ibu nak susu,"

"Ibu Aiman nak air."

"Ibu, Aiman nak yak."

Ibu Aiman nak itu. Aiman nak ini. Kalau ibu tetap juga sibuk, Aiman mula 'bekerja' dan 'bekerja', Akhirnya ibu datang kembali kepada Aiman. heheh ;D

Wednesday, October 20, 2010

Apa jantina? ;D

Teks: Masayu Ahmad
Pic: Google

Sememangnya hari ini cadangya mahu tengok apa jantina orang dalam perut. Tetapi disebabkan status kesihatan semua sukses, jadi tak payah jumpa doktor. Memang sungguh membuatkan perasaan ingin tahu itu, berada dalam keadaan tahu ke tak nak. Sebetulnya perasaan saya biasa-biasa sahaja. Biru ok, pink pun ok. ;D

Alhamdulillah atas layanan semua juru rawat yang semuanya baik hati dan berhemah. Kini sudah mencecah 30 minggu. Kepala juga sudah berpusing ke bawah. Cuma saya selalu bercakap-cakap dengan orang dalam, jangan keluar dulu ya, tunggu ibu selesai semua kerja, barulah keluar. Boleh ke macam tu? Boleh sahaja. Saya juga tidaklah lasak sangat, kalau lasak cepat pula keluar nanti. Suka suki saya punya teori. Insya-Allah fikiran dan minda saya kekal tenang dan fokus untuk menikmati hari-hari terakhir perjuangan seorang ibu.

Semasa jururawat meletakkan alat pengesan denyut jantung, terasa rindu dan sekali bunyi helaan denyut nadi dari dalam. Sungguh besar kuasa Tuhan, hanya mereka yang pernah mengalami sahaja mengetahui.

Juga Aiman yang semakin hari, semakin mula menunjukkan reaksi akan menerima adik. Selalu mahu berkepiti, tidur perlu peluk-peluk, mudah sensitif dan mahu pelbagai ragam muncul.

Kadangkala ibu biarkan sahaja, sengaja Aiman mahu menduga ibu dengan aksinya. Mahu perhatian lebih sementara keluar lagi adik untuk Aiman.

Aiman suka merengek-rengek dan melarat dengan tangisan. Kadangkala saya biarkan sahaja seketika, biarkan dia dengan perasaannya. Lepas puas menangis, Aiman dengan sendiri datang kepada saya.

"Ibu Iman mintaa maaf, man janji tak buat lagi." :D

Sungguh, Aiman pun faham keadaan ibu, tetapi sengaja sahaja buat-buat tak faham. Kemudian dengan sendirinya dia akan kembali bersuka. Jika buat lagi skrip yang sama akan diulang. Aiman, Aiman.

Wednesday, March 3, 2010

Cabaran wanita bekerja di rumah

Sangat banyak cabaran yang perlu ditangani sekiranya anda mahu bekerja di rumah. Tentu sekali anak-anak kecil yang sentiasa mahukan perhatian hampir seluruh hari.

Ketika menulis entri ini Aiman mengoyang-goyang muka saya. Mulut diketap geram. Setiap kali mahu melihat skrin dihadang oleh kepala saya ke kiri dan ke kanan. Situasi Aiman duduk cantik di hadapan dan di atas meja. Puas dihalang saya, namun saya mahu juga berkongsi di sini.

Aiman masih berusaha dan akhirnya terlentok kepala atas bahu.

Ayat biasa saya jika mahu mula bekerja, mohon dahulu persetujuan.

Ibu: Aiman ibu nak kerja, boleh?

Aiman: Tak uleh, tak uleh. Sambil mulut muncung marah.

Gaya lain

Ibu Aiman nak tito, nak tito

Ibu nak susu, nak susu

Ibu, nak atas, nak atas (Main kat atas)

Ibu, nak andi, nak andi (Mandi)

Ibu, tak best (gaya ini perlu dengan mulut muncung)

Ibu, nak A Chi, nak A Chi (ABC)

Ibu, utan, utan (bukan-bukan)

Selesai saya siarkan entri ini. Sudah ada dengusan halus. Aiman sayang sudah lena tidur. Alahai anak, gaya dan keletahmu tetap ibu terhibur. Sementara di ruang tamu, abang Hakim dan Arif sedang galak menyusun benteng dengan sofa.

Monday, January 11, 2010

Tersentuh hati ibu

Hakim

Hakim: Dik, sini dik, mari dekat abang. Meh abang riba adik (Aiman maksudnya)

Aiman: Tak nak!

Hakim: Meh lah abang riba.

Aiman membaringkan tubuh atas riba Hakim. Hakim mula mendodoi Aiman sambil menonton tv. Saya pura-pura tidak nampak namun dalam hati. Alahai anak, kalian buat hati ibu tersentuh.

Arif

Arif mengambilkan adinya segelas air. Kedudukan air memang boleh capai, bersebelah dengan rak gelas plastic.

Arif: Nak dik. Minum (sambil mengunjukkan segelas air masa)

Aiman: Dap, dap (sedap, sedap)

Arif: Minum dik (sambil dia menunggu dan melihat Aiman minum). Lalu mengambil semula bekas yang kosong.

Kemudian kedua-duanya bermain-main, berlari-lari.

Saturday, December 19, 2009

Nasi berlauk pembuka selera

Teks: Masayu Ahmad

Foto:http://media.photobucket.com



Foto:http://jilc-makassar.com

Bismillahirrahmanirrahim,

Salam hari Sabtu 19 Disember 2009 bersamaan 2 Muharam 1431.

Segar udara pagi ini, angin sepoi-sepoi sampai ke bilik saya. Usai solat subuh tadi, saya buka luas-luas pintu utama. Agar masuk segala nikmat Allah bersama rezeki. Sudah fikir semalam hari ini mahu masak nasi berlauk. Bukan ikan tongkol tetapi gulai ikan kembung. En.suami yang minta, sebab saya dah lama tak masak gulai ikan kelantan.

Jadinya semalam segala bahan sudah en.suami beli. Cili padi pun sudah dibuat stok dua minggu, dalam satu bekas besar. Memanglah en.suami kurang seleranya kalau tak ada cili padi atau sambal lada panggilan Kelantannya. Stok kopi radix tidak ada, jadi hanya teh o panas sahaja. Kuih hari ini, saya buat lagi kuih bakar untuk kanak-kanak riang. Memang sangat suka, petang semalam sekejap sahaja habis diangkut Hakim, Arif dan Aiman. Malam tadi minta lagi. Mintalah nak, mudah sahaja nanti ibu buat lagi. Bukan minta emas permata pun, minta kuih bakar sahaja. Alhamdulillah.

Jadual sepanjang tahun

Saya tidak kemana-mana, jadual kerja sangatlah tidak membenarkan saya ke mana-mana. Alhamdulillah saya masih komited dengan keadaan ini. Insya-Allah tahun ini semoga saya tidak dibelengu sifat malas, lebih bersemangat dan bermotivasi. Sekitar Januari ada 2 seminar yang besar dan 1 kursus yang perlu saya sertai. Ianya sangat penting dalam kelansungan karier saya. Salah satu seminar itu, memang saya tangguh dari beberapa bulan yang lepas, memang ada sahaja aral yang datang. Tetapi tidak mengapa, tengok nanti kalau ada kelapangan dan peluang.



Hari Isnin, 21 hb pada sebelah petang, ada satu sesi perbincangan juga dan perlu ke Kota Damansara. Saya akan bawa bersama kanak-kanak riang. Pastinya mereka gembira sebab boleh jalan-jalan. Saya akan tinggalkan mereka sekejap di rumah adik, kemudian akan memecut dengan laju ke destinasi.

Hari Rabu 23, hb saya ada satu lagi mesyuarat/perbincangan. Perbincangan ini berlangsung sekitar 10 pagi, jadi kanak-kanak riang akan transit sekejap di mana-mana pusat jagaan. Sekejap sahaja jam 8 hingga 12 tengahari. Mereka mungkin akan menangis sekejap, selepas itu ok sahaja. Beginila jadual saya sekiranya ada apa-apa urusan yang berlangsung pada hari bekerja, tetapi sekiranya hujung minggu, ayahnya lah yang mengambil giliran.

Apa yang saya sibuk-sibukkan ya? Agak-agak boleh teka tidak? Sampai masanya saya akan terangkan satu persatu kisah di sebalik tabir ini. Selebihnya saya suka agar kalin membuat andaian sendiri. Tetapi itulah jadual bagi wanita yang bekerja di rumah seperti saya. Sibuk juga tetapi sibuk yang boleh diurus. Sibuk juga, tetapi keluarga tetap menjadi perkara yang paling diutamakan. Apa yang pasti saya gembira dengan keadaan ini dan ini adalah pilihan muktamad saya. Keluarga dan karier, kedua-duanya penting tetapi apa yang lebih penting kepuasan.

Perkembangan anak-anak


Saya sudah mula menyimpan sebahagian mainan. Penat saya mengemas dan sudah menjumpai teori saya sendiri berdasarkan permerhatian dan keadaan anak-anak sehari-hari. Saya memutuskan hanya tiga jenis permainan satu hari. Boleh pilih mengikut kesesuaian.

Pagi hari sebelum kanak-kanak riang bangun saya perlu menyiapakan dahulu apa yang patut seperti memasak dan mengemas. Apabila mereka bangun mereka akan segera mengacau saya. Jadi disebabkan waktu pagi adalah waktu terbaik untuk fokus, saya biarkan sahaja monitor dengan siaran http://www.starfall.com./ Ini menjadi satu kelaziman setiap hari. Hakim akan menguasai tetikus (mouse spec), jadinya dia juga akan melakukan dua paparan pada skrin. Satu boleh tengok upin dan ipin dan satu lagi sambil belajar di starfall. Memanglah kanak-kanak di zaman siber sangat cepat penaakulannya. Perhati dan buat. Salah satu aktiviti yang saya sembunyikan dari Hakim, bagaiman simpanan semua bahan-bahan saya, kalau tidak. Habislah ;D.

Apa tidaknya selepas saya bangun dari duduk, dia akan menyambung.
“Ibu pergi, Hakim nak buat kerja.” Sambil tangannya dengan laju mengetik-ngetik keyboard, kononya sedang menulis dan berfikir dengan pantasnya.

Aduhai anakku sememangnya pemerhatian mu sangat tajam dan peka.

Dia sudah tahu mencari starfall melalui internet explorer, tidak perlu tulis, sebab disitu sudah ada tertulis starfall. Kemudiannya hanya perlu ‘klik’ sahaja.

Jika tidak dia buka sahaja pada laman web naufal, memang sudah ada capaian di situ.

Anak-anak suka memerhati dan pastikan pemerhatiannya terarah pada sesuatu yang positif kerana mereka akan mengaplikasinya dengan pantas sekali.

Kini Aiman mula menguasai komputer utama. Sangatlah marah kalau saya cuba-cuba mahu tunjuk.

“Tok leh.” Sambil mulutnya yang muncung dan pipinya yang temban. Marah kalau saya cuba tunjuk macamana mahu gerak-gerak mouse dan klik. Dia sudah pandai klik tetapi gerakan mouse itu masih kurang tetap dan fokus. Ke sana dan ke sini dan tidak terkena pada sasaran. Jika tidak dia akam panggil semula ibu.
“Bu, bu, tok leh, tok leh.” Si pipi tembam ini akan memanggil-manggil saya kerana dia tidak berjaya. Ibu segera berkejaran sebab tahu nanti pipi tembam ini akan bising dan mula menangis.
Arif sepenuhnya sudah berdikari, sudah tahu memilih yang mana dia suka dan tidak. Jika tiada Hakim, maka Arif akan mengemudi komputer utama bersama Aiman setia di sisi.

Selepas boring tengok upin dan ipin dan starfall. Mereka akan bergerak keluar melihat tv dan sambil itu akan sambung membuat sambungan ABC. Petak-petak ABC yang warna-warni yang besar-besar itu memang saya sengaja beli. Selain melatih kreativiti ianya juga memudahkan mereka mengenal ABC.
Petak-petak ABC itu ada yang dibuat bentuk empat segi besar, buat jejantas yang panjang, ada juga bentuk zip zap dan mengikut kreativiti mereka. Petak-petak ABC ini akan berada banyak lokasi, jika saya naik ke atas, semua sekali akan di bawa bersama. Jika solat di bilik utama, juga akan dibawa bersama. Akan disambung-sambung keliling kaki katil. Sesudah siap mereka bertiga akan merosakkan sambungan petak yang sudah siap, dengan kiraan 1,2,3. Dengarlah gelak ketawa kanak-kanak riang.
Alif Ba Ta


Kebetulan juga pc lama saya ketika di univerisiti dulu masih boleh dipakai. Jadi en.suami melatakkan di ruang bersebelahan bilik utama. Pada waktu makgrib memudahkan saya solat, kanak-kanak riang akan menyanyi-nyanyi alif ba ta bersama muzik. Jadi tidak akan mengganggu saya. Sangat mujarab.

Barani tanpa gagal
Waktu petang atau pagi, mereka akan bermain-main basikal di laman, melompat, memanjat jeriji besi. Sudah namanya anak-anak lelaki memang lah lasak. Ada satu hari tu, saya kusyuk di dapur, Sudah siap sepinggan keropok goreng, saya bentangkan tikar di laman depan, mereka akan bersila dan makan seperti berkelah. 10 minit kemudian tidak ada.

Rupanya, sangat cantik. Hakim bersila bersama Arif menjamu selera di atas bumbung kereta. ;D, Mahu marah jadinya saya rasa mahu gelak. Tapi saya tahan-tahan ketawa, nanti Hakim ingat saya tak marah. Siap bekas air semua di bawa naik. Mereka panjat melalui bahagian depan kereta, kerusi dijadikan alas pemijak. Alahai anakku gelagat kalian menduga sabar ibu.
Salam penuh kasih sayang

I am not afraid of storms, for I'am learning to sail my ship -LM Alcott-

Thursday, December 10, 2009

Aiman si pipi temban

Teks & foto: Masayu Ahmad

Aiman terkedek-kedek membawa diri, sambil menangis tanpa air mata. Aiman menghumbankan mukanya ke tilam. Ibu seperti biasa, masih leka di hadapan komputer.

Sekejap Aiman datang lagi. Duduk di sebelah. Saya memang menyediakan dua kerusi. Satu saya duduk, satu lagi untuk si pipi temban Aiman. Nasib skrin monitor ini besar, jadi kami berkongsi.

30 peratus paparan melihat episod, Upin dan Ipin kegemaran Aiman,70 peratus lagi paparan skrin ruang untuk saya membuat kerja, menulis, membalas email, kemaskini blog dan apa sahaja.

“Nak Cu,”

Masih menangis. Usaha menarik perhatian ibu diteruskan tanpa putus asa.

“Nak Upin pin, nak upin pin! Aiman minta berulang kali.

Alih-alih Aiman sudah berada di atas riba. Ini bukan pertama kali cubaannya untuk menarik perhatian.

Sambil riba Aiman, saya meneruskan kerja seperti biasa, Aiman masih membuat rengekan manja sambil matanya buntang melihat episod upin ipin kegemaran.

Alahai si comelku sayang. Makin lama makin banyak akalnya. Makin mengada, makin buat ibu terhibur dengan keletah manja.

Thursday, December 3, 2009

Aiman sudah besar



Teks & foto: Masayu Ahmad

Walaupun 24 jam anak-anak bersama saya, dapat saya merasakan perkembangan dan perubahan pada mereka. Betapa sungguh cepat masa berlalu. Saya suka sangat memeluk dan bercakap-cakap dengan Aiman. Si pipi kembang ini sudah makin melasak dan membesar dengan cepat. Apakan tidak, baju-bajunya semakin mengecil dan baju Arif pun sama. Aiman sudah muat baju Arif.

Bukannya baju yang makin mengecil, rupanya Aiman sudah makin membesar. Oh, tidak. Walau setiap hari peluk dan cium anak. Rasanya cepat sahaja masa berlalu. Antara ayat-ayat aiman yang saya suka dengar keluar dari bibir mungil nya.


“Cuk ehhhh.” (Busuk eh, perkataan eh tu akan ditarik panjang).

“Bu, man yak.” (Ibu Aiman berak)

“Hmm, yang bu.” (Sambil cium saya, sayang ibu)

"Ma,ma,ma, nak jie, nak jie." (Nak pegi, nak pegi)

"Ma, ma, up, up."( Nak naik atas riba)

Wednesday, December 2, 2009

Ibu tak payah kerja!

Teks: Masayu Ahmad

Selalunya melayan kanak-kanak riang di rumah ni perlukan kesabaran dan daya ketahanan. Memang perlu bersedia fizikal dan mental. Anak-anak selalu merengek-rengek kalau saya mula duduk dan mengadap komputer

Hakim: Ibu tak payah kerja, turun bawah. Sama-sama teman Hakim.

Ibu: Mana boleh, ibu kena kerja.

Hakim: Tak payah kerja.

Ibu: Nanti nak beli coklat. Hakim nak coklat tak.

Hakim: Ok!


Aiman biasanya akan terkedek-kedek. Mula-mula duduk atas riba. Kemudian sambil jari halusnya menekan-nekan key board. Lama boring, dia akan bangun dan main ciku cak. Rupanya Arif ada di belakang saya. Aiman mula lasak, kejap atas riba, turun naik. Kalau saya letak. Dia akan memberontak dan marah. Kadang-kadang kenalah pangku sampai Aiman tidur.

Kadang-kadang.

Aiman: Ibu nak jie. Mulutnya muncung sambil bercakap. Tanganya mula menarik-narik tangan saya.

Aiman: Ibu nak jie, nak jie ( Ibu nak pegi, pegi main kat luar maksudnya)

Jom, jom nak jie bu.

Lepas saya bawa keluar dan layan main basikal. Mereka bertiga akan asyik sekejap. Selepas kelibat hilang semua akan cari. Ibu! Ibu! Ibu! Semua berteriak cari ibu. Macam anak itik kehilangan ibu gayanya.

Aiseh ibu mahu sambung kerja tak jadi lagi.

Hakim: Ibu Hakim nak kek coklat.
Arif: Ibu, Alim nak air bes ( Arif nak air best, air perisa rosell)
Aiman: Bu, nak air.

Mereka bertiga saja je. Memang pandai kalau tak mahu saya sambung kerja atau naik ke atas. Ada sahaja cara untuk melengah-lengahkan masa.

Monday, November 23, 2009

Udara segar pagi 23 നവംബര്‍ 2009



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.zenmocha.com

Salam pagi Isnin bersamaan 23 November 2009 jam 8.41 pagi.

Alahmdulillah, pagi yang nyaman bersama udara yang segar. Kicau burung di pagi hari sungguh memberi nyawa hening pagi. Matahari masih malu dan berselindung di balik awan yang redup. Cuaca suam-suam kuku mungkin masih ada harapan untuk mengeringkan kain di jemuran.

Menjelang rutin pagi, bunyian jentera di kawasan pembinaan singah di telinga saya. Hulu Langat kini, sudah dilanda pembangunan. Sungguh saya tidak suka akan pencemaran bunyi ini. Tapikan apalah daya saya untuk menyekat bunyian tersebut. Kenderaan masih bertali arus menuju ke destinasi masing-masing.

Usai bangun selepas rutin biasa, sudah tentunya saya perlu menyediakan keperluan en.suami untuk ke tempat kerja. Hari ini untuk sarapan saya menyediakan cekodok pisang bersama roti butter diapit telur mata.

Aiman pagi-pagi sudah bangun. Memang lah si kecik ini, semalam tidur lewat, hari ini masih boleh bangun pagi. Semalam sudah tidur di atas, entah jam berapa Aiman turun dan menonton tv, sudahnya terlelap di situ. Nasib baik saya sudah sediakan hamparan di situ. Walhal sudah elok tidur di atas. Agaknya matanya masih tidak mengantuk. Pagi tadi terasa Hakim erat memeluk saya, disebebkan setiap malam sejuk, Hakim mencari haba di sebelah saya.

Agaknya bunyi kelentang-kelentong di dapur, membuatkan Aiman tersedar. Sesudah kenyang minum susu, Aiman sambung lagi makan roti dan telur. Terus keluar sambil menemani saya menjemur kain. Aiman sudah siap sedia untuk dibawa keluar keliling taman sebelum ayah pergi kerja.

Jadinya saya memandikan Aiman dan tukar pakaian bersih. Aiman sudah wangi dan harum dan sudah siap sedia untuk pusing-pusing. Selepas puas hati untuk aktiviti pagi itu, barulah boleh bagi ayah ciuman selamat tinggal. Begitulah rutin si kecil Aiman setiap pagi. Dia kini sudah harum dan kenyang, sudah asyik aktiviti sendiri di bawah. Saya boleh meneruskan kerja tanpa gangguan.

Lagi beberapa hari menjelang 29 November 2009. Genap usia Hakim 4 tahun. Sekejap sahaja masa berlalu. Anak teruna saya sudah menghampiri ulang tahun kelahiran. Banyak sudah perkembangan, walaupaun saya rasa perkembangannya tidak sama dengan pencapaian kanak-kanak sesusia yang lain, Hakim tetap anak ibu yang terbaik.

Sudah sepenuhnya boleh bercakap lancar, walaupun kadangkala sukat menyakat menggunakan ayat-ayat merapu. Membaca Al-Fatihah juga sudah hampir lancar dan beberapa ayat yang lain yang perlu diperbetulkan.

Salam penuh kasih sayang

Saya wanita biasa-biasa yang hanya mahukan keredaaan Allah dan keberkatan kehidupan. Masih banyak ruang dan lompang yang perlu diperbaiki. Mudah-mudahan informasi blog yang tidak seberapa ini mampu memberi manfaat buat sahabat sekalian.

www.masayu-ahmad.com
www.masayuahmad.blogspot.com

Sunday, October 25, 2009

Hakim, Arif & Aiman usia 1 tahun

Teks & Foto: Masayu Ahmad

Alhamdulillah hari ini, Hakim sudah 90 peratus pulih sepenuhnya. Tetap hari ini saya bagi cuti, tidak perlu ke sekolah. Biar Hakim rehat sepenuhnya.

Aiman di usia 1 tahun



Sungguh cepat masa berlalu. Biasanya jika anak sudah usia setahun, ada lagi dalam perut yang bersedia untuk keluar. Bertuah Aiman dapat berstatus bongsu agak lama.

Arif 1 Tahun



Arif ketika kecil gebu dan putih melepak. Badannya agak besar jika dibandingkan dengan usia. Kanak-kanaknya seusianya sekarang badan sama besar dengan Aiman, tetapi sebenarnya sama umur dengan Arif. Umur Arif seusia dengan tempoh kami berpindah ke rumah baru. Selepas pantang, saya tinggal di Hulu Langat rumah sendiri.

Hakim 1 Tahun



Abang Long yang periang, peramah dan lasak. Tidak boleh duduk diam kalau tidak menyakat adik-adik. Gambar ini diambil ketika saya bawa Hakim bersiar-siar di taman permainan dekat sahaja dengan rumah.

Thursday, August 13, 2009

Aiman si pipi tembam

Teks & foto: Masayu Ahmad



Si kecik ini sudah banyak patah perkataan bermain di bibir comelnya. Kala dia merajuk akan berbunyilah suara memanggil-manggil ayahnya.

Ayah…ayah,sambil menangis.

Jika ibu sibuk di depan komputer tidak melayan, Aiman akan buat perangai mengada-ngada mahu tarik perhatian.

Jika ibu sibuk juga menaip, Aiman sekoyong-koyong akan menekat punat off pada plug. Habis semua terpadam. Dengan mulut yang masam akan merenung ibu supaya segera mendokongnya.

Jika hatinya gembira kekenyangan dan sudah berbau wangi, Aiman gemar berlari-lari dengan abang Arif. Main basikal di laman depan atau asyik menonton tv.

Kalau ibu cakap, sayang Aiman. Aiman segera cium pipi ibu dengan mulutnya berkata tayam, tayam berulang kali. Kadang-kadang sambil bibirnya mengetap kegeraman.

Pagi-pagi kalau ibu kalut menguruskan Hakim, Aiman akan terkedek-kedek juga mengikut langkah di belakang. Aiman juga sibuk mahu mengikut abang Hakim ke sekolah. Tidak boleh ditinggalkan, jika tidak meraunglah menangis mengeluarkan air mata.

Aiman mahu ikut jugak. Biasanya dia akan bersandar berdiri di belakang, kalau mood ok dia akan duduk di hadapan. Sambil memandu, ibu akan menyanyi-nyanyi dengan Aiman lagu ABC atau alif, ba, ta.

Apabila malam, Aiman suka baring atas lengan ibu, sambil menghulurkan kaki.

“Akit, akit,” (sakit)

Atau

“ata,” (gatal)

Ibu gosok kaki Aiman sehinggalah lena. Walaupun nampak lena, sebenarnya belum nyenyak lagi.

Tak pun, Aiman sudah pandai ikut zikir.

Awah, awah, awah ya, awah (Allah, Allah, Allah Ya Allah)

Mulutnya yang comel dan pipi yang kembang itu, akan terikut dengan gelek kepala kiri dan kanan. Kadang-kadang sambil senyum mungil. Inilah pengubat kepenatan yang paling mujarab.

Aiman sudah lena, tetapi belum betul-betul lena.

Ibu bangun pelan-pelan, matanya akan terbuka semula. Dia akan kembali bersuara agar ibu tidur di sebelah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin