Showing posts with label Ayahanda. Show all posts
Showing posts with label Ayahanda. Show all posts

Saturday, May 20, 2017

Tok ayah

Ammar 3 tahun
Arissa 7 tahun

Muara sungai tempat ibu bermain.

Sudah jauh berubah wajah.

Dulu perlu naik menggunakan ceracak buluh atau batang kelapa yang dijadikan titi.

Usai petang ibu girang ke muara sungai,
Menanti tok ayah pulang,
Membawa muatan,
Itulah kenangan tak akan terpadam.
Bangsal ini usianya sudah puluhan tahun.

Tuesday, June 12, 2012

Meniti senja




Teks: Masayu Ahmad

Jam sekarang 7.53 pagi, kanak-kanak riang masih lena tidur, Arissa, Aiman dan Arif. Hakim sudah ke sekolah. Rutin pagi ini mengerakan urusan lipat kain. Sudah selesai. Alhamdulillah.

Ketika awal membina rumah tangga, kita selalu membayangkan semua mahu sempurna dan selesa. Mahu rumah besar, lapang untuk anak-anak bermain, dapur besar untuk memasak dan banyak lagi. Ia semua bicara atas kehendak kita.

Iktibar dari pengalaman

Saya ingin menyorot kembali seorang warga emas, yang mahu menjual banglonya yang besar, mempunyai lima bilik, ada dua rumah berasiangan satu dapur basah dan satu lagi kediaman bilik, parkir yang luas dan halaman yang luas.

Masuk ke dalam rumahnya tersergam cantik. Tetapi itu semua tinggal kenangan. Anak-anak semua sudah berjaya dan sukses, masing-masing sudah mempunyai kediaman sendiri. Kini, tinggallah warga emas itu bersama isteri baru. Isteri muda itu adalah seorang yatim.

Banglo itu mahu dijual atas dasar, mudah jika sekiranya dia sudah tiada lagi. Apabila dijual kelak banglo tersebut, dia dan isteri akan berpindah di rumah yang lebih kecil hanya tiga bilik dan kediaman yang lebih sederhana. Ia lebih sesuai kediman ketika di hujung usia.

Kita, ketika muda-mua begini mahu yang besar dan wang yang banyak sahaja. Semalam ketika saya singgah di sebuah kedai buku, saya mencapai sebuah buku bertajuk urus harta sebelum kematian. Banyak perkara yang dikongsi dan ia sangat bersesuaian untuk dibaca dan difahami. Sangat penting untuk urus sebaik mungkin, agar tidak ada pergaduahan kelak. Si mati sudah dikuburkan, harta pula yang menjadi perbalahan.

Kehidupan di kala senja

Apabila usia, sudah merangkak ke asar, kemudian magrib dan isyak, tidak dapat tidak perlu menghitung apa  bekalan yang akan dibawa kelak. Kita selalu sahaja sibuk dengan aktiviti mencari wang, wang,wang, tetapi keseimbangan hal-hal lain juga perlu diambil kira.

Kehidupan yang sederhana mungkin lebih bermakna. Saya suka melihat ayahanda dan arwah emak, pagi dan petang bergendong motosikal ke masjid. Sebelum subuh bunyi motor dan ia menjadi peneman halwa telinga sehingga tidak lagi kedengaran enjin motor. Usai pulang masjid, selalunya bersarapan bersama. Jika tidak mereka akan singgah di kedai makan mok cik mek di tepi sungai, dan kemudiannya menghabiskan masa di pesisir pantai. Aduhai memang rapat mereka berdua. Berbonceng motor ke sana ke mari.

Saya suka suanana pagi begitu, dan sudah tentu sekali ayahanda. Saya suka, ayah seorang yang setia, tidak lagi emak selain arwah. Memang setia. Cerita ini terakam dalam memori tatkala ayahanda bercerita.

Apa yang paling penting, ayahanda berdoa ketika berada di depan kaabah.

"Tunggu aku kiah (rokiah) di pintu syurga," saya membayangkan berjujuran air mata ayahanda ketika mendoakan demikan. Apatah lagi ketika berkongsi cerita, terlihat jelas sorok rindu akan arwah isteri tercinta.

Betapa beruntungnya arwah kerana ayah begitu sayang dan sentiasa rindu akan masa lalu. Betapa untungnya juga kerana dia lah satu dan terakhir. Untungnya arwah, pemergiaan juga atas redha seorang suami dan segala-galanya dilepaskan baik oleh ayahanda.

Aduhai, saya sebagai anak masih berusaha menutup kekurangan yang ada. Berusaha membantu mengisi kekosongan dan kesunyian ayahanad sebaik mungkin, walaupun kadangkala saya akur ada keterbatasan waktu dan kudrat, tetapi kepada Allah jua saya bermohon dan berhajat.

Salam kasih sayang

Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, angkatlah darjatku, berikan aku rezeki yang halal lagi berkat, berilah aku petunjuk, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku.


Jemput singgah kedai buku online saya ;D
http://www.facebook.com/KedaiBukuOnlineDotCom

Friday, April 13, 2012

Minggu yang tenang

Teks: Masayu Ahmad

Untuk tahun 2012, hari ini rasanya rehat yang paling nikmat. Tidur di tengahari pada waktu cuti hujung minggu. Kebetulan adik ipar dan kakak ipar pulang, Jadi rumah mertua meriah. Sehari sebelum itu, pada cuti pertabalan Agung, saya pulang untuk melihat rumah ayah.

Ayah selamat kembali dengan keadaan sihat dan suara yang ceria sekali.
Ini langkah ketika keluar dan mencari adik. Anggapan pertama adik, agaknya ayah akan berkerusi roda. Rupanya jalannya laju, lebih cergas berbanding hari dia bertolak ke sana.

Saya menelefon, dari sini dan ada getar dari suaranya.

"Alhamdulillah ayah sihat, semua boleh dilakukan dengan sempurna, badan juga makin sihat" kata-katanya itu berselang air mata kesyukuran.

Alhamdulillah, inilah wajah kesayangan saya. Baki usia walau ayah mahupun saya, saya usahakan yang terbaik agar hari-hari tuanya lebih bermakna. Moga ayah diberikan kesihatan dan keberkatan dalam kehidupan.

Rindu lagi pada ayahanda kerana masih berada di Penang di rumah abang, mungkin Selasa baru pulang ke sini.

Thursday, March 22, 2012

kisah dan kehidupan


Apabila wajah tua ini senyum ceria, sudah boleh bangun, makanya anaknya ini hatinya kembali tenang. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Usai pagi tadi menguruskan urusan untuk ayah. Katanya mahu singgah lokasi 'dating' bersama arwah emak, setiap kali pulang dari hospital atau dari Kota Bharu.

Nasi Sup Jalan Hospital

Oh, memang sedap. Lokasinya strategik dan berada di bawah pokok ketapang yang rendang. Dua mangkuk nasi sup dan dua gelas air kelapa muda. Juga ada 'pulut lepo' atau pulut bakar kata orang KL. Jadi kenyanglah saya. Sambil makan dan wajah ceria ayahanda membuatkan hati saya juga ceria.

Friday, February 5, 2010

Bisikan naluri selalunya tepat

Teks: Masayu Ahmad

Sejak dua menjak ini, hati saya selalu teringatkan ayahanda di kampung. Selalu mendesak-desak supaya sentiasa pulang ke kampung. Doa saya seusai solat, moga dipanjangkan usia ayah, agar saya masih berkesempatan untuk berbakti.

Ditambah pula ingatan semasa pulang ke kampung beberapa bulan yang lalu, melihat keuzurannya, sebenarnya membuatkan saya tidak sampai hati. Melihat ayah berjalan tidak secergas dulu, dan raut wajahnya menafsirkan banyak perkara. Saya sangat faham akan keadaannya. Saya selalu berfikir, apalah daya seorang anak yang tidak mampu membahagiakan orang tua. Saya akui kelemahan yang ada.

Apakan daya saya. sebagai seorang isteri yang punya tanggungjawab di sini. Saya selalu memikirkan bagaimanan cara  memujuk ayah agar tinggal sahaja di sini. Biarlah saya sahaja menjaga. Lantaran dulu saya sangat kempunan menjaga emak, hati sememangnya sangat kecewa.

Melihatkan ayah, keadaan uzurnya semakin tidak konsisten. Ditambah semula semalam adik menyatakan ayah demam seminggu dan aktiviti ke masjid sudah tidak lagi dapat diikuti. Hati saya semakin lara. Hanya telefon dan celoteh kanak-kanak riang bertanya khabar datuk mereka, memberi sedikit ruang kegembiraan.

Pun begitu mungkin juga dia gembira kerana suasana di kampung dan jemaah masjid yang sentiasa meriah, itulah sahaja penawarnya. Namun saya dapat merasakan ada kekurangan dan dapat merasakan kesunyian ayah sejak pemergian arwah.

Beberapa minggu sudah, saya selalu berfikir dan naluri untuk menjaga ayah dirasakan cukup kuat. Saya sampaikan melalui adik bongsu agar memujuk ayah tinggal bersama saya.

Semalam adik menyampaikan berita tawaran pengajian di UITM. Alhamdulillah seolah-olah naluri saya direstui dan dimakbulkan

Melalui facebook, adik memberitahu ayah bersetuju tinggal bersama saya. Air mata saya jatuh mendengar persetujuan ayahanda. Biarpun saya ini banyak kekurangan, saya cuba sebaiknya menjadi anak yang baik.

Cuba memasak makanan kegemarannya walau tidak setanding arwah. Saya berdoa diberikan kesihatan yang baik agar dapat menyempurnakan khidmat bakti buah ayahanda. Sangat bersyukur dan berterima kasih atas persetujuan en.suami akan hasrat saya ini. Saya sedang merancang beberapa aktiviti agar ayahanda tidak cepat bosan berada di sini. Insya-Allah, semoga saya dipermudahkan.

Sunday, November 8, 2009

Riwayat Jari Telunjuk & Ikan ‘Kitey’

Teks: Masayu Ahmad
Foto: Mohd Yusran Ahmad aka sere senok (diambil dari koleksi facebook)


Jari ini sudah selamat dipotong semalam.


Duri ikan yang memberi kesan pada jari ayahanda

Salam hari Isnin buat pengunjung blog ini. Lebih kurang jam 1 pagi semalam baru sahaja sampai bersama kanak-kanak riang. Ketika tiba di sini, sudah mendapat berita ayahanda sudah selamat menjalani sesi pembedahan membuang jari telunjuk yang sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Kronologi ceritanya, ayah terkena duri ikan (ikan kitey). Jika sebelum ini terkena duri ikan adalah perkara biasa, kali ini membawa mudarat pula. Ayah cuba mencucuk jarinya yang bengkak menggunakan jarum untuk mengeluarkan nanah. Akibatnya kuman menular ke seluruh jari dan meninggalkan kesan membengkak dan bernanah. Mungkin juga imuniti tubuh yang semakin berkurangan disebabkan faktor usia.

Pada mulanya ayah mengandaikan mungkin boleh pulih seperti biasa, tetapi bengkak dan nanah semakin merebak. Doktor membuat kata putus untuk memotong jari tersebut, bimbang jika ianya berlarutan pada bahagain tangan yang lain.

Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang terlalu mudarat. Ramai rakan taulan yang bertanyakan, adakah ayah mempunyai penyakit kencing manis. Ayahanda diberi anugerah kesihatan yang baik setakat ini. Boleh dikatakan dikategorikan warga emas yang sihat dan menjalani gaya hidup sihat. Tidak mengalami apa-apa penyakit kronik. Sebelum ini pun hanya demam biasa-biasa sahaja.



Ikan tersebut selamat saya goreng untuk hidangan tengahari. Juga disajikan dengan menu sayur lemak bayam bersama ubi, budu, ulaman dan ikan gelama kering. Tamatlah riwayat ikan 'kitey' yang meragut hayat jari telunjuk ayahanda tersayang

Terima kasih buat Puteri Arora yang bertungkus lumus menjaga ayah. Walaupun Puteri Arora ‘sangat istimewa’ pada pandangan kami adik beradik, tetapi jasanya sangat dihargai oleh kami. Budi bicaranya yang lemah lembut, ditambah pula dengan penat lelah menjaga ayah sememangnya kami menghargai.

Anak-anak lelaki bergilir-gilir menjaga ayah siang dan malam. Hanya saya sahaja tidak dapat melunaskan tanggungjawab menjaga ayah di ward, disebabkan kanak-kanak riang yang sangat aktif dan sukar dijaga oleh sesiapa.

Saya sangat berharap saya diberi luang masa yang lebih lama untuk memberi khidmat bakti pada ayahanda. Jauh di sudut hati saya sendiri amat terkilan kerana tidak dapat menemani ayah di ward. Hanya sempat menziarah ketika waktu melawat dan membawa kanak-kanak riang. Saya masih berusaha sebaik mungkin untuk memberi yang terbaik buat ayah. Masih banyak kekurangan dalam usaha saya menjaga kebajikan ayah.

Ini dugaan kecil untuk kami, sementelah pula pada tarikh-tarikh tersebut adalah mengingati kembali rentetan peristiwa arwah emak meninggalkan kami setahun yang lepas. Ianya sungguh signifikan. Hikmah yang lain, agar kami adik beradik lebih kerap pulang ke kampung. Buat diri sendiri juga kadangkala terleka tidak menelefon ayah apabila kesibukan kerja.

Nota: Terima kasih buat sahabat- sahabat baru yang menyinggah di sini. Nanti saya akan buat pautan link.

Sunday, November 1, 2009

Ayahanda ditahan wad, pulang ke kampung malam esok

Saya akan pulang ke kampung esok malam bersama kanak-kanak riang. Menumpang adik yang akan memandu pulang. Ayahanda kini berada di wad, insya-allah tidak apa-apa yang mudarat. Doakan kami pergi dan balik dengan selamat.

Ibu: Hakim nak pergi sekolah ke nak balik kampung?

Hakim: Nak balik kampung. (Teruja)

Ibu: Best tak balik kampung?

Hakim: Best!

Hakim kembali bercuti panjang nampaknya.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin