Showing posts with label Zaman kanak-kanak. Show all posts
Showing posts with label Zaman kanak-kanak. Show all posts

Saturday, December 8, 2012

Nostalgia musim tengkujuh



Teks: Masayu Ahmad
Foto: http://www.yaswarau.com

Ada waktu setiap hari hujan mula turun pada waktu petang. Jadinya sangatlah nyaman. Hujan yang datang bersama rahmat dan rezeki. Masa zaman kanak-kanak dulu, waktu hujan begini semacam pesta pula. Mandi beramai-ramai bersama-sama dengan rakan-rakan. Anak-anak kita usahkan mandi, kena hujan sedikit, ibu-ibu sudah suruh masuk dalam rumah takut nanti demam.

Biasanya apabila hujan mula lebat, mandi hujan sambil berlari-lari keliling kawasan rumah-rumah sekitar yang terdekat. Kadangkala jauh juga perginya. Satu tempat yang paling seronok untuk main hujan di rumah Pok Long Amat.

Rumah arwah guru mengaji saya mempunyai corong zink yang mengumpul air hujan yang banyak. Maksudnya apabila hujan turun, air hujan akan melalui salur zink yang melengkung dan terus jatuh ke tanah dengan banyak. Ianya seperti terjunan air hujan bersatu dan mencurah-curah. Jadi kanak-kanak akan berebut untuk mandi di bawah limpahan hujan tersebut. Selepas puas bermain di situ kami akan berlari-lari lagi ke kawasan lain.

Rumah sepupu saya agak jauh sedikit, biasanya apabila hujan mula reda atau waktu petang kami mula membuat lawatan beramai-ramai keliling kampung. Apa yang seronok kami akan pergi ke kawasan yang mempunyai takungan air. Biasanya ketinggian air hanya paras lutut atau paras pinggang sahaja. Tidaklah memudaratkan kanak-kanak untuk bermain air.

Biasanya kami akan dirikan pondok-pondok kecil atau bermain rakit. Saya lupa emak marah atau tidak, tetapi aktiviti wajib jika musim hujan ialah lawatan ke tempat-tempat yang dinaiki air sekitar kampung.

Kampung jiran yang sebelah adalah Kampung Pantai Sabak, sungai adalah pemisah antara kampung saya dengan kampung sebelah. Apabila musim tengkujuh Pantai Sabak dilanda hakisan yang teruk.

Pesisir pantai terhakis oleh ombak yang mula mengalihkan pasir dan tanah tebing. Banyak rumah-rumah yang rosak dan banyak juga yang perlu berpindah. Hakisan tebing dan pasir akan dibawa ke pantai kampung saya. Jadinya pesisir pantai kampung saya semakin jauh jaraknya dari air laut.

Saya pernah mengikuti rombogan melawat kampung jiran yang banyak rosak akibat hakisan pantai. Kami menaiki perahu nelayan atau bot besar. Sangatlah seronok dan teruja. Kami berjalan beramai-ramai melihat suasana kampung yang ditenggelamkan banjir dan kerosakan rumah-rumah akibat hempasan ombak yang besar.

Sangat bersyukur kerana keadaan kampung kami masih lagi selamat. Pernah satu ketika ayah menceritakan ketika usia saya masih kecil. Satu peristiwa taufan telah berlaku di kampung kami. Habis semua rumah diterbangkan angin. Saya bernasib baik diselamatkan ayah yang hampir-hampir terjatuh diterbangkan angin. Masa itu saya masih lagi bayi.



Menu musim hujan

Menu biasa musim hujan lempeng kelapa muda, putu ubi kayu, gulai ikan kering, ikan budu yang digoreng bersama telur, ubi kayu makan bersama kelapa parut.

Aktiviti menjala ikan juga aktif dilakukan anak-anak muda kampung dan kanak-kanak lelaki. Kami kanak-kanak perempuan boleh melihat dari jauh sahaja. Ramai akan berlonggok di tepi tali air menjala ikan, sambil berpayung mereka seolah-olah asyik melihat aksi penebar jala. Walaupun ikan bukanlah banyak tetapi ianya sebagai satu hiburan ketika musim hujan.

Setiap kali pulang ke kampung apabila terserempak dengan wajah-wajah semasa kanak-kanak yang kini sudah dewasa, saya mula terbayangkan suasana ketika kecil dahulu.

Aktiviti lain selepas hujan reda, saya bersama kakak dan beberapa rakan yang lain akan pergi ke baruh berdekatan dengan sungai. Kami akan mengutip ulaman (tidak ingat apa nama ulam) dan pucuk niding (paku pakis). Ulaman tadi dimakan bersama, dicicah dengan budu, manakala pucuk niding emak akan masak sayur lemak yang dimasukkan bersama potongan ubi stelo (ubi merah).

Manakala ikan budu (ikan yang diperam bersama garam lebih kurang sama dengan ikan pekasam). Ikan budu akan diambil isinya sahaja dan dihiris halus dicampur bersama telur.

Telur dadar yang berisi ikan budu itu akan diperah asam limau. Menu lengkap hidangan tengahari atau malam nasi panas, sayur lemak pucuk niding, telur dadar ikan budu, ulaman dan budu. Kecur air liur. Nasib bertambah diiringi suasana nyaman hujan yang turun tanpa henti. Minum pagi musim hujan biasanya, lempeng, nasi berlauk. Manakala minum petang ubi kayu rebus bersama kelapa parut dan kadangkala putu ubi kayu besar gedabak.

Salam sayang

Iklan sekejap ya


Beli seberapa banyak buku-POS ADALAH PERCUMA!


Berita baik buat pelanggan setia saya, bagi peminat tegar buku online, jadi dengan ini saya mengitiharkan pos adalah percuma sahaja dengan membeli terus dari sini
                                    
Sertai keahlian kedai buku online klik di sini, http://www.facebook.com/groups/497938423561201/


Apakah keisitimewaan keahliaan kedai buku online
1. Menikmati penghantaran buku secara percuma sahaja, maksudnya tidak ada caj pos dikenakan. Kalian hanya bayar harga buku sahaja.

2. Lebih 1,000 judul akan dijual, saya sedang menegmaskini buku dari masa ke semasa.

3. Kepakaran kedai buku ini adalah menjual semua jenis bukua fiksyen, non fiksyen, kitab, quran terjemahan, quran digital, 

4. Kami mengedarkan kebanyakan buku-buku dari penerbi tersohor, antaranya karangkraf, pts, galeri ilmu, telaga biru dan lain-lain.

5. Pelanggan boleh menyatakan buku apa yang mahu dibeli, jika tidak ada kami akan usahakan.

Friday, November 13, 2009

Main pondok-pondok

Teks: Masayu Ahmad

Masa kecil dulu tidak sah jika tidak main pondok-pondok. Disebabkan kami tinggal di kawasan pantai, jadinya pondok kami beratapkan pelepah atau daun kelapa. Biasanya daun kelapa kering akan gugur sendiri apabila sudah matang atau berwarna coklat.

Di bahagian dapur di belakang rumah, ada sebatang pokok gajus yang besar. Biasanya dahan yang kukuh kami buat buaian, waktu petang saya, kakak dan anak-anak jiran yang lain akan bermain di situ.

Pondok kecil kami berdaun kelapa

Berbalik pondok kecil kami yang berlantaikan tanah, berdinding dan berbumbungkan pelepah daun kelapa. Pagi hingga petang kami akan menghabiskan masa di situ. Setiap orang ada satu pondok kepunyaan masing-masing atau berkongsi. Pondok saya dan kakak besar sedikit, sebab kami tuan rumah.

Makan tengahari kami bawa bekal dan makan di dalam pondok kecil kami. Sebelah dapur sahaja, jadi asyik ulang alik bawa makanan. Jika petang bawa kuih atau cekodok. Sangat seronok. Lantai tanah kami beralaskan daun-daun kering, dan ambil kain sarung emak buat alas.

Jika tiba waktu main masak-masak, kami akan kutip sejenis daun berwarna hijau (sudah lupa apa nama pangilan). Akan dihiris halus-halus, jadinya terhasillah bihun atau masakan mee. Tempurung kelapa biasanya dijadikan sebagai pinggan mangkuk.

Ada sejenis buah hutan sebijik macam buah anggur. Kami akan kutip dan letak di dapur, kiranya itu hidangan istimewa. Jika mahu minyak kami akan proses menggunakan sejenis daun dan ditambah air. Diramas dan diperah, maka terhasilah minyak masak.

Kita dahulu tak ada mainan yang moden macam sekarang ini, anak-anak sekarang sangatlah bertuah kerana mempunyai pelbagai jenis mainan, hanya tunjuk dan dapat.

Tetapi nostalgia masa kanak-kanak sampai bila-bila pun tak akan lupa. Antara permainan waktu petang, congkak, bola kayu tiga, bola lubang, bola susun tin susu.

Mandi baruh

Lepas balik sekolah dan selesai mengaji Quran, kami akan keluar untuk bermain. Orang Kelantan panggil derak (berjalan, bersiar dan bermain). Sudah penat derak barulah balik rumah, tetapi perlu balik sebelum maghrib. Ayah masa saya kecil sangatlah bekeng (garang), terapi jarang sekali tangan ayah menyentuh tubuh saya. Kami tahu ayah garang dan marah jika kami lakukan seperti laranganya.

Ayah tidak pernahlah bagitahu secara terus apa permainan yang boleh dan tidak boleh. Ianya banyak disampaikan melalui emak.
“Kalu ayah mung tahu gak, nantilah kena piap”. (Jika ayah tahu, nanti kena pukul)

Padahal tidak pernah pun ayah pukul kami. Ianya sebagai larangan dan ingatan keras sahaja. Jadi setiap kali mahu ke pantai, saya atau kakak selalu beringat. Kalau ayah tahu habislah kami. Kadang-kadang bila terlepas ke pantai, kamai hanya tengok sahaja kanak-kanak lain mandi air laut. Kami hanya berani bermain di gigi air sahaja. Pesanan dan ingatan emak akan tergiang-giang di minda.

Mandi baruh

Larangan ayah yang kami sentiasa ingat, jangan main tepi pantai, jangan mandi laut, jangan mandi baruh atau sungai depan rumah. Jadi kami hanya menelan air liur sahaja apabila melihat rakan-rakan yang lain mandi dan terjun dengan seronoknya dalam baruh depan rumah.

Baruh itu bersih dan jernih, kerana aliran tali air menghala ke sungai. Sungai tersebut pemisah antara kampung kami dan kampung Sabak. Air sungai terus menghala ke laut lepas.

Kami kanak-kanak perempuan biasanya hanya bertenggek di tebing baruh, melihat pelbagai aksi kanak-kanak lain mandi dengan suka ria. Ada budak-budak lelaki yang besar sikit akan buat aksi atau terjunam yang menarik. Kami hanya akan ketawa beramai-ramai dari atas tebing. Dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu betapa mahu sertai mereka.

Hinggalah pada suatu hari, saya dan kakak bersetuju untuk mandi tanpa pengetahuan ayah. Masa tu hujan renyai-renyai, jadinya kami mahu melepaskan kempunan untuk mandi baruh. Mana boleh tahan, asyik tengok orang lain sahaja yang mandi.

Sebab kami tahu ayah balik lambat, jadinya kami mula meneruskan rancangan mandi baruh dan berjanji siapapun antara kami tidak boleh bocorkan rahsia.

Perasaan boleh mandi baruh hanya tuhan sahaja yang tahu. Kami berendam, menyelam, buat terjunan dan macam-macam aksi lagi. Ada satu ketika saya cuba menenggelamkan badan ke dasar baruh.

Saya peluk seluruh tubuh dan bulatkan badan, seperti merengkok dan memeluk lutut. Jadinya badan saya tenggelam hingga ke dasar. Apa yang berlaku badan saya timbul semula ke permukaan air. Dapatlah saya praktikkan keseimbangan badan, walau tak belajar kat mana-mana. Cuma atas inisiatif mencuba dan nak tahu.

Sebelum petang kami pulang, sangat takut juga nanti ayah marah. Disebabkan kena marah emak, maka rahsia kami bocor. Saya lari lintang pukang bila dikejar emak ;D. Saya berjaya menyelamatkan diri dan bersembunyi dalam bilik di celah almari. Di depan saya tikar-tikat mengkuang yang disandarkan. Duduklah saya di situ menyembunyikan diri.

Nasib kakak tak seberapa baik. Kakak berjaya dikejar emak, mungkin juga kena hukuman dengan lidi penyapu. Saya dengar kakak menangis, sambil tu saya diam-diam sahaja celah almari didepannya tikar mengkuang. :D

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin