Pengurusan Masa Efektif Untuk WAHM
Teks: Haryati Dulbahri
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera
Pada ketika entri ini ditulis, Arissa dan Harith sudah lena tidur setelah puas mereka berdua bermain bersama. Cuti sekolah telahpun bermula dan waktu cuti ini adalah peluang Harith untuk bermain bersama kakak Arissa selain hari Sabtu dan Ahad. Apabila anak-anak sudah lena, inilah juga peluang saya untuk curi masa menulis di blog seketika. Pada kebiasaan saya akan menulis pada waktu pagi ataupun tengah malam, kerana pada waktu tersebut idea akan datang mencurah-curah dan tenang sahaja. Tapi apa-apapun ianya bergantung kepada pengurusan masa kita seharian. Strategi pengurusan masa yang efektif dan disiplin.
Baik, bercakap tentang pengurusan masa, sebenarnya ia adalah sebahagian daripada cabaran kita apabila menjadi wahm. Selain diri kita sendiri sebagai cabaran utama, pengurusan masa juga adalah cabaran hebat yang sehingga kini saya masih belajar dan perbaiki dari masa ke semasa. Strategi pengurusan masa yang betul dan efektif amat penting bagi memastikan kita sentiasa produktif dan matlamat bekerja di rumah dicapai dengan suksesnya.
Pada awal saya menjadi WAHM dahulu, saya akui pengurusan masa saya sangat bercelaru dan tidak sistematik. Kalau boleh semua aktiviti di rumah saya hendak sudahkan. Kadang-kadang saya akan mengeluh tidak sempat hendak selesaikan dan pada akhirnya saya akan stress kerana tidak cukup masa. Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak yang masih kecil. Walaupun tumpuan kepada si kecil adalah fokus utama, aktiviti-aktiviti lain juga perlu dilaksanakan mengikut kemampuan dan perancangan yang telah kita tetapkan.
Alhamdulillah, kini masa 24 jam saya lebih teratur dan tenang. Terima kasih Kak Masayu Ahmad, sifu WAHM kami di Akademi Bekerja Di Rumah. Perkongsian tentang panduan bekerja di rumah dalam buku beliau, Jana RM Dari Rumah amat membantu saya sebagai WAHM. Antaranya tips pengurusan masa WAHM yang efektif dan mudah mengikut kemampuan diri kita masing-masing.
Hari ini saya akan kongsikan serba sedikit apa yang saya sedang aplikasikan tips pengurusan masa saya dengan apa yang saya perolehi daripada buku Jana RM Dari Rumah. Daripada total 24 jam kita ada dalam sehari, kita bahagikan masa tersebut kepada empat urusan dan komitmen berikut:
1. Urusan rumahtangga: ini termasuk aktiviti-aktiviti harian di rumah seperti membasuh, mengemas rumah dan memasak.
2. Urusan keluarga: peranan kita sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak. Begitu juga peranan kita sebagai anak kepada ibu bapa kita. Sebagai contoh saya berperanan menghantar dan mengambil anak di tadika, mengajar anak di rumah (home-schooling) dan sebagainya.
3. Urusan bisnes: apa-apa urusan yang berkaitan dengan bisnes online yang saya ceburi. Sebagai contoh semak email, kemaskini blog/ facebook, jawab maklumbalas pelanggan, kemaskini buku rekod dan akaun dan sebagainya.
4. Urusan diri sendiri: Khusus untuk diri sendiri sebagai motivasi dan tempoh kita bertenang. Ini termasuklah waktu rehat, solat, tidur, hobi dan bersosial dengan rakan-rakan.
Daripada empat urusan yang tersebut di atas, kita cuba susun dan jelaskan aktiviti kita di dalam rutin 24 jam, 7 hari seminggu, 12 bulan atau setahun. Untuk lebih efektif kita rangka, susun dan buat dalam jadual mengikut kemampuan dan kesesuaian masa kita. Ya, seorang WAHM juga ada jadual ok. Jadual Waktu 4 Tempoh dan Senarai Hendak Di Buat (To Do Checklist).