Showing posts with label Naufal Hakim. Show all posts
Showing posts with label Naufal Hakim. Show all posts

Tuesday, January 7, 2020

Hakim Tingkatan 2 2019


Hanya mak mengenal anak.

Dari jauh pun ibu dah nampak abe Hakim.

Kalau rindu, intai intai page sekolah.



Tingkatan 2


Hari pertama tingkatan 3, 2020

Hakim Tingkatan 1 2018




Hakim Tingkatan 1 2018




Abe Hakim minggu suaikenal Tingkatan 1, 2018

Monday, September 17, 2018

Saturday, January 7, 2017

Malam sebelum hari persekolahan




Hakim: Ibu, bilo nok beli buku log?
Arif: Ibu ustazah nok so lagi buku log.
Aiman: Bilo nok balut buku kafa?
Ammar: Ibu nok Uuu...
Ibu: Pah bakpo baru royak male ni? Esok nok skoloh doh.
Hakim: Marin lagi abe royak.
Arif: Cikgu nok botol besar jugak. Nok buat eksperimen esok ibu.
Aiman: Hari Khamis lagi suruh balut.
Ibu: Tahulah ibu habis bateri bakalih.
Aiman: Jolo tu memori ibu slow...
Aiman gak ayat dia sentap slaluh. Ok,ok ibu caj bateri dulu deh.
:D
Kelip kelip mata skoloh doh eh esok. Cepat sungguh dih maso.
Ibu nok katup mato doh nih nya hulur jugok karangan tajuk 'ibu sayo'.















https://www.facebook.com/masayu.ahmad/posts/10202566682285116?notif_t=like&notif_id=1483790402170547

Tuesday, September 1, 2015

Doa diangkat


Teks dan foto: Masayu Ahmad

Sepanjang dua tahun ini memang tegar juga kesabaran seorang ibu. Tetapi sejak beberapa bulan ini abe Hakim sudah jauh berubah. Tidak perlu lagi disuruh, dikejut terus bangkit. Minta tolong sangat ringan tulang. Malah mengasuh adik dan juga mandikan.
Suruhlah apa sahaja. Juga peningkatan dalam pembelajaran.
Barangkali doa ibu sudah diangkat. Gugur juga air mata melihat perubahan. Cabaran tidak mudah mendidik anak.

Tuesday, February 21, 2012

Surat dari abang Hakim

Teks: www.masayuahmad.com

Abang Hakim antara subjek kegemaran adalah matematik. Berilah buku latihan matematik, sekejap sahaja siap dan boleh fokus dengan baik. Tetapi tidak untuk bahasa, namun terima kasih abang Hakim kerana sudah lancar membaca BM dan BI, juga hafazan semakin baik.

Antara perkara yang perlu ibu ambil tahu dan ambil perhatian lebih ialah tulisannya yang tidak cantik. Tetapi ibu bangga sebab abang Hakim usahakan juga untuk tunjuk pada ibu tulisan abang semakin cantik. Terima kasih ibu ucapkan.

Hasil pujukan dan latihan, tulisan abang Hakim bertambah kemas berbanding dahulu.

Kegemarannya memang suka matematik, suka beli macam-macam di koperasi dan setiap hari bawa balik benda baru. Jadi sekarang, ingatan setiap hari agar abang Hakim tidak lagi beli barang-barang di koperasi.

Semalam abang ada beritahu ibu bahawa abang sudah jumpa pusat sumber, di situ ada banyak buku. Abang cakap mahu pinjam buku banyak-banyak. Hati ibu sudah gumbira mendengarnya.

                         Ibu juga sayang abang dan adik-adik. Nanti ibu beli kenali dunia pula.

Friday, February 11, 2011

Suanana kampung

Teks: Masayu Ahmad
Pic: penangbest.com



Sebetulnya belum mendaftar lagi tempat sekolah Hakim tahun hadapan. Semalam sebelah petang keluar meninjau beberapa lokasi sekolah untuk Hakim. Kedudukan rumah sekarang adalah laluan utama jalan besar ke KB, jadinya agak sibuk pada waktu pagi. Tiga sekolah di sebelah kiri berada kedudukan di tepi jalan utama. Saya melihatkan suanana agak sibu.

Jika ke kanan dan memasuki jalan raya biasa di sebelah kri, terasa nyaman suasana kampung, kesibukan yang biasa dan terasa tenang. Ada tali air dan jambatan kecil, tetapi masih boleh lalu lalang dua buah kereta yang berselisih.

Saya melihat tersergam sekolah rendah yang dikeliling kawasan padi. Suasana kampung yang menenangkan, memang sejuk dan nyaman ketika waktu pagi.

"Hakim suka dok sekolah ni?" Tanya saya.

" Suko, Hakim nok skoloh sini." Jawab Hakim.

"Ok." Saya mengesahkan.

Suasana yang tenang, itu persekitaran yang baik untuk Hakim kekal fokus. Tiada hiruk pikuk suasana sibuk. Persekitaran sekolah juga bersih dan cantik.

Thursday, March 11, 2010

Hakim penatlah, ibu bacalah sendiri

Salam hari Jumaat, penghulu segala hari, hari penuh keberkatan.

Sudah memasuki 12 Mac 2010. Pagi ini en.suami membelikan nasi kerabu bersama daging goreng kunyit. Sudah lama tidak makan nasi kerabu buatan sendiri. Walaupun di rumah saya punya jadual kerja agak padat.

Bermula April, jadual kerja berubah sekali lagi. Hakim, insya-Allah akan kembali ke sekolah. Disebabkan saya memberikan Hakim cuti. Suka-suka saya sahaja mahu beri cuti.

Apa tidaknya, sepanjang Januari dan Februari, masa kerja agak panjang kadangkala sehingga lewat malam. Jadi anak teruna tiga orang ini turut berjaga dengan gembiranya.

Terdapat beberapa kriteria yang saya perlukan dalam tempoh perkembangan Hakim sehingga habis masa 2010. Memandangkan Hakim seorang anak yang tidak boleh berterusan belajar secara kusyuk, jadi saya perlu pelbagaikan aktiviti.

Dia sudah boleh mengenal huruf dan nombor, menghafal dan mengingati surah-surah lazim dan pilihan. Ejaan juga perlu ditekankan. Hakim perlu ke sekolah kerana saya yakin di sana pengurusan dan sistem lebih baik buat dirinya.

Tinggal lagi saya hanya perlu menemaninya membuat latihan asas. Anak teruna ini memang banyak alasan jika dia tidak mahu belajar.

Ibu: Hakim kerja sekolah dah buat belum.

Hakim: Hakim penatlah bu, Hakim mahu rehat.

Ibu: Hakim dah siap belum.

Hakim: Dah siap, (sambil menunjukkan hanya beberapa huruf sahaja yang ditulis, belum siap lagi sebenarnya).  Ibu buatlah, Hakim penat nak rehat. (Amboi-amboi memang bijak cipta alasan)

Ibu: Kalau macam itu ibu tak nak beli lah robot (Ugus sahaja, tak pernah beli pun ;D)

Hakim: Ok lah, Hakim buat ya. (Dengan lajunya buat latihan)

Kadang-kadang sambil hafal surah,

"Ibu, Hakim dah penat, ibu bacalah sendiri," sambil mata terpejam dan mula merebahkan badan.

 Memang betullah, Tuan Hakim yang bijaksana.

Monday, January 11, 2010

Tersentuh hati ibu

Hakim

Hakim: Dik, sini dik, mari dekat abang. Meh abang riba adik (Aiman maksudnya)

Aiman: Tak nak!

Hakim: Meh lah abang riba.

Aiman membaringkan tubuh atas riba Hakim. Hakim mula mendodoi Aiman sambil menonton tv. Saya pura-pura tidak nampak namun dalam hati. Alahai anak, kalian buat hati ibu tersentuh.

Arif

Arif mengambilkan adinya segelas air. Kedudukan air memang boleh capai, bersebelah dengan rak gelas plastic.

Arif: Nak dik. Minum (sambil mengunjukkan segelas air masa)

Aiman: Dap, dap (sedap, sedap)

Arif: Minum dik (sambil dia menunggu dan melihat Aiman minum). Lalu mengambil semula bekas yang kosong.

Kemudian kedua-duanya bermain-main, berlari-lari.

Saturday, December 19, 2009

Nasi berlauk pembuka selera

Teks: Masayu Ahmad

Foto:http://media.photobucket.com



Foto:http://jilc-makassar.com

Bismillahirrahmanirrahim,

Salam hari Sabtu 19 Disember 2009 bersamaan 2 Muharam 1431.

Segar udara pagi ini, angin sepoi-sepoi sampai ke bilik saya. Usai solat subuh tadi, saya buka luas-luas pintu utama. Agar masuk segala nikmat Allah bersama rezeki. Sudah fikir semalam hari ini mahu masak nasi berlauk. Bukan ikan tongkol tetapi gulai ikan kembung. En.suami yang minta, sebab saya dah lama tak masak gulai ikan kelantan.

Jadinya semalam segala bahan sudah en.suami beli. Cili padi pun sudah dibuat stok dua minggu, dalam satu bekas besar. Memanglah en.suami kurang seleranya kalau tak ada cili padi atau sambal lada panggilan Kelantannya. Stok kopi radix tidak ada, jadi hanya teh o panas sahaja. Kuih hari ini, saya buat lagi kuih bakar untuk kanak-kanak riang. Memang sangat suka, petang semalam sekejap sahaja habis diangkut Hakim, Arif dan Aiman. Malam tadi minta lagi. Mintalah nak, mudah sahaja nanti ibu buat lagi. Bukan minta emas permata pun, minta kuih bakar sahaja. Alhamdulillah.

Jadual sepanjang tahun

Saya tidak kemana-mana, jadual kerja sangatlah tidak membenarkan saya ke mana-mana. Alhamdulillah saya masih komited dengan keadaan ini. Insya-Allah tahun ini semoga saya tidak dibelengu sifat malas, lebih bersemangat dan bermotivasi. Sekitar Januari ada 2 seminar yang besar dan 1 kursus yang perlu saya sertai. Ianya sangat penting dalam kelansungan karier saya. Salah satu seminar itu, memang saya tangguh dari beberapa bulan yang lepas, memang ada sahaja aral yang datang. Tetapi tidak mengapa, tengok nanti kalau ada kelapangan dan peluang.



Hari Isnin, 21 hb pada sebelah petang, ada satu sesi perbincangan juga dan perlu ke Kota Damansara. Saya akan bawa bersama kanak-kanak riang. Pastinya mereka gembira sebab boleh jalan-jalan. Saya akan tinggalkan mereka sekejap di rumah adik, kemudian akan memecut dengan laju ke destinasi.

Hari Rabu 23, hb saya ada satu lagi mesyuarat/perbincangan. Perbincangan ini berlangsung sekitar 10 pagi, jadi kanak-kanak riang akan transit sekejap di mana-mana pusat jagaan. Sekejap sahaja jam 8 hingga 12 tengahari. Mereka mungkin akan menangis sekejap, selepas itu ok sahaja. Beginila jadual saya sekiranya ada apa-apa urusan yang berlangsung pada hari bekerja, tetapi sekiranya hujung minggu, ayahnya lah yang mengambil giliran.

Apa yang saya sibuk-sibukkan ya? Agak-agak boleh teka tidak? Sampai masanya saya akan terangkan satu persatu kisah di sebalik tabir ini. Selebihnya saya suka agar kalin membuat andaian sendiri. Tetapi itulah jadual bagi wanita yang bekerja di rumah seperti saya. Sibuk juga tetapi sibuk yang boleh diurus. Sibuk juga, tetapi keluarga tetap menjadi perkara yang paling diutamakan. Apa yang pasti saya gembira dengan keadaan ini dan ini adalah pilihan muktamad saya. Keluarga dan karier, kedua-duanya penting tetapi apa yang lebih penting kepuasan.

Perkembangan anak-anak


Saya sudah mula menyimpan sebahagian mainan. Penat saya mengemas dan sudah menjumpai teori saya sendiri berdasarkan permerhatian dan keadaan anak-anak sehari-hari. Saya memutuskan hanya tiga jenis permainan satu hari. Boleh pilih mengikut kesesuaian.

Pagi hari sebelum kanak-kanak riang bangun saya perlu menyiapakan dahulu apa yang patut seperti memasak dan mengemas. Apabila mereka bangun mereka akan segera mengacau saya. Jadi disebabkan waktu pagi adalah waktu terbaik untuk fokus, saya biarkan sahaja monitor dengan siaran http://www.starfall.com./ Ini menjadi satu kelaziman setiap hari. Hakim akan menguasai tetikus (mouse spec), jadinya dia juga akan melakukan dua paparan pada skrin. Satu boleh tengok upin dan ipin dan satu lagi sambil belajar di starfall. Memanglah kanak-kanak di zaman siber sangat cepat penaakulannya. Perhati dan buat. Salah satu aktiviti yang saya sembunyikan dari Hakim, bagaiman simpanan semua bahan-bahan saya, kalau tidak. Habislah ;D.

Apa tidaknya selepas saya bangun dari duduk, dia akan menyambung.
“Ibu pergi, Hakim nak buat kerja.” Sambil tangannya dengan laju mengetik-ngetik keyboard, kononya sedang menulis dan berfikir dengan pantasnya.

Aduhai anakku sememangnya pemerhatian mu sangat tajam dan peka.

Dia sudah tahu mencari starfall melalui internet explorer, tidak perlu tulis, sebab disitu sudah ada tertulis starfall. Kemudiannya hanya perlu ‘klik’ sahaja.

Jika tidak dia buka sahaja pada laman web naufal, memang sudah ada capaian di situ.

Anak-anak suka memerhati dan pastikan pemerhatiannya terarah pada sesuatu yang positif kerana mereka akan mengaplikasinya dengan pantas sekali.

Kini Aiman mula menguasai komputer utama. Sangatlah marah kalau saya cuba-cuba mahu tunjuk.

“Tok leh.” Sambil mulutnya yang muncung dan pipinya yang temban. Marah kalau saya cuba tunjuk macamana mahu gerak-gerak mouse dan klik. Dia sudah pandai klik tetapi gerakan mouse itu masih kurang tetap dan fokus. Ke sana dan ke sini dan tidak terkena pada sasaran. Jika tidak dia akam panggil semula ibu.
“Bu, bu, tok leh, tok leh.” Si pipi tembam ini akan memanggil-manggil saya kerana dia tidak berjaya. Ibu segera berkejaran sebab tahu nanti pipi tembam ini akan bising dan mula menangis.
Arif sepenuhnya sudah berdikari, sudah tahu memilih yang mana dia suka dan tidak. Jika tiada Hakim, maka Arif akan mengemudi komputer utama bersama Aiman setia di sisi.

Selepas boring tengok upin dan ipin dan starfall. Mereka akan bergerak keluar melihat tv dan sambil itu akan sambung membuat sambungan ABC. Petak-petak ABC yang warna-warni yang besar-besar itu memang saya sengaja beli. Selain melatih kreativiti ianya juga memudahkan mereka mengenal ABC.
Petak-petak ABC itu ada yang dibuat bentuk empat segi besar, buat jejantas yang panjang, ada juga bentuk zip zap dan mengikut kreativiti mereka. Petak-petak ABC ini akan berada banyak lokasi, jika saya naik ke atas, semua sekali akan di bawa bersama. Jika solat di bilik utama, juga akan dibawa bersama. Akan disambung-sambung keliling kaki katil. Sesudah siap mereka bertiga akan merosakkan sambungan petak yang sudah siap, dengan kiraan 1,2,3. Dengarlah gelak ketawa kanak-kanak riang.
Alif Ba Ta


Kebetulan juga pc lama saya ketika di univerisiti dulu masih boleh dipakai. Jadi en.suami melatakkan di ruang bersebelahan bilik utama. Pada waktu makgrib memudahkan saya solat, kanak-kanak riang akan menyanyi-nyanyi alif ba ta bersama muzik. Jadi tidak akan mengganggu saya. Sangat mujarab.

Barani tanpa gagal
Waktu petang atau pagi, mereka akan bermain-main basikal di laman, melompat, memanjat jeriji besi. Sudah namanya anak-anak lelaki memang lah lasak. Ada satu hari tu, saya kusyuk di dapur, Sudah siap sepinggan keropok goreng, saya bentangkan tikar di laman depan, mereka akan bersila dan makan seperti berkelah. 10 minit kemudian tidak ada.

Rupanya, sangat cantik. Hakim bersila bersama Arif menjamu selera di atas bumbung kereta. ;D, Mahu marah jadinya saya rasa mahu gelak. Tapi saya tahan-tahan ketawa, nanti Hakim ingat saya tak marah. Siap bekas air semua di bawa naik. Mereka panjat melalui bahagian depan kereta, kerusi dijadikan alas pemijak. Alahai anakku gelagat kalian menduga sabar ibu.
Salam penuh kasih sayang

I am not afraid of storms, for I'am learning to sail my ship -LM Alcott-

Wednesday, December 2, 2009

Ibu tak payah kerja!

Teks: Masayu Ahmad

Selalunya melayan kanak-kanak riang di rumah ni perlukan kesabaran dan daya ketahanan. Memang perlu bersedia fizikal dan mental. Anak-anak selalu merengek-rengek kalau saya mula duduk dan mengadap komputer

Hakim: Ibu tak payah kerja, turun bawah. Sama-sama teman Hakim.

Ibu: Mana boleh, ibu kena kerja.

Hakim: Tak payah kerja.

Ibu: Nanti nak beli coklat. Hakim nak coklat tak.

Hakim: Ok!


Aiman biasanya akan terkedek-kedek. Mula-mula duduk atas riba. Kemudian sambil jari halusnya menekan-nekan key board. Lama boring, dia akan bangun dan main ciku cak. Rupanya Arif ada di belakang saya. Aiman mula lasak, kejap atas riba, turun naik. Kalau saya letak. Dia akan memberontak dan marah. Kadang-kadang kenalah pangku sampai Aiman tidur.

Kadang-kadang.

Aiman: Ibu nak jie. Mulutnya muncung sambil bercakap. Tanganya mula menarik-narik tangan saya.

Aiman: Ibu nak jie, nak jie ( Ibu nak pegi, pegi main kat luar maksudnya)

Jom, jom nak jie bu.

Lepas saya bawa keluar dan layan main basikal. Mereka bertiga akan asyik sekejap. Selepas kelibat hilang semua akan cari. Ibu! Ibu! Ibu! Semua berteriak cari ibu. Macam anak itik kehilangan ibu gayanya.

Aiseh ibu mahu sambung kerja tak jadi lagi.

Hakim: Ibu Hakim nak kek coklat.
Arif: Ibu, Alim nak air bes ( Arif nak air best, air perisa rosell)
Aiman: Bu, nak air.

Mereka bertiga saja je. Memang pandai kalau tak mahu saya sambung kerja atau naik ke atas. Ada sahaja cara untuk melengah-lengahkan masa.

Saturday, November 28, 2009

Selamat Ulangtahun Naufal Hakim



Caption: Selepas beberapa jam kelahiran.

Hakim sudah 4 Tahun

Bismillahirrahmanirrahim

Naufal maksudnya ketenangan, Hakim, kebijaksanaan dan kecerdasaan. Semoga dalam apa sahaja situasi, Hakim sentiasa tenang, sabar dan rasional. Bijaksana dalam menangani permasalahan, cabaran kehidupan, cintakan ilmu pengetahuan, dalami ilmu agama, menjadi contoh kepada adik-adik.

Catatan sekarang 9.51, hanya beberapa jam sahaja lagi menunggu kelahiran Hakim. Pada malam terakhir sebelum kelahiran, saya tidak mengalami apa-apa tanda. Tidur seperti biasa, cumanya perut semakin sendat.

Mengiring sebelah kanan salah, sebelah kiri salah. Semakin terasa tidak kena. Kontraksi awal dalam jam 9 hingga 10 malam. Saya rasa itu adalah permulaan sakit. Tiada tanda-tanda. Tetapi saya lelapkan mata juga, rasanya masih awal lagi.

Saya hanya tidur-tidur ayam. Sehingga jam menginjak 3 pagi, rasanya kontraksi sudah kerap 10 minit. Saya mengejutkan suami. Disebabkan kelahiran sulung perlu lebih bersedia. Saya menunggu suami mandi. Sambil itu keadaan tenang sahaja. Suami memandu perlahan menuju Pusrawi . Masa itu Pusrawi masih beroperasi di Jalan Ipoh.

Saya menjalani proses biasa sebelum masuk ke bilik bersalin. Jururawat memberikan saya persalinan. Saya sudah semakin tidak selesa, kerana lendir sudah keluar dan basah. Namun kontraksi masih di peringkat awal. Sangat tidak selesa, dan saya minta persalinan lain. Jururawat memberitahu, itu perkara biasa.

Jururawat membuat panggilan doktor yang bertugas.Doktor Asmah tiba pada jam 4 pagi.

Doktor: Sakit Mas, tak apa sekejap lagi doktor periksa. Sabar ya.

Lembutnya suara doktor. Saya sangat malu sebenarnya ketika diperiksa. Walaupun doktor perempuan, perasaan masih lagi seperti anak dara. Teringat juga masa melahirkan Arif, ketika mahu diperiksa, saya merapatkan paha saya. Doktor bertanya, kelahiran pertama ke?

Saya hanya senyum sahaja. Masih kekok walau kali ke-dua. Perasaan malu tu agak menebal, walaupun doktor perempuan. Saya hanya pejamkan mata sahaja.

Selepas pemeriksaan, beliau mencadangkan saya menjalani proses pembedahan kerana najis bayi sudah keluar. Saya terpinga-pinga, cepat sungguh.

En. Suami menghantar saya, selesai memohon maaf, saya dihantar sehingga pintu bilik bedah. Saya dibius separuh badan. Hanya bahagian badan ke bawah sahaja yang dibius. Mata saya buntang sahaja. Semasa operasi berlangsung saya mendengar coleteh doktor yang berbual-bual sambil bekerja. Seketika rasa gatal bahagian pipi. Jururawat membantu mengosok pipi saya, agar hilang gatal. Alahai

Seketika kemudian kedengaran azan subuh. Terdengar suara bayi menyambut azan. Hakim lahir lebihkurang 5 pagi pada 29 Disember 2005.

Alhamdulillah. Tanpa melalui proses yang tidak rumit. Hanya selepas beberapa hari barulah saya tahu betapa menjalani pantang bagi ibu bersalin cara pembedahan lebih rumit dan teliti. Untuk kali ke-dua saya bertekad untuk bersalin secara normal.
Malam ini atau esok, mahu buat kek coklat kegemaran Hakim

Selamat Ulangtahun Anakanda

Moga menjadi anak yang soleh
Mendoakan kesejahteraan ibu & ayah di dunia dan akhirat

Sunday, October 25, 2009

Hakim, Arif & Aiman usia 1 tahun

Teks & Foto: Masayu Ahmad

Alhamdulillah hari ini, Hakim sudah 90 peratus pulih sepenuhnya. Tetap hari ini saya bagi cuti, tidak perlu ke sekolah. Biar Hakim rehat sepenuhnya.

Aiman di usia 1 tahun



Sungguh cepat masa berlalu. Biasanya jika anak sudah usia setahun, ada lagi dalam perut yang bersedia untuk keluar. Bertuah Aiman dapat berstatus bongsu agak lama.

Arif 1 Tahun



Arif ketika kecil gebu dan putih melepak. Badannya agak besar jika dibandingkan dengan usia. Kanak-kanaknya seusianya sekarang badan sama besar dengan Aiman, tetapi sebenarnya sama umur dengan Arif. Umur Arif seusia dengan tempoh kami berpindah ke rumah baru. Selepas pantang, saya tinggal di Hulu Langat rumah sendiri.

Hakim 1 Tahun



Abang Long yang periang, peramah dan lasak. Tidak boleh duduk diam kalau tidak menyakat adik-adik. Gambar ini diambil ketika saya bawa Hakim bersiar-siar di taman permainan dekat sahaja dengan rumah.

Saturday, October 24, 2009

Jam 1 pagi hingga 5 pagi di wad kecemasan 251009

Teks: Masayu Ahmad

Petang Sabtu selepas pulang dari melawat biras di Klang kami bertolak pulang selepas maghrib. Hakim masih lagi kelihatan cergas dan aktif. Tetapi sudah ada batuk-batuk kecil kedengaran.

Singgah sebentar mengisi perut, tomyam, udang tepung dan telur dadar. Hakim masih berselera makan. Hakim sudah ada bunyi-bunyi yang kurang menyenangkan.

Sampai di rumah, agaknya semua keletihan Hakim terus tidur. Jam 1 pagi sudah bunyi batuk. Kedengaran seperti kong…kong…kong. Dadanya berombak sempit.

Kami sudah bingkas bangun, mencari pelega (inhaler) penghidap asma. Masih tidak berkesan. Muntah mengeluarkan cair kahak tidak henti-henti. Naluri saya tidak puas hati, mahu segera ke hospital.

Sudah lama sebenarnya Hakim tidak diserang Asma. Hampir setahun, sejak saya berada di rumah.

Mulanya takut juga mahu memandu jam 1 pagi. Kereta masih ada lalu lalang. Maklumlah laluan Bukit Langat malam-malam begini. Selepas itu saya bertekad semula mahu bawa Hakim, sebelum itu suruh en.suami pergi. Kemudiannya berubah keputusan. Rupanya jalan masih meriah, malam minggu puncak Bukit Langat ( Look Out Point), laluan pintas dari Ampang ke Hulu Langat Sungai Congkat masih penuh dengan muda-mudi yang menikmati pemandangan di puncak bukit.

Bukan tidak biasa sebenarnya, bawa anak-anak pergi wad kecemasan malam-malam buta. Pernah juga bawa dalam hujan renyai-renyai bawa si kecil Aiman. Masa tu Hakim sudah ada di hospital. En. Suami temankan Hakim di hospital. Saya pulang melihat si kecil di rumah. Bertukar giliran. Disebabkan saya berada seminggu di Hospital, Aiman demam rindu, sampaikan kena tahan wad. Nasib baik satu bilik, katil sebelah-menyebelah.

Ok. Kita sambung cerita malam tadi. Kami tiba di wad kecemasan. Pembantu perubatan, tanpa banyak soal terus membawa Hakim mendapatkan nebulizer. Di situ sudah ada seorang nenek juga kepenatan kerana semput.

Kali ini agak mudah, Hakim sudah besar hanya memakai sahaja corong sebagaimana pernah dipakainya. Selepas 20 minit sudah nampak lega. Bagi lagi nebulizer untuk kali ke-dua.

Seorang doktor perempuan datang memeriksa. Memberitahu, nampak gaya Hakim kena tahan wad. Naluri saya, tidak perlu tahan wad masih boleh diberi rawatan di rumah. Memang betul selepas x-ray, doktor beri ubat.

Biasanya saya sudah boleh mengagak dari awal sama ada Hakim akan kena tahan wad atau tidak. Sudah banyak kali situasi masuk wad, jadi jangkaann saya memang betul. Naluri ibu, mungkin.

Alasan lain dalam kepala ketika itu, siapa pula nak menjaga dua orang lagi kanak-kanak riang di rumah. Jadinya selepas selesai, Hakim nampak sudah lega dan boleh berborak-borak. Matanya kembali bunting (celik), melihat panorama jalan raya. Orang sakit yang segar-bugar bila keluar bersiar-siar. Kami tiba di rumah jam 5 pagi.

Wednesday, August 26, 2009

Hakim mahu ke sekolah, ibu!

Teks: Masayu Ahmad

Sudah beberapa hari sekolah bercuti. Rutin biasa saya perlu bekejar waktu menghantar Hakim ke sekolah. Tidak sesukar mana mahu mengejutkan Hakim.

“Hakim bangun, mandi. Budah bijak kena pergi sekolah.”

Hakim akan mula menggerak-gerakkan badan, tetapi mata masih tertutup rapat.

“Hakim, bangun sudah lambat,” suara ibu sudah semakin lantang.

“Hakim, bangun mandi!” suara ibu sudah mula keras.

Ada pelbagai reaksi. Ibu akan mengeletek kaki, lalu Hakim bangun dan terus ke bilik air. Atau pun ibu perlu mendukung Hakim. Paling tidak Hakim akan memberi alasan mahu tidur lagi.

“Mengantuklah ibu, Hakim nak tidur,” lalu memejamkan semula mata.

Sejak bercuti Hakim rasa lain sebab tiada kedengaran suara merdu ibu melaung-laung agar dia segera bangun.

Pagi ini Hakim bangun tanpa dikejutkan.

“Ibu, Hakim mahu school,” bersemangat mahu ke sekolah padahal masih bercuti.

“Ok, pergi mandi,” arah ibu supaya Hakim mandi pagi tidak perlu sambung tidur. Hari ini Hakim perlu menyiapkan kerja sekolah.

“Hakim nak pergi school. Mana baju,”

“Sekolah cuti lagi.”

Kepala tunduk, air mata mula mengalir. Hakim menangis lagi niat mahu ke sekolah terpaksa diterima, kerana sekolah masih bercuti.

Tuesday, August 25, 2009

Hakim dah besar tak payah pakai pampers

Teks: Masayu Ahmad

Mungkin Hakim diketegorikan lambat juga daripada bebas pakai lampin. Tetapi saya akui tidak terlalu mendisplinkannya. Saya cuba sesuaikan Hakim dengan ingatan setiap kali pakai pampers.

“Hakim dah besar tak payah pakai pampers,” itulah ayat setiap kali memakaikan Hakim pampers.

Siang tadi selepas mandi. Hakim memegang saya lalu berkata.

“Ibu, Hakim dah besar tak payah pakai pampers.”

Akhirnya. Itulah jawapan dan ayat yang saya tunggu selama ini. Dalam beberapa hari ini Hakim lebih suka berbogel. Mudah baginya keluar masuk tandas kalau mahu kencing atau buang air besar.

Saya tidak terlalu mahu memberi kekerasan, memandangkan ada satu kejadian, saya memarahinya. Dalam keadaan tidak berlapik, Hakim terkencing. Jadinya saya memantau perkembangan tidak memakai pampers mengikut kehendaknya.

Cara membasuhnya juga sudah betul, jadi saya sudah cukup puas hati.

Saya akan meneruskan untuk Arif pula, setiap kali pakai pampers akan beri ingatan.

“Kalau mahu kencing kat mana?” Soalan ingatan.

“Toilet!” jawapan yang sudah serasi.

Friday, August 7, 2009

Diari Naufal Hakim

Teks: Masayu Ahmad

Sekejap sungguh masa berlalu, hari ini sudah Jumaat kembali. Esok sudah hujung minggu, tidak tahu lagi malam ini mahu pergi aerobik atau tidak, memandangkan puasa hari ini (alasan sungguh).

Hari ini Hakim pulang jam 12 tengahari, tidaklah saya tahu anak bujang pulang. Melaung-laung Hakim panggil ibu yang berada di tingkat atas. Biasanya jam 3 petang saya sudah menunggu kepulangan anak teruna ini. Nasib suara Hakim kuat dan nyaring. Rupanya hari Jumaat hanya sehingga 12 tengahari sahaja, mungkin saya kurang periksa risalah sekolah. Nota ingatan untuk diri sendiri.

Seperti biasa, agak kepenatan, saya memberikan dia susu suam. Kemudian bancuh jus mangga, letak sekejap di dalam tempat sejuk beku. Agaknya sangat dahaga, memandangkan cuaca agak panas juga.

Setengah jam kemudian saya berikan Hakim jus yang sudah sejuk. Lega nampaknya. Kemudian saya meneruskan rutin kerja, nampak Hakim senyap sahaja. Rupanya sudah tergolek di atas katil, lena. Alahai.

Arif dan Aiman juga baru bangun tidur dikacaunya si abang. Balas dendam agaknya, sebabnya masa Hakim pulang tadi budak berdua ini lena tidur di sofa ruang tamu.

Hakim pulang terus kejutkan Aiman dan Arif. Apalagi melalaklah si Arif yang sudah sedia manja. Aiman macam biasa masih tidur tertonggeng, mata ala-ala mamai, tetapi Aiman tak kisah apa yang berlaku sekeliling. Sambung tidur balik.

Sunday, August 2, 2009

Hakim mula sekolah hari ini



Teks: Masayu Ahmad

Alhamdulillah, hari ini persekolahan Hakim bermula semula setelah berehat hampir tujuh bulan. Tahfiz Sg. Serai. Seawal 6.45 pagi kami sudah bergerak, Aiman si kecik sudah bangun, jadinya ikut sekali. Pagi hari membelah subuh, jalan yang masih tidak sibuk, saya memandu tenang.

Pagi tadi menangis juga dikejutkan 6.30 pagi untuk bangun mandi. Tak nak pakai baju. Kemudian apabila tengok saya bersiap dan pakai tudung. Mula rasa lain.

Ambil stoking pakai, baru mahu pakai baju melayu berwarna putih, ambil beg terus sarung di belakang. Sudah tidak sabar lagi mahu ke sekolah.

Hakim sungguh teruja dengan suasana baru. Disebabkan sampai awal, kami menunggu seketika. Selepas ada ustazah datang, pintu kelas dibuka. Hakim macam tidak sabar terus meluru keluar. Masuk dalam kelas dan ambil tempat duduk. Sebelum itu siap menyangkut begnya di belakang kerusi.

"Ibu baliklah," alahai seronok sampai suruh ibu balik cepat. Kononnya sudah berdikari lah tu. Sejuk hati melihat gelagatnya.


Foto: Cik google

Antara subjek yang diajar, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Seni, Matematik, Solat Dhuha berjemaah, Al-Quran dan Solat Zuhur berjemaah.

Semoga Hakim terang hati dalam menerima ilmu. Insya-Allah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin